Friday, 10 January 2014

VAT 69 : 'Jangan tembak kecuali diserang'


KOTA KINABALU - Pasukan penembak hendap VAT69 yang menjalankan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lepas diberi arahan supaya tidak melepaskan tembakan ke arah pengganas Sulu jika mereka dikesan. Superintendan Mancha Anak Ata dari unit Komando VAT69 Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata arahan itu diberi oleh Komander Taktikal Operasi Datuk Abdul Rashid Harun dalam satu taklimat di sebelah pagi sebelum Mancha dan pasukannya selain empat pasukan lagi memasuki kampung itu untuk menjalankan operasi berkenaan. “Kami tidak dibenarkan menyerang atau melepaskan tembakan ke arah penceroboh bersenjata (jika dikesan) melainkan kami diserang atau ditembak terlebih dahulu oleh penceroboh itu,” beliau memberitahu Mahkamah Tinggi, yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah, semalam. Mancha beri keterangan pada perbicaraan 30 orang berdepan pelbagai pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah tahun lepas. Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed berhubung kedudukan sekumpulan 35-40 pengganas ketika mereka meneriak kepada pasukan penembak hendap “Tiger! Berambus kau dari sini. Ini bumi kami!” sebelum pertempuran tercetus pada hari berkenaan, Mancha berkata: “berselerak, tetapi dekat antara satu sama lain).” 22 daripada 30 individu dibicarakan bersama, termasuk dua lelaki rakyat Malaysia, terhadap pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda. Daripada 22 orang itu, seorang berdepan dua pertuduhan tambahan merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas. Lima daripada lapan lagi tertuduh didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas; seorang daripada mereka, satu-satunya wanita daripada 30 orang itu yang juga warga Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya menjadi anggota kumpulan pengganas, manakala dua lagi didakwa cuba melindungi orang yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas. Bakinya adalah warga Filipina. Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung, bersambung hari ini -Bernama/Sinar

No comments: