Sunday, 12 January 2014

Biodata iblis, anda patut tahu!


Nama sebenar: IBLIS LAKNATULLAH Kelahiran: Bermula dari keengganannya sujud kepada Nabi Adam a.s Status diri: Fasik kelas pertama Agama: Kufur Tempat Tinggal: Di hati-hati mereka yang lalai Alamat Tetap: Neraka jahanam Kawasan: Di setiap penjuru yang di dalamnya tiada usaha langsung untuk mengingati ALLAH Arah perjalanan: Tiada haluan dan bengkang-bengkok Isteri: Setiap wanita yang tidak menutup aurat, tidak mentaati ALLAH, Rasul dan suaminya Kaum kerabat: Semua golongan yang menentang dan memusuhi ALLAH Modal pusingan: Angan-angan kosong dan tipu daya yang halus Tempat pertemuan: Konsert-konsert hiburan, pasar-pasar dan di semua tempat jual beli Musuh ketat: Setiap orang Islam yang beriman dan bertakwa Sahabat karib: Anak-anak Adam Motto kerja: 'Hipokrasi asas akhlak' Hobi: Melalaikan orang dari mengingati ALLAH, menggoda manusia lalu menyesatkannya Cita-cita: Supaya semua makhluk di muka bumi ini menjadi kafir Sukan (yang tidak digemari): Acara langkah seribu (semasa malaikat maut ingin mencabut nyawa) Kelemahan diri: Bila manusia membaca istighfar Mentor yang dikagumi: Manusia yang mempunyai berkelebihan lebih dari dirinya Logo: Sebarang tatu Pejabat operasi: Tandas, bilik air, tempat yang bernajis dan kotor serta tempat-tempat maksiat Rakan kongsi: Golongan munafik serta syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia Sumber pendapatan: Segala harta yang diperoleh dengan jalan haram dan riba Jenis perkhidmatan: Menggalakkan manusia mengerjakan kemungkaran dan derhaka terhadap ALLAH SWT Tempoh perkhidmatan: Sehingga hari khiamat Matlamat sebenar: Membawa anak cucu Adam bersama-sama ke neraka jahanam Teman sejawat: Orang yang suka mendiamkan dirinya dari menyatakan kebenaran Ganjaran: Dosa-dosa kecil/besar dan kemurkaan ALLAH Pembantu setia: Orang yang suka mengumpat, mencaci, memaki hamun, menghasut, pendengki dan pendendam Peristiwa yang tak dapat dilupakan: Semasa ALLAH menjadikan Nabi Adam a.s Kenangan manis: Di waktu manusia diambang sakaratul maut, mati dalam kekafiran Kenangan pahit: Manusia yang digodanya mati dalam keimanan Makanan kegemaran: Daging orang mati, segala najis dan kotoran Minuman yang digemari: Wiski, brandi, tequila, todi, wine, arak dan semua minuman yang memabukkan. Yang paling ditakuti: Orang mukmin yang bertakwa Yang paling dibenci: Orang yang sentiasa berzikir dan mengingati ALLAH Alat perangkap: Wanita-wanita cantik, model, pelacur, peragawati dan sebagainya Saat ajal: Bila tiba waktu yang ditentukan ALLAH di hari kiamat kelak Yang paling membosankan: Bila tiada lagi manusia yang mahu mengikuti kemahuannya Tugas yang paling meletihkan: Menganggu manusia ke arah kebaikan kerana ALLAH Taala Tugas yang paling disukai: Mengajak melakukan homoseks, lesbian dan berzina Janji kepada manusia: Janji-janji kosong, angan-angan dan tipu daya Yang membuatnya gembira: Manusia yang mengikut jejak langkahnya Saat yang mendukacitakannya: Manusia yang mempunyai cita-cita untuk bertaubat Yang membuatnya menangis: Bila manusia yang disayanginya sujud kepada ALLAH SWT Dipetik dari detikislam.blogspot.com

Lipas terbesar dalam telinga manusia


Darwin (Australia): Doktor menarik keluar bangkai lipas sepanjang satu inci yang memasuki telinga seorang lelaki ketika tidur. Hendrik Helmer terjaga daripada tidur apabila terasa sakit dan cuba menggunakan pembersih vakum untuk menarik benda asing yang dirasai bergerak di dalam telinga kanannya, namun gagal. “Saya mengagak ada serangga di dalam dan ketika itu bimbang ia mungkin labah-labah berbisa,” katanya. Helmer akhirnya ke hospital selepas tidak tahan kesakitan yang semakin menjadi-jadi. Doktor kemudian menuangkan minyak zaitun ke dalam telinga itu menyebabkan lipas berkenaan lemas dan mati. “Namun sebelum itu lipas berkenaan masuk lebih dalam dan mengambil hampir 10 minit untuk mati. “Saya tetap rasa sakit kerana lipas itu menggelupur sebelum mati,” katanya. Doktor kemudian mengeluarkan lipas itu menggunakan penyepit dan terkejut apabila mendapati saiznya sepanjang seinci dipercayai serangga terbesar ditemui dalam telinga manusia. Helmer tidak bimbang kejadian berulang, namun rakan-rakannya kini memakai penutup telinga sebelum tidur selepas geli mendengar pengalamannya. - Agensi/Metro

Saturday, 11 January 2014

Kunyah kereta lepas marah

Cardiff: Seorang wanita mengejutkan orang ramai apabila bertindak menggigit bumbung kereta mereka selepas terbabit dalam pergaduhan. Perbuatan Rhian Jeremiah, 26, menggigit bumbung kereta Fiat 500 itu tidak ubah seperti watak penyangak dalam filem James Bond yang dikenali sebagai Jaws. Selina Day, 23, memberitahu Mahkamah Majistret Aberystwyth semalam, dia dan dua rakannya terkejut apabila terdengar bunyi besi dikerkah Rhian yang dipercayai mabuk ketika itu. Katanya, mereka bertiga sebelum itu meletakkan kereta di luar sebuah restoran makanan segera sebelum tiba-tiba dihampiri Rhian yang kelihatan agresif dan marah. “Wanita itu cuba membuka pintu sambil memaki hamun namun saya tidak faham apa dikatakannya kerana dia terlalu mabuk. “Berlaku sedikit pertengkaran sebelum dia tiba-tiba menggigit bumbung kereta. “Memang kami terdengar bunyi besi dikerkah,” katanya ketika memberi keterangan. Pihak polis menemui bekas gigitan pada kenderaan itu malah kerosakan itu menelan belanja lebih £200 (RM1,073) untuk diperbaiki. Mahkamah diberitahu, Rhian sebelum itu minum arak ketika majlis memperingati hari lahir teman lelakinya Simon Jones yang mati lemas, baru-baru ini. Rhian dihukum melakukan kerja khidmat masyarakat selama 12 bulan dan menghadiri 20 sesi kaunseling bagi penyalahgunaan alkohol selepas didapati bersalah menyebabkan kerosakan jenayah dan menyerang dua pegawai polis yang dipanggil memberi bantuan. - Agensi

Friday, 10 January 2014

VAT 69 : 'Jangan tembak kecuali diserang'


KOTA KINABALU - Pasukan penembak hendap VAT69 yang menjalankan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lepas diberi arahan supaya tidak melepaskan tembakan ke arah pengganas Sulu jika mereka dikesan. Superintendan Mancha Anak Ata dari unit Komando VAT69 Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata arahan itu diberi oleh Komander Taktikal Operasi Datuk Abdul Rashid Harun dalam satu taklimat di sebelah pagi sebelum Mancha dan pasukannya selain empat pasukan lagi memasuki kampung itu untuk menjalankan operasi berkenaan. “Kami tidak dibenarkan menyerang atau melepaskan tembakan ke arah penceroboh bersenjata (jika dikesan) melainkan kami diserang atau ditembak terlebih dahulu oleh penceroboh itu,” beliau memberitahu Mahkamah Tinggi, yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah, semalam. Mancha beri keterangan pada perbicaraan 30 orang berdepan pelbagai pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah tahun lepas. Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed berhubung kedudukan sekumpulan 35-40 pengganas ketika mereka meneriak kepada pasukan penembak hendap “Tiger! Berambus kau dari sini. Ini bumi kami!” sebelum pertempuran tercetus pada hari berkenaan, Mancha berkata: “berselerak, tetapi dekat antara satu sama lain).” 22 daripada 30 individu dibicarakan bersama, termasuk dua lelaki rakyat Malaysia, terhadap pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda. Daripada 22 orang itu, seorang berdepan dua pertuduhan tambahan merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas. Lima daripada lapan lagi tertuduh didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas; seorang daripada mereka, satu-satunya wanita daripada 30 orang itu yang juga warga Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya menjadi anggota kumpulan pengganas, manakala dua lagi didakwa cuba melindungi orang yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas. Bakinya adalah warga Filipina. Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung, bersambung hari ini -Bernama/Sinar

Friday, 3 January 2014

Antara bughah, lughah dan lurah


SEJAK semalam kita heboh dengan cerita ‘bughah’ yang mana puncanya dikatakan berasal usul daripada kenyataan seorang mufti yang dilaporkan berkata kumpulan demonstran pada malam tahun baru di Kuala Lumpur dua hari lalu sebagai ‘bughah’ dan ‘bughah’ mengikut hukum adalah halal darah mereka. Keras. Memang sangat keras. Dan oleh kerana kerasnya kenyataan itu, saya tidak yakin bahawa apa yang dilaporkan adalah yang sebenar sebagaimana dikatakan oleh mufti berkenaan. Maka saya pun hubungi seorang rakan wartawan Sinar Harian dan minta disahihkan oleh mufti, apa benar begitu kenyataannya sebagaimana yang disiarkan oleh akhbar. Ya, saya tahu pendapat saya ini pastinya tidak disukai oleh ramai kawan-kawan wartawan. Akan tetapi sebagai orang Islam, saya tidak dapat terima sikap ambil mudah pada kenyataan seseorang ulama apa lagi yang bertaraf mufti. Ini kerana apa yang juga yang diperkatakannya, adalah membawa imej, reputasi dan kredibiliti Islam, bukan hanya pada batang tubuhnya sahaja. Maka jika sesuatu kenyataan itu kontroversi sifatnya, biarlah apa yang disiarkan itu 100 peratus sebagaimana yang dikata dan yang 100 peratus itulah juga disiarkan dalam media. Implikasi daripada hukum ‘halal darah’ adalah sangat berat. Saya berasa teramat sedih melihat kenyataan-kenyataan biadab, maki hamun yang bukan sahaja tidak seharusnya dituju kepada seorang mufti atau ulama malahan juga kepada orang biasa seperti saya yang kini sudah jadi mainan dalam media sosial. Saya yakin, daripada yang memaki hamun mufti itu, termasuk juga yang baru pertama kali kenal perkataan ‘bughah’ ataupun yang merujuk kepada Google dahulu. Selepas itu, tanpa segan silu terus maki hamun orang lain seolah-olah sudah khatam 20 atau 30 kitab hal ‘bughah’. Begitulah hebatnya pahlawan-pahlawan papan kekunci kita! Walau apa pun, saya akui bahawa saya sendiri terkejut melihat kenyataan itu tetapi saya ambil pendekatan tidak mahu terus percaya bulat-bulat. Saya bukan kata keseluruhan tetapi mungkin kenyataan 50 kilometer disingkat kepada 20 kilometer atau 30 kilometer sahaja. Maklumlah, sekarang minyak mahal, bukan? Tetapi, kenalah ingat, kenyataan halal darah bukan main-main. Apa lagi jika dilaporkan dari mulut seorang mufti. Mufti adalah individu yang layak untuk berfatwa. Sedang Salman Rushdie seorang pun gegak –gempita dunia dibuatnya, inikan pula berpuluh ribu orang! Walau apa pun, berlakunya konflik yang semacam ini menyebabkan kita secara tidak langsung dapat belajar beberapa istilah baharu dalam bahasa Arab. Kalau dahulu kita dihadapkan dengan perkataan seperti mubahalah, muqobalah dan macam-macam ‘lah’ lagi, hari ini kita belajar ‘bughah’ pula. Apa yang pasti, walaupun sudah macam-macam pendekatan dicadang untuk merapatkan jurang sesama kita, hakikatnya, makin lama, makin parah. Muqobalah tidak menjadi sebaliknya yang makin menjadi-jadi ialah ‘mu koho balah’ atau semakin teruk berbalah. Nampaknya, kita tidak pernah ambil pengajaran untuk insaf dan berusaha merapatkan semula perbezaan. Apa yang kita dapat hanya belajar ‘lughah’ atau bahasa Arab! Sebut pasal sambutan malam tahun baharu, selain ‘bughah’ ada satu lagi yang perlu disentuh iaitu ‘lurah’. Kita semua maklum bahawa setiap tahun, sudah bertahun-tahun, sambutan tahun baharu diraikan dengan bermacam-macam pesta maksiat. Bermula dari pertunjukan hiburan di Dataran Merdeka, aksi menunjukkan ‘lurah’ di atas pentas, kemudian berjangkit kepada meraba ‘lurah’ oleh bughah-bughah yang di bawah. Adegan ini kemudian bersambung-sambung pula ke satu lagi ‘rah’ iaitu hotel murah yang sudah awal ditempah di Chow Kit, Jalan Raja Laut atau di mana-mana sahaja. Tidak pernah berubah! Aksi ‘lurah’ yang murah tetapi cara sambutannya tidak pula murah pun ada juga. Tinjaulah di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Sri Hartamas atau Bukit Bintang. Ini pesta ‘lurah’ untuk anak-anak orang kaya lagi kenamaan! Tahun ini, DBKL peruntukan ratusan ribu ringgit kos untuk sambut tahun baharu pada ketika warga kota sudah mula kebingungan berikutan ura-ura cukai pintu akan dinaikkan. Dan buat pertama kali, tahun ini ada suara daripada Pemuda Umno supaya sambutan tahun baharu diubah, ditinggalkan acara-acara yang ‘lagha’ sebaliknya ditumpu hanya pada acara yang bersifat agama. Pun, tidak diikut juga! Akhirnya, yang ‘lurah’ juga yang dibenarkan bebas di bumi bertuah ini! -Muhamad Mat Yakim @ Sinar

Pemikiran Islam Liberal - Fahaman berpandu nafsu, akal


Pemikiran Islam Liberal berteraskan kepada beberapa dasar. Namun, sebelum itu kita lihat asas umum yang menjadi momentum kepada ideanya. Antara gagasan itu sebagaimana yang dikemukakan Charles Kurzman adalah seperti berikut : Syariat liberal - berhujah bahawa ayat al-Quran dan amalan Nabi mengarahkan Muslim untuk mengikuti amalan liberal. Syariat senyap - berpendapat bahawa kewujudan bersama tidak dikehendaki oleh syariat, tetapi dibenarkan. Kiasan ini berhujah bahawa syariat senyap mengenai topik tidak pasti kerana wahyu tidak lengkap atau rosak, tetapi kerana wahyu sengaja dibiarkan begitu, manusia boleh membuat pilihan ke atas isu tertentu. Syariat ditafsirkan - kiasan ketiga ini menunjukkan bahawa kepelbagaian agama tidak dapat dielakkan, bukan hanya dalam kalangan komuniti agama, tetapi dalam Islam itu sendiri. Secara ringkas, idea ini dijadikan bahan anjakan dalam melahirkan beberapa dasar pemikiran Islam Liberal. Antara dasar pemikiran Islam Liberal adalah seperti berikut: Pluralisme agama (kesatuan agama) Golongan Islam Liberal berpendapat Islam bukan satu-satunya agama yang benar. Bahkan, semua agama di dunia ini adalah sama dan benar berdasarkan kepada konsep keseluruhan. Iaitu semua agama memiliki Tuhan dan menganjurkan kebaikan. Justeru, mereka menganggap masyarakat beragama Islam perlu menerima teologi pluralis dan kefahaman yang menghubungkan semua agama (lintas agama). Sebagai contoh, Nurkholis Majid berpendapat bahawa pluralisme sesungguhnya adalah aturan Tuhan (sunnatullah) yang tidak akan berubah sehingga juga tidak mungkin ditentang dan diingkari. Beliau mengibaratkan pluralisme seperti roda, pusat roda itu adalah Tuhan dan jaringnya adalah simbolik dari perbagai agama. Demikian juga pendapat yang dikemukakan oleh Alwi Shihab di dalam bukunya Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama. Beliau berpendapat bahawa ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Ma’idah itu bersifat inklusif bukannya eksklusif untuk umat Islam sahaja. Pendapat ini disokong oleh Abd Rahman Wahid, Djohan Effendi, Arief Budiman dan ramai lagi. Ulil Absar Abdalla pula mengatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju kebenaran. Jadi Islam bukanlah yang paling benar.” Bertitik tolak daripada fahaman ini, mereka menyimpulkan bahawa semua agama adalah sama. Dengan itu, mereka begitu mudah menghalalkan perkahwinan antara penganut yang berbeza agamanya. Mereka mendakwa inilah sebahagian daripada hasil ijtihad dan pembaharuan hukum pada dimensi Islam. Paling tuntas, dasar inklusif-pluralis ini sebenarnya menyimpang daripada kebenaran. Bahkan, ia mengutamakan kehendak akal dan nafsu semata-mata. Al-Quran sebagai produk budaya Penganut Islam Liberal enggan menyebutkan ‘Allah berfirman’ disebabkan mereka mendakwa al-Quran adalah susunan kata-kata Muhammad atau karya bersama. Mereka berhujah bahawa teks al-Quran dalam bentuk apapun pada hakikatnya adalah produk budaya. Sebagai contoh, Nasr Hamid Abu Zayd menganggap hukum-hakam di dalam al-Quran hanyalah sesuai dengan sosio-budaya, ekonomi dan politik masyarakat Arab abad ketujuh sahaja. Oleh itu, adalah tidak sesuai jika ia hendak dipraktikkan tanpa sebarang kajian dan menilai hikmah di sebalik penurunan ayat berkenaan. Tidak cukup dengan teori logik di atas, Nasr Hamid Abu Zayd dengan keras mengkritik metodologi ulama tafsir Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau mendakwa autoriti tafsir bukannya dimiliki oleh ahli tafsir terdahulu. Bahkan beliau berpendapat bahawa kalangan ahli tafsir melakukan satu kesilapan besar kerana menafsirkan sesuatu ayat dengan unsur kenabian dan penurunan wahyu. Selain itu, muncul pula Hassan Hanafi dari Mesir yang mempelopori pemikiran Islam Berhaluan Kiri. Beliau berpendapat bahawa nas al-Quran adalah dilalah dzanniyyah (dalil yang diragui), manakala akal adalah pemutus (al-qat’iyah) terhadap perkara yang berkaitan dengan ketuhanan, kenabian dan hari akhirat. Muhammad Arkoun pula menggunakan pendekatan sejarah dalam menafsirkan al-Quran. Beliau berkeyakinan bahawa sebarang kajian kritis sejarah terhadap al-Quran adalah satu bentuk ijtihad zaman kini. Lantaran itu, beliau mengintegrasikan bahan sejarah dari pelbagai agama seperti Hindu, Buddha, Injil Perjanjian Lama dan Injil Perjanjian Baru. Beliau juga berpendapat al-Quran itu lebih suci ketika berada di peringkat pertama jika dibandingkan dalam bentuk bertulis. - Bersambung Metro/Rehal Muhtadin -Penulis ialah Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri

Alahai dunia : ‘Dia syok sendiri’


Melaka: “Mustahil untuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi pengiktirafan kepada Noor Jan Shah sebagai Sultan Melaka sedangkan kerajaan Malaysia sendiri tidak mengiktiraf beliau,” kata pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam. Menurut beliau yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), tidak munasabah untuk ICJ berbuat demikian tanpa mendapatkan pandangan daripada kerajaan dan pakar sejarah di negara ini. “Soal mendapat pengiktirafan ICJ itu adalah urusan dia (Noor Jan), tetapi kita tidak boleh rekod, malah tiada rekod rasmi yang dicatatkan oleh kerajaan Malaysia yang mengesahkan dia adalah Sultan Melaka. Kita tidak boleh terima pakai pengiktirafan itu. “Mungkin dia nak jadi terkenal dengan berbuat demikian. Niat sebenar hanya dia yang tahu,” katanya. ketika dihubungi, di sini, semalam. Harian Metro semalam melaporkan bukti pengiktirafan ICJ yang ditunjukkan ahli perniagaan lingkungan 50-an yang mendakwa dirinya pewaris Sultan Melaka ke-44 dan pewaris takhta ke-35 Sultan Perak itu tidak kuat bagi membuktikan beliau adalah waris Kesultanan Melaka. Bukti terbaru yang dikemukakan itu masih boleh dipertikaikan dari segi kesahihannya oleh pakar sejarah. Mengulas lanjut, Dr Ramlah berkata, sebagai pengkaji sejarah negara, beliau tidak pernah menemui bukti dalam mana-mana dokumen, risalah atau buku bahawa akan wujud seorang individu yang bergelar Sultan Melaka baru. “Malah, semua pengkaji sejarah di negara ini juga tidak pernah membangkitkan soal berkenaan dalam mana-mana pentas perbincangan atau forum. “Dari segi kisah sejarah lampau, memang tiada bukti akan wujud Sultan Melaka baru dan pengakuan dia mungkin kerana syok sendiri atau ada sesuatu niat yang kita sendiri tak tahu,” katanya. -Metro

Saintis cipta suntikan halang barah payudara


London: Ahli sains kini mencipta dadah yang boleh disuntik bagi menghalang barah payudara yang dilihat mampu memanfaatkan jutaan wanita di seluruh dunia. Ia disasarkan bagi penghidap barah peringkat awal dikenali sebagai karsinoma duktus in situ (DCIS). Bagaimanapun, dadah itu tidak berkesan terhadap jenis barah payudara lain yang hanya boleh dikenal pasti selepas mencapai peringkat lanjut. 5,000 wanita di United Kingdom didiagnos dengan DCIS setiap tahun, namun hanya separuh kes berkenaan menjadi lebih agresif. Malangnya, doktor tidak dapat meramalkan sejauh mana kesan DCIS terhadap setiap pesakit mengakibatkan kebanyakan mereka terpaksa melalui pembedahan, malah ada yang terus membuat mastektomi. - AP/Metro

Bapa kurung anak dalam reban ayam


Kuala Terengganu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun bukan saja dimaki dan dipukul ayahnya sendiri, malah turut dikurung dalam reban ayam gara-gara tindakannya yang gemar ke rumah kakaknya dalam kejadian di Kampung Teluk Pasu, Manir di sini, Ahad lalu. Menurut sumber, nasib menimpa kanak-kanak malang itu hanya diketahui kakaknya berusia 20 tahun yang tinggal di Kampung Losong Megat Hussin, di sini, kira-kira jam 8 malam hari sama selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang lagi adik perempuannya yang memaklumkan perbuatan ayah mereka. Katanya, sebelum kejadian itu, mangsa yang berada di rumah kakaknya dimarahi suspek berusia 50-an yang kebetulan datang ke rumah kakaknya itu. “Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang masih kecil dimaki hamun suspek yang dikatakan tidak suka melihat anaknya berada di situ. “Selepas puas memarahi mangsa, suspek kemudian beredar sambil membawa mangsa meninggalkan kediaman itu. “Perasaan tidak puas hati suspek rupa-rupanya tidak berakhir di situ apabila mangsa dipukul ketika berada di rumah. “Malah, suspek turut bertindak kejam apabila mengurung anak kecil itu di dalam reban ayam kononnya sebagai memberi pengajaran,” katanya. Sumber berkata, ketika kejadian, seorang lagi kakak mangsa berusia 16 tahun turut berada di rumah, tetapi hanya mampu melihat tindakan tidak berperikemanusiaan ayah mereka kerana bimbang diapa-apakan jika masuk campur sebelum memaklumkan kejadian itu kepada kakaknya. Katanya, susulan kejadian itu, kakak mangsa yang bimbang keselamatan adiknya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan. -Metro

Thursday, 2 January 2014

Wanita mengilai jam 4 pagi


Port Dickson: “Lepaskan saya, saya nak menari, jangan pegang saya… tolonglah,” kata seorang wanita berusia awal 20-an yang secara tiba-tiba diserang histeria ketika tidur di dalam sebuah khemah di Batu 4, Jalan Pantai, di sini, awal pagi semalam. Wanita terbabit yang mengikut teman lelakinya menyertai Pertandingan Bola Sepak Pantai Sepanjang Malam anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), mengejutkan orang ramai yang menyaksikan perlawanan itu apabila diserang histeria dan menari ‘ulik mayang’ pada jam 4 pagi. Wanita berkenaan yang kemudian meraung sekuat hati dan berlari seperti mengejar sesuatu menyebabkan perlawanan terhenti seketika dan beberapa pengunjung terpaksa menenangkan wanita itu. Saksi kejadian, Yusri Hassan, 35, berkata, sebelum kejadian dia sedang menyaksikan perlawanan bola sepak yang diadakan sempena sambutan tahun baru 2014. Katanya, ketika asyik menonton perlawanan, tiba-tiba terdengar suara wanita mengilai seperti dirasuk daripada khemah berhampiran menyebabkan 100 penonton panik. “Akibatnya, beberapa pengunjung menyerbu ke khemah wanita itu dan menyaksikannya dalam keadaan dirasuk,” katanya yang ditemui di tempat kejadian. Wartawan yang berada di lokasi kejadian membuat liputan perlawanan itu turut terkejut apabila mendapati wanita berkenaan tiba-tiba meracau. Ada beberapa individu cuba menenangkan wanita itu, tetapi dia meraung supaya dilepaskan kerana ingin membuat tarian ulik mayang. “Tolong lepaskan saya, jangan pegang, saya nak menari,” rayu wanita berkenaan kepada orang ramai dan kemudian membuat tarian berkenaan. Bagaimanapun, selepas 10 minit ditenangkan pengunjung selain dibacakan ayat suci al-Quran, wanita berkenaan kembali tenang namun masih lemah. Dia kemudian dibawa pengunjung wanita lain memasuki kereta sebelum perlawanan bola sepak diteruskan. Mengimbau kejadian sama, Harian Metro pada 10 November lalu melaporkan hampir 50 peserta Perhimpunan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Batu 1, Jalan Pantai, pernah diserang histeria ketika mengadakan tarian ulik mayang dan kuda kepang. Menurut laporan, keadaan dapat dipulihkan apabila beberapa pengamal perubatan Islam tampil memberikan bantuan. Sementara itu, pengamal perubatan Islam dari daerah ini, Ustaz Mohammad Salleh menasihatkan pengunjung pantai di daerah ini lebih berhati-hati dan menjaga tingkah laku ketika berada di kawasan berkenaan. Katanya, ia kerana makhluk halus berada di mana-mana tanpa mengira tempat dan histeria sering berlaku kepada mereka yang gagal mengawal emosi. “Jika kita terlalu gembira, sedih, takut atau marah, kebarangkalian tinggi untuk dirasuk makhluk halus,” katanya ketika dihubungi, semalam. -Metro