MISTERI kecurian di asrama pelajar universiti termasuk beberapa buah motosikal di Bandung akhirnya terbongkar dengan tertangkapnya seorang lelaki yang menyamar sebagai perempuan.
Jurucakap polis Hidayatullah berkata, sebelum ini berlaku beberapa kes kecurian di asrama dan beberapa buah motosikal milik pelajar.
Katanya, dalam satu kejadian terbaru kamera keselamatan yang dipasang di kawasan asrama pelajar merakamkan aksi seorang ‘wanita’ yang lengkap bertudung memecah masuk sebuah bilik.
“Suspek dirakam mencungkil tingkap sebelum masuk ke bilik dan melarikan barangan berharga seperti komputer riba dan telefon bimbit.
“Susulan rakaman video berkenaan kami berjaya mengesan ‘wanita’ itu, dan menangkapnya sebelum mendapati suspek sebenarnya adalah lelaki,” katanya yang dipetik Merdeka.com.
Hidayatullah memberitahu, suspek berusia 27 tahun itu mengaku terbabit dalam banyak kes kecurian di bandar ini termasuk mencuri beberapa buah motosikal.
Ketika disoal-siasat suspek memberitahu dia menyamar sebagai wanita kerana mudah masuk ke kawasan asrama dan melakukan jenayah berkenaan tanpa dicurigai sesiapa.
“Ini unik kerana suspek menyamar menjadi wanita, malah jalannya dan pertuturannya juga seperti seorang wanita. Boleh dikatakan dia seorang wanita yang cantik,” kata Hidayatullah.
-Metro
No comments:
Post a Comment