“SAYA dan rakan setugas berasa tersentuh melihat kepayahan wanita itu bersama empat anaknya membonceng motosikal ditunggang rakannya. Keadaan mereka kelihatan sangat tidak selesa.
“Atas dasar perikemanusiaan kami sepakat bantu wanita itu, bimbang keselamatan mereka meskipun kami ketika itu sedang bertugas,” kata Ketua Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Shahrul Shahrizal Md Jawahair, 36.
Keikhlasan Shahrul bersama tiga rakan membantu keluarga itu ketika meronda di Kilometer 56 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Bentong, menghala Kuala Lumpur pada 11 pagi kelmarin tular di Facebook (FB) dan mendapat pujian netizen.
Menerusi gambar yang tular di FB sejak kelmarin, dua kanak-kanak kelihatan duduk berhimpit di dalam bakul, manakala dua lagi dipangku ibu mereka.
Shahrul dan tiga rakan yang bertugas di Stesen Timbang Penguatkuasaan JPJ Karak berkata, pada mulanya mereka menghampiri motosikal terbabit untuk menawarkan bantuan selain bertanyakan destinasi mahu dituju.
“Kami terkejut selepas mengetahui mereka dalam perjalanan dari FELDA Jengka 17, Pahang dan mahu pulang ke rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Sentul.
“Pada mulanya lelaki yang menunggang motosikal berkenaan menolak pelawaan kami. Katanya, tidak mahu menyusahkan lalu beredar,” katanya.
Katanya, kerana simpati dan bimbang terhadap keselamatan pembonceng terutama empat kanak-kanak terbabit, dia berbincang dengan rakan setugas sebelum sepakat meminta kebenaran daripada pegawai atasan untuk menumpangkan wanita itu dan anaknya.
“Selepas mendapat kebenaran daripada penyelia, kami mengejar motosikal terbabit dan mengarahkan penunggang berhenti di bahu jalan.
“Selepas berbincang dengan ibu kanak-kanak terbabit yang hanya dikenali sebagai Syikin, wanita itu membenarkan empat anaknya berusia tiga hingga sembilan tahun menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner milik JPJ bersama kami sehingga ke Plaza Tol Gombak.
“Selepas sampai di Plaza Tol Gombak, kami belikan makanan untuk kanak-kanak terbabit. Empat beradik itu beritahu belum jamah sebarang makanan kerana ibu mereka tidak ada wang,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan Syikin pulang ke kampungnya untuk berjumpa bapanya atas urusan keluarga sebelum kembali semula ke PPR Batu Muda.
Katanya, wanita itu yang membawa bersama empat anak membonceng motosikal ditunggang rakan setugasnya kerana tiada pilihan berikutan tidak ada wang.
“Saya dimaklumkan Syikin tidak ada pekerjaan tetap. Dia bergantung kepada bayaran elaun diterima setiap kali bertugas dengan sebuah pasukan sukarelawan.
“Sebelum itu saya sarankan Syikin dan anaknya menaiki teksi atau Uber untuk pulang ke rumah, tapi wanita itu beritahu dia tidak ada wang untuk bayar tambang.
“Jadi kami beri RM50 kepada Syikin untuk dia bayar tambang. Memang niat kami nak hantar lima beranak itu sampai ke rumah, tetapi saya dan rakan perlu menyambung tugas,” katanya.
Sementara itu, Syikin ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota JPJ yang membantu mereka lima beranak.
Ibu tunggal itu memberitahu lelaki menunggang motosikal berkenaan adalah rakan setugasnya yang sanggup menghantar mereka sehingga ke FELDA Jengka 17.
“Sekarang ini saya berdepan masalah kewangan... mujur rakan setugas sanggup bantu. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap nasib kami sekeluarga,” katan
-Metro
No comments:
Post a Comment