Monday, 10 July 2017

Beca kena rasuk


Beijing: Seorang pemandu beca bermotor terkejut apabila kenderaannya seolah-olah dirasuk ‘hantu’ dan membuat ‘wheelie’ tiba-tiba sebelum menaiki bahagian belakang sebuah kereta.

Kejadian pelik dirakam kamera keselamatan tertutup (CCTV) itu menunjukkan pemandu itu tidak mampu mengawal kenderaannya.
Wanita yang juga pemilik kereta sedan putih terbabit dilaporkan berusaha mendapatkan bayaran ganti rugi daripada pemandu itu.
Dia sukar percaya pemandu itu tidak sengaja melanggar kenderaannya.
Rakaman kejadian itu yang dimuat naik ke media sosial dengan judul ‘beca kena rasuk’ mencatatkan tontonan lebih 3 juta.


















-Metro

Kesan 75, keluar 150

Jaipur, India: Pada April lalu sekumpulan doktor terkejut apabila mengesan sebanyak 75 jarum yang berada di dalam badan seorang pekerja kereta api di sini.
Baru-baru ini, lelaki berkenaan, Badrilal Meena, 75, menjalani dua lagi pembedahan bagi mengeluarkan sejumlah lagi jarum di dalam badannya.
Doktor sekali lagi kehairanan apabila jumlah keseluruhan jarum yang dikeluarkan daripada badan Meena setakat ini meningkat kepada 150.
Lebih menghairankan, lelaki berkenaan mendakwa dia tidak tahu bagaimana keadaan itu boleh berlaku.
“Saya tidak tahu bagaimana jarum itu boleh berada di dalam badan saya,” kata Meena.
Isteri dan anak lelaki Meena juga mendakwa mereka tidak tahu bagaimana objek tajam itu boleh berada di badan lelaki berkenaan.
Kisah lelaki itu bermula apabila dia dimasukkan ke sebuah hospital di Kota pada April lalu kerana mengadu sakit tekak dan sukar bernafas.
Imbasan CT kemudian mengesan puluhan jarum di leher, kaki dan tangan lelaki itu.
Dia kemudiannya di masukkan keenam buah hospital dalam tempoh beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, doktor mengesyaki Meena mengalami masalah mental dan dia sendiri yang mencucuk jarum itu ke dalam badannya.
Pakar psikiatri, Dr Ram Manohar memberitahu, dia mencadangkan Meena menjalani pemeriksaan di unit psikiatri tetapi lelaki itu enggan.
“Meena dan keluarganya terus menafikan dia mempunyai sebarang masalah mental dan enggan menjalani pemeriksaan.
“Terdapat banyak kes individu yang mengalami masalah mental mencederakan badan mereka sendiri,” katanya.

-Metro

Friday, 7 July 2017

Perogol dihukum kaum ibu


GAMBAR dari rakaman video menunjukkan tiga wanita memukul lelaki yang dituduh merogol. 


New Delhi: Seorang lelaki yang disyaki merogol kanak-kanak dihukum kaum ibu di kampungnya yang mengikat sebelum membelasahnya dengan kayu.
Dalam satu video yang tular di media sosial, tiga wanita dilihat mengepung lelaki berkenaan yang tangannya diikat ke belakang sebelum dia diseret ke kawasan lapang dan di pukul dengan kayu.
Tindakan itu dilakukan dihadapan puluhan wanita dan kanak-kanak.
Lelaki terbabit tidak melawan, sebaliknya seolah-olah merelakan dirinya dibelasah.
Pada penghujung rakaman itu, seorang anggota polis dilihat menghampiri kumpulan wanita berkenaan dengan lelaki itu masih terbaring.
Serangan seksual adalah masalah paling besar dihadapi India dengan puluhan ribu kes dilaporkan setiap tahun.
Pada 2015 saja, 34,000 kes rogol dilaporkan di negara itu.
Jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi kerana ramai mangsa tidak melaporkan serangan terhadap mereka kerana takut tidak dipercayai atau dipulaukan masyarakat.
Pada tahun sebelumnya, 14,000 kes yang dilaporkan membabitkan kanak-kanak. 

- Agensi/Metro

Thursday, 6 July 2017

Lelaki lain tak berani...


ULAR sawa di tengah jalan yang menyebabkan trafik berhenti hanya diperhatikan beberapa lelaki, namun seorang wanita dengan berani mengambil tindakan mengalihkannya di Brazil, Sabtu lalu.
Ular sawa sepanjang 2.1 meter itu itu mencetuskan panik dalam kalangan pengguna jalan raya apabila ia menyelinap ke pertengahan jalan di Teresopolis berhampiran Rio de Janeiro.
Trak dan kereta dari kedua-dua arah berhenti dengan pemandu berdiri di tepi jalan dan tidak berani mengambil tindakan terhadap ular itu.
Namun seorang wanita dengan tenang berjalan ke arah ular itu, memegang kepalanya dan membawanya ke tepi jalan.
Dia sempat bergaya dahulu dengan ular yang berbelit di tangannya supaya lelaki lain dapat merakam gambar.
Ular itu kemudian dilepaskan di kawasan semak di tepi jalan raya itu.
Saksi, Paulo Vincent yang merakam video tersebut berkata, dia tidak menjangka wanita itu akan mengangkat ular tersebut kerana takut ular itu akan menyerang.
"Saya kagum dengan wanita berani itu manakala lelaki lain hanya menunggu supaya masalah itu dapat diselesaikan dengan cara lain.
"Saya rasa lelaki lain sedang mempertimbangkan untuk mengguna kayu atau memanggil pakar," katanya.


-Metro

Wednesday, 5 July 2017

Bertaubatlah...



UMAT Islam yang dengan sengaja memegang anjing diingatkan segera bertaubat kerana telah melakukan perbuatan yang menjurus kepada menghina agama Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha berkata, pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah satu makhluk Allah, apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuhnya tanpa sebab yang juga bertentangan dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun menurut beliau, mengikut Mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan memelihara haiwan berkenaan malahan mewajibkan semua umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadat seharian.
"Perbuatan memelihara anjing seolah-olah cuba mencipta budaya baru yang boleh membawa kepada perbuatan menghina Islam.
"JAKIM amat menyesali perbuatan memegang anjing secara sengaja begini tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam.
"Ini menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan pegangan mazhab dan ‘€˜uruf atau adat di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas perbuatan seorang pengguna Facebook Nurhanizah Abdul Rahman yang telah memuat naik videonya memelihara dan memegang seekor anjing dikenali Bubu hari ini.
Mengulas lanjut Othman berkata, menurut Mazhab Syafie, umat Islam dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.
"Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai ‘€˜mughalazah’€™ namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis ‘mughalazah’ secara sengaja.
"Tindakan sedemikian samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya," katanya.
Jelasnya, bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan secara berhikmah demi kebaikan bersama, individu berkenaan dinasihatkan agar dapat merujuk kepada pihak JAKIM berkaitan hukum memelihara anjing.

-Metro

'Sepandai-pandai tupai melompat...'



TERKEJUT isteri kekasih gelapnya pulang awal, seorang wanita tergesa-gesa keluar dari rumah dipercayai terjun melalui tingkap menyebabkan dia tergantung pada kabel elektrik dalam keadaan separuh bogel.
Menurut Daily Mail, rakaman video kejadian yang berlaku di China itu yang dimuat naik oleh LiveLeak semalam, sudah meraih 5,000 tontonan dengan tajuk ‘Perempuan simpanan tergantung di kabel elektrik.’
Ia bagaimanapun, tidak menyatakan lokasi tepat serta bila kejadian itu berlaku.
Wanita itu dilihat tergantung kepala ke bawah dengan hanya berseluar dalam dan baju ketat manakala orang ramai memenuhi jalan menyaksikan kejadian itu.
Wanita itu mungkin cuba melompat atau terjatuh dari tingkap ketika cuba melarikan diri selepas dia dan kekasih gelapnya terkejut dengan kepulangan awal isteri lelaki itu.

-Metro

Kasih hingga ke kubur

Beijing: Seorang bapa yang kecewa kerana tidak mampu lagi menampung kos perubatan anak perempuannya yang sakit kini membawa anaknya bermain di kubur sebagai persediaan sekiranya kanak-kanak itu meninggal dunia.
Kanak-kanak itu, Zhang Xin Lei yang berusia dua tahun disahkan menghidap talassemia ketika dia berusia dua bulan.
Ibu bapa Xin Lei membelanjakan lebih £11,000 (RM60,500) untuk kos rawatannya tetapi kini mereka kehabisan wang.
Selepas menyedari tiada apa lagi yang mereka mampu lakukan, bapanya, Zhang Liyong memutuskan satu-satunya pilihan yang ada adalah bersedia untuk kehilangan anak kesayangannya.
“Saya hanya ada pilihan ini kerana di sinilah (kubur) anak saya akan bersemadi selama-lamanya.
“Apa yang saya mampu lakukan adalah membawanya bermain di sini setiap hari kerana satu hari nanti saya akan datang ke kuburnya pada setiap hari untuk menemaninya,” katanya.
Pada setiap hari Liyong membawa Xin Lei masuk ke dalam kubur yang sudah digali dan bermain serta memeluk anaknya.
Ibunya, Deng Min yang kini sarat mengandung melihat dua beranak itu dari tepi kubur.
Liyong sudah menjual semua hartanya dan meminjam wang daripada keluarga serta rakan-rakannya tetapi dia kini kehabisan dana.
Xin Lei menghidap talassemia teruk, sejenis penyakit keturunan yang menjejaskan kandungan oksigen dalam darah.
Mereka yang menghidap penyakit itu memerlukan rawatan sepanjang hayat termasuk pemindahan darah.
Tanpa pemantauan rapi dan rawatan berterusan, penyakit itu boleh mengakibatkan kerosakan organ dan membawa maut.
Ibu Xin Lei memberitahu, mereka kini tidak mampu melakukan apa-apa lagi dan hanya bersedia sekiranya anaknya mati.

-Metro

Tuesday, 4 July 2017

Diseksa hingga mati kerana salah sangka



AKIBAT disangka mahu menculik kanak-kanak, seorang wanita yang mengalami masalah mental diseksa dengan diikat, dicukur rambut, dibogelkan, dibelasah dan dilempar batu hingga mati oleh penduduk sebuah kampung di Benggala Barat, India, Selasa lalu.
Wanita itu, Otera Bibi, 42, yang tinggal bersama ibu bapanya merayau hingga ke kampung Mithipur-Panagarh berhampiran sebelum singgah di sebuah pondok. Pemilik pondok itu, Dilip Ghosh, membuat kecoh kononnya wanita itu menculik anak perempuannya berusia 10 tahun.
Bulan lalu, seorang kanak-kanak di kampung itu hilang, dipercayai dilarikan.
Menurut Daily Mail, penduduk kemudian menangkap Otera, mengikatnya pada traktor dan membelasahnya, termasuk melemparnya dengan batu.
Otera cuba memberitahu sesuatu namun penduduk tidak faham apa yang dikatakannya.
Menurut saksi, mereka mengoyakkan pakaiannya dan mencukur rambut wanita malang itu tanpa belas kasihan sehingga polis tiba tiga jam kemudian dan mengejarkannya ke hospital di Jangipur namun disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Murshidabad, Superintendan Mukesh, berkata pihaknya sudah memulakan siasatan kes itu dan berusaha mengenal pasti penyerang.
Bebrapa orang ditahan untuk soal siasat namun tiada yang direman.
Menurut ibu bapa wanita itu, Otera mengalami masalah mental dan sering merayau, termasuk tidak pulang ke rumah selama beberapa hari.

-Metro

Monday, 3 July 2017

'Lelaki kulit kayu' dipulau penduduk kampung

Weihui (China): Seorang lelaki dipulau penduduk kampungnya selepas menghidap sejenis penyakit yang menyebabkan kulitnya menjadi kasar seperti kulit kayu.
Li Xitian, 58, yang tinggal di sebuah kampung di Weihui di wilayah Henan mengalami penyakit ganjil itu selama lebih 30 tahun.
Kerana keadaan kulitnya yang kasar dan merekah penduduk kampung menggelar Li sebagai ‘Lelaki Kulit Kayu’.
Kerana bimbang penyakit itu berjangkit, penduduk kampung enggan bertemu Li dan memencilkan lelaki berkenaan.
Li yang tidak berkahwin membina sebuah rumah di satu kawasan terpencil di kampung itu supaya boleh hidup dengan aman.
Lelaki itu berkata, penyakit itu bermula selepas kulit kepalanya luka semasa menggunting rambut ketika berusia dalam lingkungan 20 tahun.
Sejak itu, luka berkenaan menjadi kasar dan mula merebak di kepala hingga ke badan dan kaki.
“Saya pergi hampir ke seluruh negara untuk mencari penawar penyakit ini tetapi doktor hanya mampu mengurangkan kesannya.
“Saya sudah menghabiskan semua wang simpanan untuk berjumpa doktor dan kini hidup dengan bantuan kerajaan,” katanya.
Doktor memberitahu, Li kemungkinan mengalami penyakit psoriasis yang teruk - satu keadaan genetik yang berpunca daripada faktor persekitaran.
Dalam kebanyakan kes, penyakit yang tiada penawar itu hanya menyebabkan tompok merah pada kulit tetapi Li mengalami keadaan yang lebih teruk. 

- Agensi/Metro

Rakam hidup dalam kubur

Dudley, Britain: Dua lelaki tinggal di dalam keranda yang ditanam di dalam tanah selama 24 jam dan merakamkan aksi mereka secara langsung semata-mata mahu popular di laman sosial.
Jay Swingler dan Romell Henry memulakan aksi bahaya mereka pada Khamis lalu dan menyiarkan pengalaman mereka ditanam hidup-hidup di YouTube.
Dua lelaki itu mempunyai saluran YouTube dikenali sebagai TGFBro dan sering menyiarkan aksi bahaya semata-mata mahu lebih ramai menonton video mereka.
Sebelum ini mereka duduk di dalam peti sejuk selama 24 jam dan turut menyiarkan aksi mereka di saluran YouTube berkenaan.
Saluran TGFBro mempunyai lebih 2.5 juta pelanggan dan ditonton lebih 381 juta kali sejak dilancarkan pada 2012.
Bagaimanapun, Swingler dan Henry masih tidak berpuas hati dan bertekad untuk membuat aksi lebih bahaya bagi menarik lebih ramai penonton.
Mereka yang berasal dari Dudley membina sebuah keranda dan menggali lubang sedalam satu meter di belakang rumah.
Puluhan ribu pengguna menonton siaran secara langsung berkenaan dan ramai yang mengecam aksi itu yang dianggap sebagai bodoh serta bahaya.
Swingler dalam satu kenyataan di Facebook berkata, “Selepas gagal membuat siaran langsung di dalam peti sejuk kerana capaian Internet yang perlahan kini kami mendapat idea untuk membuat sesuatu yang 10 kali lebih teruk.
“Saya dan Henry akan ditanam hidup-hidup di dalam kubur selama 24 jam.
“Kami menyediakan saluran oksigen dan bekalan makanan yang mencukupi,” katanya.
Swingler kelmarin mengumumkan mereka berjaya menamatkan cabaran itu dan kini merancang aksi yang lebih bahaya lagi.

-Metro