Monday, 16 April 2018

Ibu Zahirah Macwilson selamat nikah

Ibu Zahirah Macwilson selamat nikah
Zahirah turut berada di majlis pernikahan ibunya.
IBU kepada pelakon jelita yang hangat diperkatakan, Zahirah Macwilson, telah selamat bernikah pada tanggal 24 Mac lalu.
Maslinda Yusof, 44, bertemu jodoh dengan duda anak tiga, Hairul Azni Bendiamin, 48, seorang warganegara Singapura.

"Alhamdulillah segala berjalan lancar. Majlis pernikahan serba sederhana ini dilangsungkan di Masjid Hepburn, Perth, Australia.

"Suami berkerja sebagai technician engineer di syarikat penerbangan SIA. InsyaALLAH selepas ini suami akan turut menetap di Perth," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai penerimaan Zahirah terhadap perkahwinan ini, Maslinda memberitahu bahawa anaknya itu gembira kerana ibunya sudah mempunyai teman.

Maslinda sebelum ini pernah berkahwin dengan Zainol Macwilson dan akhirnya bercerai pada 9 November 2015.

Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata.

Zainol juga sudah bernikah pada Jun 2016 secara rahsia di Kangar, Perlis.

-Sinar

Friday, 13 April 2018

Keluarga Prebet Adam mohon maaf keluarga TMJ



Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@bh.com.my
“Saya minta maaf kepada keluarga Diraja Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana terpalit dengan fitnah yang membabitkan abang saya, Prebet Adam.”
Demikian luahan adik Prebet Adam, Hawa Jaafar, 53, yang menafikan dakwaan kononnya seorang adik mereka dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail ketika berkhidmat sebagai kedi golf kepada Almarhum.
Dia berkata, mereka sekeluarga terpaksa menahan malu dan marah selama 30 tahun kerana tidak dapat menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat dan pihak berkuasa.
“Adam mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 1987 kerana masalah di tempat kerja dan tidak ada kena mengena dengan dakwaan adik kami dibunuh.
“Semua adik beradik kami masih hidup, hanya seorang saja yang sudah meninggal dunia pada 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.
Turut hadir, dua lagi adik Adam iaitu Arina Jaafar dan Arman Jaafar. Adam adalah anak sulung daripada sembilan beradik.
Mengulas lanjut, Hawa yang juga anak kedua berkata, mereka sekeluarga tidak pernah mengenali seorang pun keluarga kerabat Diraja Johor.
Malah katanya, mereka sekeluarga turut difitnah menerima wang sogokan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menafikan perkara terbabit.
“Lihatlah kediaman saya, kami cuma orang biasa. Kami tidak pernah terima sesen pun duit daripada mana-mana pihak untuk nafikan hal ini,” katanya yang tinggal di Georgetown.
Kejadian amuk Prebet Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pernah menggemparkan negara pada 1987 dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Penyanyi hamil maut ditembak peminat

Penyanyi hamil maut ditembak peminat
Samina Samoon, 24, yang hamil enam bulan maut ditembak peminat ketika membuat persembahan.

LARKANA - PAKISTAN. Seorang penyanyi yang hamil enam bulan maut ditembak seorang lelaki kerana enggan memenuhi permintaan untuk menari ketika membuat persembahan.
Samina Samoon, 24, sedang menyanyi di sebuah majlis perkahwinan apabila dia dipelawa oleh Tarique Ahmed Jatoi untuk menari bersama.
Bagaimanapun, pelawaannya ditolak dan suspek yang berang lalu bertindak menembak mangsa.
Samoon gagal diselamatkan akibat kecederaan parah yang dialaminya.
“Samoon enggan menari kerana dia hamil tetapi suspek tetap membunuhnya, dia perlu didakwa atas dua kesalahan membunuh,” kata suami mangsa, Ashiq Ali.

-Sinar

Thursday, 12 April 2018

Bayi 'ajaib' dalam longkang



Cape Town: Seorang bayi perempuan dianggap ajaib selepas ditemui hidup walaupun cuaca sejuk berhampiran sarang semut api selepas ditinggalkan dalam longkang sedalam 1.8 meter di Port Elizabeth, Afrika Selatan.
Bayi yang dalam keadaan bogel dengan tali pusat masih bersambung itu ditemui seorang wanita, Charmaine Keevy, 63, yang keluar berjalan dengan anjingnya pada awal pagi kelmarin.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik media tempatan, anjing wania itu tiba-tiba mula menyalak dan selepas mendengar bunyi tangisan dia cuba menahan kenderaan bagi meminta bantuan sebelum seorang pemandu, Cornie Viljoen, 60, berhenti.
Viljoen memberitahu bunyi yang mereka dengar adalah esakan bayi.
Mereka mengumpil dan mengangkat penutup longkang itu sebelum Viljoen turun dan meraba mencari bayi berkenaan walaupun tangannya disengat semut api.
“Saya terasa kaki bayi itu dan menyedari ini lokasi jenayah lalu terus mengambil gambar menggunakan telefon bimbit yang kemudian diserahkan kepada Charmaine untuk menyampaikannya kepada perkhidmatan kecemasan.
“Bayi itu terlalu kecil dan saya berhati-hati menariknya. Dia amat bernasib baik kerana tempat dia ditinggalkan lebih rendah daripada sarang semut,” katanya.
Bayi itu dikejarkan ke hospital dan menurut Jurucakap Kesihatan Wilayah, Sizwe Kupelo, dia mengalami hipotermia serta masalah pernafasan.
Kakitangan hospital memberikannya nama Grace April.
Jurucakap polis, Kolonel Priscilla Naidu berkata, pihaknya masih menyiasat dan merayu saksi membantu siasatan.
Sementara itu, Charmaine berkata: “Saya percaya tuhan menggerakkan hati untuk melalui kawasan itu kerana saya tidak pernah berjalan di situ. 

- Daily Mail/Metro

Tuesday, 10 April 2018

Gigit, telan jari tengah polis


New York: Seorang lelaki dituduh menggigit jari tengah anggota polis sehingga putus dan menelannya ketika ditahan kerana melakukan vandalisme.
Ainsley Johnson, 34, dilaporkan menggigit hingga putus jari polis berusia 24 tahun itu di dalam balai polis di Brooklyn, malam Jumaat lalu selepas melawan ketika hendak digari untuk dibawa ke lokapnya.
Johnson dan anggota itu bergelut sebelum dia menggigit hujung jari mangsa pada bahagian kuku.
Rakan setugas mangsa tidak sempat menyelamatkan jarinya.
Johnson sebelum itu ditahan kerana merosakkan pintu dan tingkap kereta BMW seorang lelaki turut dikenakan tuduhan menyerang polis dan melawan penangkapan.

-Metro

Cikgu tidur.. mari kita main!



SEORANG guru di sebuah sekolah di India dikenakan tindakan disiplin selepas gambarnya tidur dengan kaki di atas meja ketika waktu mengajar di kelas tersebar di Internet.
Ashok Kumar Yadav yang bertugas di Sekolah Urdu di Maddhipur di negeri Bihar dilaporkan tidur di dalam kelas, sementara pelajarnya menunggu dia bangun bagi meneruskan pelajaran.
Menurut laporan News18, gambar itu dirakam seorang pelajar dan Yadav dikatakan terus tidur walaupun loceng berbunyi, menandakan tamat waktu persekolahan.
Guru besar sekolah itu memberitahu News18, dia sedar dengan sikap Yadav dan beberapa kali menasihatinya tetapi tidak diendahkan guru itu.
Pegawai pendidikan turut memberitahu, dia menerima banyak laporan mengenai sikap Yadav, namun tiada tindakan terhadap lelaki itu.
Bagaimanapun, Yadav kini diberi amaran dan surat tunjuk sebab selepas gambarnya yang sedang tidur itu tular di media sosial di India.
Seperti kebanyakan negeri di India, Bihar antara yang mempunyai sistem pendidikan yang bercelaru dan sikap guru yang malas mencetuskan persoalan mengenai realiti dunia pendidikan di negara itu.

-Metro

Monday, 9 April 2018

Bunuh, potong kemaluan budak kurang upaya



Beijing: Seorang lelaki ditahan kerana membunuh dan mencacatkan mayat remaja kurang upaya berusia 15 tahun yang ditemui terikat pada tiang besi di kampungnya di utara China, lapor media tempatan.
Mayat remaja yang hanya dikenali sebagai Ren yang tangannya diikat pada tiang besi itu ditemui dengan seluar dilurutkan, manakala kemaluannya dipotong.
South China Morning Post melaporkan, polis di Zhouzhi, wilayah Shaanxi dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 39 tahun dipercayai mengalami masalah mental itu ditahan susulan penemuan mayat remaja lelaki terbabit di luar sebuah rumah di kampung Zhendong.
Ren, penghuni kampung berhampiran yang mempunyai masalah pembelajaran, dipercayai menghadiri festival kuil tahunan di kampung itu kira-kira 50 meter dari lokasi jenayah sebelum dibunuh.
Neneknya dilaporkan mencarinya sejak dia menghilangkan diri Selasa lalu sebelum penghantar susu memaklumkan mengenai penemuan mayat remaja malang itu.
“Ketika saya sampai di tempat kejadian, mayatnya masih terikat dan dikelilingi orang ramai. Polis belum tiba. Saya menjerit meminta mereka menurunkannya. Dia kehilangan begitu banyak darah, sebab itulah dia mati,” katanya.
Remaja itu berhenti sekolah dua tahun lalu dan tinggal bersama nenek serta bapanya selepas ibu bapanya bercerai.
Menurut bapanya, dia anak yang baik yang keluar rumah setiap hari selepas sarapan dan pulang sekitar jam 9 malam.
Suspek pembunuhan itu yang namanya tidak didedahkan tinggal di kampung tempat mayat mangsa ditemui dan ditahan 15 jam selepas kejadian. - Agensi/Metro

Wednesday, 4 April 2018

Disebat 100 kali oleh suami sendiri


 Disebat 100 kali oleh suami sendiri
Hukuman ganas itu hanya disaksikan sekumpulan lelaki di Bulandshahr di Uttar Pradesh.

[VIDEO] NEW DELHI - INDIA . Wanita di utara India ini disebat sebanyak 100 kali oleh suaminya di khalayak ramai sebagai 'hukuman' kerana berzina.

Tangan mangsa turut diikat dengan tali yang digantung pada pokok.

Sekumpulan lelaki yang berdiri di dalam bulatan hanya melihat wanita tersebut menjerit kesakitan dipukul berkali-kali dengan tali pinggang kulit ketika kejadian di Bulandshahr di Uttar Pradesh, kelmarin.

Insiden itu tidak berakhir di situ kerana mangsa yang pengsan turut diserang secara seksual malah cuba dirogol 'penontonnya'.

Hukuman ganas itu dikenakan ke atasnya selepas sebuah mahkamah kangaroo mendapati dia bersalah kerana melarikan diri bersama kekasihnya pada awal bulan lalu.

Pada 10 Mac lalu, suaminya berpura-pura menghantar wakil untuk memujuknya pulang ke rumah dan berjanji akan melupakan apa yang telah berlaku untuk memulakan hidup baru.

Tetapi, apabila dia kembali, sebuah 'mahkamah' terdiri daripada pemimpin tua di kampung itu telah memutuskan hukuman sebat 100 kali oleh suaminya.

Menurut pihak berkuasa, wanita yang mengalami kecederaan serius itu sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Beberapa individu telah disenaraikan dalam kes itu termasuk suaminya dikenali sebagai Saudan dan lima lelaki berpengaruh di kampung terbabit," kata jurucakap polis, Altaf Ansari.

Jelasnya, mereka sedang memburu beberapa lagi individu dan mangsa telah dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. 

- Daily Mail/Metro
 

Hati abang JPJ 'dijentik' bantu mereka



“SAYA dan rakan setugas berasa tersentuh melihat kepayahan wanita itu bersama empat anaknya membonceng motosikal ditunggang rakannya. Keadaan mereka kelihatan sangat tidak selesa.
“Atas dasar perikemanusiaan kami sepakat bantu wanita itu, bimbang keselamatan mereka meskipun kami ketika itu sedang bertugas,” kata Ketua Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Shahrul Shahrizal Md Jawahair, 36.
Keikhlasan Shahrul bersama tiga rakan membantu keluarga itu ketika meronda di Kilometer 56 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Bentong, menghala Kuala Lumpur pada 11 pagi kelmarin tular di Facebook (FB) dan mendapat pujian netizen.
Menerusi gambar yang tular di FB sejak kelmarin, dua kanak-kanak kelihatan duduk berhimpit di dalam bakul, manakala dua lagi dipangku ibu mereka.
Shahrul dan tiga rakan yang bertugas di Stesen Timbang Penguatkuasaan JPJ Karak berkata, pada mulanya mereka menghampiri motosikal terbabit untuk menawarkan bantuan selain bertanyakan destinasi mahu dituju.
“Kami terkejut selepas mengetahui mereka dalam perjalanan dari FELDA Jengka 17, Pahang dan mahu pulang ke rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Sentul.
“Pada mulanya lelaki yang menunggang motosikal berkenaan menolak pelawaan kami. Katanya, tidak mahu menyusahkan lalu beredar,” katanya.
Katanya, kerana simpati dan bimbang terhadap keselamatan pembonceng terutama empat kanak-kanak terbabit, dia berbincang dengan rakan setugas sebelum sepakat meminta kebenaran daripada pegawai atasan untuk menumpangkan wanita itu dan anaknya.
“Selepas mendapat kebenaran daripada penyelia, kami mengejar motosikal terbabit dan mengarahkan penunggang berhenti di bahu jalan.
“Selepas berbincang dengan ibu kanak-kanak terbabit yang hanya dikenali sebagai Syikin, wanita itu membenarkan empat anaknya berusia tiga hingga sembilan tahun menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner milik JPJ bersama kami sehingga ke Plaza Tol Gombak.
“Selepas sampai di Plaza Tol Gombak, kami belikan makanan untuk kanak-kanak terbabit. Empat beradik itu beritahu belum jamah sebarang makanan kerana ibu mereka tidak ada wang,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan Syikin pulang ke kampungnya untuk berjumpa bapanya atas urusan keluarga sebelum kembali semula ke PPR Batu Muda.
Katanya, wanita itu yang membawa bersama empat anak membonceng motosikal ditunggang rakan setugasnya kerana tiada pilihan berikutan tidak ada wang.
“Saya dimaklumkan Syikin tidak ada pekerjaan tetap. Dia bergantung kepada bayaran elaun diterima setiap kali bertugas dengan sebuah pasukan sukarelawan.
“Sebelum itu saya sarankan Syikin dan anaknya menaiki teksi atau Uber untuk pulang ke rumah, tapi wanita itu beritahu dia tidak ada wang untuk bayar tambang.
“Jadi kami beri RM50 kepada Syikin untuk dia bayar tambang. Memang niat kami nak hantar lima beranak itu sampai ke rumah, tetapi saya dan rakan perlu menyambung tugas,” katanya.
Sementara itu, Syikin ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota JPJ yang membantu mereka lima beranak.
Ibu tunggal itu memberitahu lelaki menunggang motosikal berkenaan adalah rakan setugasnya yang sanggup menghantar mereka sehingga ke FELDA Jengka 17.
“Sekarang ini saya berdepan masalah kewangan... mujur rakan setugas sanggup bantu. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap nasib kami sekeluarga,” katan


-Metro

Tuesday, 3 April 2018

Benjolan mulut makin besar

Kuala Lumpur: Perasaan sebak dan belas pasti menusuk di sanubari sesiapa saja yang melihat Nurliyana Abdul Raziff, 32, berikutan penyakit Hiper Tiroid dialami wanita itu sejak dua tahun lalu.
Penderitaan jelas terpapar pada wajahnya apabila tulang rahangnya kini membesar sehingga menyebabkan mulut terkeluar dan turut menjejaskan penglihatannya.
Lebih memilukan, berat badannya juga menyusut daripada 55 kilogram hingga kini hanya 23 kilogram, malah ketinggiannya turut menurun daripada 1.5 meter kepada 1.3 meter.
“Saya tidak lagi mampu mengunyah kerana ketumbuhan tiroid dalam mulut semakin membesar hingga menutup saluran rongga. Berat badan yang menurun secara mendadak turut membuatkan fizikal saya semakin rendah,” kata Nurliyana dengan nada yang kurang jelas dan tersekat-sekat.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Liyana berkata, doktor pakar tidak mengesyorkan dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tiroid itu kerana pada masa sama, dia juga ada masalah buah pinggang dan jantung.

NURLIYANA bersama suaminya sebelum menghidap penyakit Hiper Tiroid.

Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my