Beijing: Seorang bapa yang kecewa kerana tidak mampu lagi menampung kos perubatan anak perempuannya yang sakit kini membawa anaknya bermain di kubur sebagai persediaan sekiranya kanak-kanak itu meninggal dunia.
Kanak-kanak itu, Zhang Xin Lei yang berusia dua tahun disahkan menghidap talassemia ketika dia berusia dua bulan.
Ibu bapa Xin Lei membelanjakan lebih £11,000 (RM60,500) untuk kos rawatannya tetapi kini mereka kehabisan wang.
Selepas menyedari tiada apa lagi yang mereka mampu lakukan, bapanya, Zhang Liyong memutuskan satu-satunya pilihan yang ada adalah bersedia untuk kehilangan anak kesayangannya.
“Saya hanya ada pilihan ini kerana di sinilah (kubur) anak saya akan bersemadi selama-lamanya.
“Apa yang saya mampu lakukan adalah membawanya bermain di sini setiap hari kerana satu hari nanti saya akan datang ke kuburnya pada setiap hari untuk menemaninya,” katanya.
Pada setiap hari Liyong membawa Xin Lei masuk ke dalam kubur yang sudah digali dan bermain serta memeluk anaknya.
Ibunya, Deng Min yang kini sarat mengandung melihat dua beranak itu dari tepi kubur.
Liyong sudah menjual semua hartanya dan meminjam wang daripada keluarga serta rakan-rakannya tetapi dia kini kehabisan dana.
Xin Lei menghidap talassemia teruk, sejenis penyakit keturunan yang menjejaskan kandungan oksigen dalam darah.
Mereka yang menghidap penyakit itu memerlukan rawatan sepanjang hayat termasuk pemindahan darah.
Tanpa pemantauan rapi dan rawatan berterusan, penyakit itu boleh mengakibatkan kerosakan organ dan membawa maut.
Ibu Xin Lei memberitahu, mereka kini tidak mampu melakukan apa-apa lagi dan hanya bersedia sekiranya anaknya mati.
-Metro
No comments:
Post a Comment