Monday, 30 April 2018

Dianggap jelmaan dewa kerana 'ekor'



New Delhi: Seorang remaja dianggap ‘selebriti’ di kampungnya apabila mempunyai keadaan fizikal yang unik malah ada penganut Hindu di kampungnya yang menganggapnya jelmaan semula dewa monyet, Hanuman.
Sohail Shah, 13, dari sebuah kampung kecil di Madhya Pradesh, India dilahirkan dengan ekor rambut sepanjang kira-kira 30 sentimeter (cm) yang tumbuh di belakang badan.
Rumahnya sering dikerumuni orang ramai termasuk penduduk kampung lain termasuk pada setiap hari yang turut membawa pelbagai buah untuk mendapat berkat.
Malah guru di sekolahnya juga takut memarahinya kerana takut mencetuskan kemarahan tuhan.
Sohail berkata, walaupun beragama Islam, dia suka dengan perhatian diberikan dan tidak mahu memotong ‘ekor’ berkenaan.
“Saya tidak pernah berasa malu dilahirkan begini. Sejak saya lahir, mereka melayan saya seperti tuhan dan ia bukan satu perkara baru,” katanya.
Sementara itu, keluarga Sohail turut percaya ekornya itu membawa rezeki.
Datuknya Ashiq Shah, 60, berkata ada kumpulan tertentu mahu mengambilnya sebagai anak angkat.
“Mereka bimbang kami akan mengahwinkannya. Ini kerana mengikut mitos, Hanuman tidak pernah berkahwin.
“Ramai orang memanggilnya Hanuman, malah kami juga kadangkala bergurau menggelarnya begitu,” katanya.

-Metro

Friday, 27 April 2018

Rosliza gagal peroleh perisytiharan dirinya beragama Buddha

mahkamah rayuan

PUTRAJAYA - Seorang wanita yang mendakwa dilahirkan sebagai anak tak sah taraf kepada bapa beragama Islam dan ibu beragama Buddha, kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengisytiharkan dirinya bukan beragama Islam.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dianggotai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Suraya Othman menolak rayuan Rosliza Ibrahim.
Rosliza merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Jun 2017 yang menolak saman pemulanya untuk memohon perisytiharan bahawa dia beragama Buddha dan bukan beragama Islam.
Hakim Umi Kalthum yang mempengerusikan panel itu berkata, tiada kekhilafan boleh dirayu dalam keputusan pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi itu dan mahkamah rayuan mengesahkan keputusan itu.
Rosliza, 36, memfailkan saman pemula pada  2015 memohon perisytiharan bahawa dia seorang anak tak sah taraf yang dilahirkan ibu beragama Buddha, bahawa dia bukanlah beragama Islam dan Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa terhadapnya. 

- Bernama 

Thursday, 26 April 2018

Merangkak setiap hari jaga kerbau



Beijing: Seorang lelaki kurang upaya di barat daya China yang membela lembu dan kerbau sebagai punca pendapatan, meraih pujian dan dijadikan sebagai contoh oleh kerajaan serta penduduk di kampungnya.
Wang Zhaoquan, 47, dari daerah Yinjiang Miao di Guizhou, bergerak menggunakan tangan dan kaki kiri dalam keadaan merangkak kerana kaki kanannya tidak berfungsi akibat polio ketika berusia enam tahun.
South China Morning Post yang memetik portal berita One Day, One News, melaporkan Wang mula menternak lembu sejak tujuh tahun lalu, bermula dengan empat kerbau sebelum berkembang hasil bantuan pinjaman faedah rendah daripada kerajaan.
Setiap pagi Wang merangkak merentasi sungai dan memanjat gunung berbekalkan kayu melengkung dan pad getah yang direka bagi melindungi tangan serta mempercepatkan pergerakan untuk memberi makan ternakannya.
Meskipun kurang upaya, Wang menegaskan dia tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan dan perlu bekerja untuk menyara diri.
“Memang banyak keistimewaan untuk orang kurang upaya tetapi kita tidak boleh hanya menunggu bantuan.
“Kita perlu bekerja keras untuk memperoleh wang,” katanya.
Dia layak menerima program bantuan kemiskinan kerajaan yang membolehkannya menerima 310 yuan (RM164) setiap bulan.
Bagaimanapun, dia meminta adiknya menulis surat kepada pihak berkuasa kampung supaya membatalkan bantuan itu kerana pendapatannya melebihi kadar kemiskinan.
Dia juga merancang menubuhkan koperasi penternakan lembu bagi membantu penduduk kampungnya meraih pendapatan tinggi.
Tahun lalu, Wang dilaporkan memperoleh 20,000 yuan (RM12,400) hasil jualan ternakan,

-Metro

Wednesday, 25 April 2018

Gunting kemaluan kekasih kongsi video

Cordoba (Argentina): Tindakan teman lelakinya berkongsi pita seks dengan rakan lain menjadi punca seorang wanita mengerat kemaluan lelaki itu menggunakan gunting.
Brenda Barattini, 26, yang juga arkitek ditahan kerana mencederakan pemuzik rock, Sergio Fernandez, 40, di bandar Cordoba, Argentina pada November tahun lalu.
Mangsa mendakwa, kejadian itu menyebabkan 90 peratus bahagian zakarnya dikerat wanita terbabit.
Barattini yang menceritakan dari lokap tahanan sebelum dibicarakan berkata, dia menyerang lelaki terbabit kerana berkongsi rakaman hubungan intim mereka dengan rakan lain.
Wanita itu berkata kepada media tempatan, dia ingin mencederakan lelaki terbabit di bahagian itu dan bukan berniat mengerat terus organ terbabit.
Katanya kepada akhbar La Voz: “Saya potong kemaluannya tetapi bukan sepenuhnya. Saya cuma mencederakannya.
“Saya cuba mendapatkan bantuan. Saya tidak mahu terjadi apa-apa kepadanya memandangkan saya sendiri takut melihat darah.”
Menurutnya, tindakan teman lelakinya amat menyakitkan hati dan memberi kesan mendalam terhadap psikologi dirinya.
Bagaimanapun, dia yang ditahan tanpa sebarang ikat jamin dilaporkan menyesal dengan tindakannya itu.
Dia kini berdepan hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan.
Peguam mangsa, Felipe Trucco berkata, anak guamnya tertekan selepas melalui pengalaman ngeri dan bahaya selain menunggu giliran untuk menjalani pembedahan.

-Metro

Tuesday, 24 April 2018

Jangan ejek saya Kentut lagi...



Jakarta: Selepas sekian lama dikenali dengan nama Kentut, lelaki dari Kecamatan Pinang, Tangerang lega kerana tidak akan diejek lagi apabila dia berjaya menukar nama baharu.
Media tempatan melaporkan, lelaki berusia 30 tahun itu kini dikenali dengan nama baharu iaitu Ihsan Hadi selepas hakim Mahkamah Daerah Kota Tangerang meluluskan permohonannya, baru-baru ini.
Ihsan yang dipetik portal VIVA.co.id berkata, nama itu diberikan kedua orang tuanya sendiri yang berpendapat ia sesuai dengan penduduk kampung yang bertani.
“Mereka tidak pernah terfikir bahawa nama itu akan menyebabkan timbulnya ejekan daripada orang lain.
“Mungkin nama mereka beri itu tujuannya supaya saya menjadi petani makmur,” katanya yang berniaga mi ayam di kampungnya.
Detik News melaporkan, namanya yang dianggap lucu menyebabkan Ihsan sering menjadi mangsa ejekan sejak kecil di kampungnya.
Akibat nama itu juga, anaknya turut tertekan dan malu dengan rakan sekolah.
“Sebenarnya saya ingin menukar nama sejak berusia enam tahun lagi namun disebabkan saya tinggal di kampung dan tidak ada yang faham, saya terpaksa menggunakan nama ini selama bertahun-tahun,” katanya.


-Metro

Bekas askar dapat zakar 'baru'


BEKAS askar yang cedera akibat terkenan bom ketika berkhidmat di Afghanistan, kini menjadi penerima pertama di dunia pemindahan zakar dan skrotum, kata doktor di Hospital Johns Hopkins, New York, semalam.
Satu pasukan yang terdiri daripada sembilan pakar bedah plastik dan dua pakar bedah urologi menjalankan pembedahan terhadap bekas askar itu yang tidak didedahkan warga negaranya, selama 14 jam pada 26 Mac lalu.
Hospital itu dalam satu kenyataan memberitahu, pasukan itu memindahkan keseluruhan zakar, skrotum tanpa buah zakar dan sebahagian dinding perut daripada penderma yang sudah meninggal dunia.
Bekas askar itu yang enggan dikenali dilaporkan semakin pulih daripada pembedahan dan dijangka dibenarkan pulang pada minggu ini.
“Kami berharap pemindahan ini akan memulihkan ke tahap hampir normal fungsi kencing dan seksual lelaki muda ini,” kata ketua pembedahan plastik dan pembentukan semula, Dr WP Andrew Lee.
Pesakit berkenaan memberitahu, kecederaan yang dialaminya itu sangat mengejutkan dan sukar diterima.
“Apabila saya kali pertama bangun selepas pembedahan, saya rasa lebih normal dan lebih yakin,” ujarnya dalam kenyataan itu. 


- Reuters/Metro

Monday, 23 April 2018

Sakitnya ...dibelasah dengan wayar, tali pinggang





Moscow: Seorang lelaki ditahan polis selepas dia memukul anak perempuan teman wanitanya yang berusia empat tahun dengan wayar pengecas telefon dan tali pinggang kerana mangsa tidak dapat mengira.
Bakhram, 20, ditahan polis selepas kanak-kanak itu dibawa ke hospital dengan kecederaan teruk pada kepala, belakang, dada, perut dan tangan akibat dipukul.
Lelaki itu ditahan di sebuah rumah flat di Krasnoyarsk dan mengaku memukul kanak-kanak berkenaan dengan tujuan untuk mendidik mangsa.
Penyiasat memberitahu, suspek memukul kanak-kanak itu yang juga anak teman wanitanya selepas mangsa tidak dapat mengira dari satu hingga lima.
Ibu mangsa, Maria Belonogova, 31, hanya melihat anaknya didera dan tidak melakukan apa-apa dengan alasan terlalu takut serta bimbang dipukul suspek.
Lelaki itu kini didakwa atas tuduhan mendera kanak-kanak dan berdepan hukuman penjara tujuh tahun.

-Metro

Friday, 20 April 2018

Alahai dunia :Pesta seks pasangan berkahwin



Surabaya: Polis menahan tiga pasangan suami isteri selepas menyerbu pesta seks yang diadakan di sebuah hotel di Surabaya, Indonesia, minggu lalu.
Media Indonesia melaporkan, seorang daripada mereka mengakui sudah tiga kali melakukan kegiatan sumbang itu dan sering berhubung melalui kumpulan sembang WhatsApp.
Tribune News memetik individu yang berasal dari Sukolilo, Surabaya itu berkata, kumpulan sembang itu disertai oleh pasangan suami isteri yang berkeinginan bertukar-tukar pasangan melakukan hubungan seks.
“Memang sejak 2013 sudah ada kumpulan pasangan suami isteri ini. Selain di WhatsApp, ada juga akaun Twitter khas untuk mereka,” katanya dikenali sebagai THD.
Menurutnya, mereka sering melakukan kegiatan itu di hotel membabitkan beberapa kawasan termasuk di Tretes bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
“Tidak semua ahli datang menyertai parti seks ini. Komuniti pasangan suami isteri ini berasal dari beberapa bandar di Jatim,” katanya.
THD berkata, mereka membuat persetujuan sebelum mengadakan sebarang pertemuan di lokasi tertentu.
“Ada yang berasal dari Surabaya, Malang, Sidoarjo serta Tuban. Apabila semua bersetuju, kami mengadakan pertemuan,” katanya.

-Metro

Wanita maut disedut keluar pesawat


New York: Seorang wanita maut selepas ‘terjuntai’ di luar tingkap dan hampir disedut keluar selepas pesawat dinaiki mengalami letupan enjin di udara sebelum berjaya mendarat dengan selamat.
Ibu kepada dua anak, Jennifer Riordan, 43, menaiki penerbangan pulang ke Dallas dari New York ketika enjin kiri pesawat meletup menyebabkan puing terpelanting pada tingkap di sebelah tempat duduknya.
Menurut New York Post, beberapa penumpang lain bergegas menahannya daripada disedut keluar.
Jennifer dikejarkan ke hospital sebaik juruterbangnya mendarat kecemasan di Lapangan Terbang Philadelphia pada jam 11.27 pagi semalam (waktu tempatan).
Pihak berkuasa kemudian mengesahkan Jennifer maut akibat kejadian itu.
Daily Mail memetik penumpang, Eric Zilbert berkata: “Dia terjuntai di luar pesawat dari pinggang ke atas. Penumpang berusaha menariknya masuk dan menutup lubang tingkap berkenaan sebelum memberikannya bantuan kecemasan.”
AFP melaporkan, tujuh penumpang lain turut cedera ringan. - Agensi/Metro

Tuesday, 17 April 2018

Budak dirogol, diseksa 8 hari sebelum dibunuh

NEW DELHI: Seorang budak perempuan berusia sembilan tahun dipercayai dirogol dan diseksa sekurang-kurangnya lapan hari sebelum mayatnya ditemui dengan 86 kesan kecederaan, lapor media tempatan semalam.
Penemuan mayat itu hanya beberapa hari selepas kejadian rogol dan bunuh dua budak kecil termasuk seorang berusia lapan tahun menggemparkan India sehingga mencetuskan bantahan besar-besaran.
Menurut agensi berita ANI, mayat mangsa ditemui di padang kriket di Surat, Gujarat, pada 6 April lalu.
Laporan bedah siasat menunjukkan kanak-kanak itu dirogol dan diseksa sekurang-kurangnya lapan hari sebelum dicekik hingga mati.
Polis kini meneliti senarai orang yang dilaporkan hilang untuk memastikan jika mangsa tersenarai.
Sementara itu, Ketua Forensik Hospital Sivil, Ganesh Govekar, dipetik NDTV berkata: "Mayat mangsa mempunyai 86 kesan kecederaan termasuk di kemaluan. Kami sedang meneliti jika dia diberi dadah.
"Berdasarkan kecederaannya tidak mustahil mangsa dijadikan tawanan dan diseksa sebelum dibunuh."
The Indian Express memetik Inspektor BK Jhala sebagai berkata, ibu bapa mangsa belum datang menuntut mayatnya, menyebabkan polis menyiarkan gambar kanak-kanak itu dengan harapan dapat mengesan keluarga serta identitinya. - Agensi/BH

Penduduk gempar haiwan misteri mengganas di Santa Fe

Imej yang dikongsi di YouTube menunjukkan satu makhluk misteri
Imej yang dikongsi di YouTube menunjukkan satu makhluk misteri merayap di sebatang jalan di Santa Fe, Argentina.
SANTA FE, Argentina – Penduduk tempatan gempar apabila tersebar gambar kelibat haiwan misteri yang mengganas di bandar Santa Fe di sini baru-baru ini.
Haiwan setinggi 2.1 meter itu digambarkan memiliki fizikal separuh manusia dan separuh anjing serta didakwa telah membunuh dua ekor anjing jenis German Shepherd dan Pitbull.
Gambar kelibat makhluk itu dirakam dengan badan bongkok seperti unta dan berjalan menggunakan keempat-empat kaki yang panjang dan tirus. Makhluk itu juga memiliki leher panjang dan bentuk muka seperti kuda atau arnab.
Rakaman gambar itu dikongsi oleh pemilik akaun YouTube, UFOmania dan kini mendapat tontonan hampir 30,000 kali. 

– Agensi/Metro

Monday, 16 April 2018

Dunia oh dunia :Dalam masjid pun sempat...



SEPASANG kekasih ditangkap penduduk tempatan selepas dikesan melakukan seks di dalam masjid di Semarang, Jawa, lapor media tempatan.
Tribun News melaporkan, pasangan terbabit disyaki pernah melakukan perkara tidak senonoh beberapa kali sebelumnya berdasarkan penemuan kondom berhampiran almari telekung di ruang solat wanita. Susulan itu, pihak masjid memasang kamera keselamatan tertutup yang akhirnya berjaya merakam perbuatan tidak senonoh itu pada 9 April lalu.
Menurut merdeka.com, lelaki berusia 23 tahun dan perempuan berusia 22 tahun itu ditangkap pada 13 April lalu selepas sekali lagi kembali ke masjid berkenaan, dipercayai untuk melakukan seks lagi.
Ketua rukun tetangga Sraten, Suparno dipetik berkata: “Saya pelik bagaimana pasangan itu sanggup berbuat perkara tidak senonoh berulang kali dalam masjid yang begitu dekat dengan kampung mereka.
“Memang saya marah!”
Portal fajar.co.id memetik Ketua Polis Resor Semarang, Agus Nugroho mengesahkan dua individu itu kini dalam tahanan dan masih disiasat.

-Metro

Ibu Zahirah Macwilson selamat nikah

Ibu Zahirah Macwilson selamat nikah
Zahirah turut berada di majlis pernikahan ibunya.
IBU kepada pelakon jelita yang hangat diperkatakan, Zahirah Macwilson, telah selamat bernikah pada tanggal 24 Mac lalu.
Maslinda Yusof, 44, bertemu jodoh dengan duda anak tiga, Hairul Azni Bendiamin, 48, seorang warganegara Singapura.

"Alhamdulillah segala berjalan lancar. Majlis pernikahan serba sederhana ini dilangsungkan di Masjid Hepburn, Perth, Australia.

"Suami berkerja sebagai technician engineer di syarikat penerbangan SIA. InsyaALLAH selepas ini suami akan turut menetap di Perth," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai penerimaan Zahirah terhadap perkahwinan ini, Maslinda memberitahu bahawa anaknya itu gembira kerana ibunya sudah mempunyai teman.

Maslinda sebelum ini pernah berkahwin dengan Zainol Macwilson dan akhirnya bercerai pada 9 November 2015.

Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata.

Zainol juga sudah bernikah pada Jun 2016 secara rahsia di Kangar, Perlis.

-Sinar

Friday, 13 April 2018

Keluarga Prebet Adam mohon maaf keluarga TMJ



Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@bh.com.my
“Saya minta maaf kepada keluarga Diraja Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana terpalit dengan fitnah yang membabitkan abang saya, Prebet Adam.”
Demikian luahan adik Prebet Adam, Hawa Jaafar, 53, yang menafikan dakwaan kononnya seorang adik mereka dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail ketika berkhidmat sebagai kedi golf kepada Almarhum.
Dia berkata, mereka sekeluarga terpaksa menahan malu dan marah selama 30 tahun kerana tidak dapat menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat dan pihak berkuasa.
“Adam mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 1987 kerana masalah di tempat kerja dan tidak ada kena mengena dengan dakwaan adik kami dibunuh.
“Semua adik beradik kami masih hidup, hanya seorang saja yang sudah meninggal dunia pada 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.
Turut hadir, dua lagi adik Adam iaitu Arina Jaafar dan Arman Jaafar. Adam adalah anak sulung daripada sembilan beradik.
Mengulas lanjut, Hawa yang juga anak kedua berkata, mereka sekeluarga tidak pernah mengenali seorang pun keluarga kerabat Diraja Johor.
Malah katanya, mereka sekeluarga turut difitnah menerima wang sogokan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menafikan perkara terbabit.
“Lihatlah kediaman saya, kami cuma orang biasa. Kami tidak pernah terima sesen pun duit daripada mana-mana pihak untuk nafikan hal ini,” katanya yang tinggal di Georgetown.
Kejadian amuk Prebet Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pernah menggemparkan negara pada 1987 dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Penyanyi hamil maut ditembak peminat

Penyanyi hamil maut ditembak peminat
Samina Samoon, 24, yang hamil enam bulan maut ditembak peminat ketika membuat persembahan.

LARKANA - PAKISTAN. Seorang penyanyi yang hamil enam bulan maut ditembak seorang lelaki kerana enggan memenuhi permintaan untuk menari ketika membuat persembahan.
Samina Samoon, 24, sedang menyanyi di sebuah majlis perkahwinan apabila dia dipelawa oleh Tarique Ahmed Jatoi untuk menari bersama.
Bagaimanapun, pelawaannya ditolak dan suspek yang berang lalu bertindak menembak mangsa.
Samoon gagal diselamatkan akibat kecederaan parah yang dialaminya.
“Samoon enggan menari kerana dia hamil tetapi suspek tetap membunuhnya, dia perlu didakwa atas dua kesalahan membunuh,” kata suami mangsa, Ashiq Ali.

-Sinar

Thursday, 12 April 2018

Bayi 'ajaib' dalam longkang



Cape Town: Seorang bayi perempuan dianggap ajaib selepas ditemui hidup walaupun cuaca sejuk berhampiran sarang semut api selepas ditinggalkan dalam longkang sedalam 1.8 meter di Port Elizabeth, Afrika Selatan.
Bayi yang dalam keadaan bogel dengan tali pusat masih bersambung itu ditemui seorang wanita, Charmaine Keevy, 63, yang keluar berjalan dengan anjingnya pada awal pagi kelmarin.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik media tempatan, anjing wania itu tiba-tiba mula menyalak dan selepas mendengar bunyi tangisan dia cuba menahan kenderaan bagi meminta bantuan sebelum seorang pemandu, Cornie Viljoen, 60, berhenti.
Viljoen memberitahu bunyi yang mereka dengar adalah esakan bayi.
Mereka mengumpil dan mengangkat penutup longkang itu sebelum Viljoen turun dan meraba mencari bayi berkenaan walaupun tangannya disengat semut api.
“Saya terasa kaki bayi itu dan menyedari ini lokasi jenayah lalu terus mengambil gambar menggunakan telefon bimbit yang kemudian diserahkan kepada Charmaine untuk menyampaikannya kepada perkhidmatan kecemasan.
“Bayi itu terlalu kecil dan saya berhati-hati menariknya. Dia amat bernasib baik kerana tempat dia ditinggalkan lebih rendah daripada sarang semut,” katanya.
Bayi itu dikejarkan ke hospital dan menurut Jurucakap Kesihatan Wilayah, Sizwe Kupelo, dia mengalami hipotermia serta masalah pernafasan.
Kakitangan hospital memberikannya nama Grace April.
Jurucakap polis, Kolonel Priscilla Naidu berkata, pihaknya masih menyiasat dan merayu saksi membantu siasatan.
Sementara itu, Charmaine berkata: “Saya percaya tuhan menggerakkan hati untuk melalui kawasan itu kerana saya tidak pernah berjalan di situ. 

- Daily Mail/Metro

Tuesday, 10 April 2018

Gigit, telan jari tengah polis


New York: Seorang lelaki dituduh menggigit jari tengah anggota polis sehingga putus dan menelannya ketika ditahan kerana melakukan vandalisme.
Ainsley Johnson, 34, dilaporkan menggigit hingga putus jari polis berusia 24 tahun itu di dalam balai polis di Brooklyn, malam Jumaat lalu selepas melawan ketika hendak digari untuk dibawa ke lokapnya.
Johnson dan anggota itu bergelut sebelum dia menggigit hujung jari mangsa pada bahagian kuku.
Rakan setugas mangsa tidak sempat menyelamatkan jarinya.
Johnson sebelum itu ditahan kerana merosakkan pintu dan tingkap kereta BMW seorang lelaki turut dikenakan tuduhan menyerang polis dan melawan penangkapan.

-Metro

Cikgu tidur.. mari kita main!



SEORANG guru di sebuah sekolah di India dikenakan tindakan disiplin selepas gambarnya tidur dengan kaki di atas meja ketika waktu mengajar di kelas tersebar di Internet.
Ashok Kumar Yadav yang bertugas di Sekolah Urdu di Maddhipur di negeri Bihar dilaporkan tidur di dalam kelas, sementara pelajarnya menunggu dia bangun bagi meneruskan pelajaran.
Menurut laporan News18, gambar itu dirakam seorang pelajar dan Yadav dikatakan terus tidur walaupun loceng berbunyi, menandakan tamat waktu persekolahan.
Guru besar sekolah itu memberitahu News18, dia sedar dengan sikap Yadav dan beberapa kali menasihatinya tetapi tidak diendahkan guru itu.
Pegawai pendidikan turut memberitahu, dia menerima banyak laporan mengenai sikap Yadav, namun tiada tindakan terhadap lelaki itu.
Bagaimanapun, Yadav kini diberi amaran dan surat tunjuk sebab selepas gambarnya yang sedang tidur itu tular di media sosial di India.
Seperti kebanyakan negeri di India, Bihar antara yang mempunyai sistem pendidikan yang bercelaru dan sikap guru yang malas mencetuskan persoalan mengenai realiti dunia pendidikan di negara itu.

-Metro

Monday, 9 April 2018

Bunuh, potong kemaluan budak kurang upaya



Beijing: Seorang lelaki ditahan kerana membunuh dan mencacatkan mayat remaja kurang upaya berusia 15 tahun yang ditemui terikat pada tiang besi di kampungnya di utara China, lapor media tempatan.
Mayat remaja yang hanya dikenali sebagai Ren yang tangannya diikat pada tiang besi itu ditemui dengan seluar dilurutkan, manakala kemaluannya dipotong.
South China Morning Post melaporkan, polis di Zhouzhi, wilayah Shaanxi dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 39 tahun dipercayai mengalami masalah mental itu ditahan susulan penemuan mayat remaja lelaki terbabit di luar sebuah rumah di kampung Zhendong.
Ren, penghuni kampung berhampiran yang mempunyai masalah pembelajaran, dipercayai menghadiri festival kuil tahunan di kampung itu kira-kira 50 meter dari lokasi jenayah sebelum dibunuh.
Neneknya dilaporkan mencarinya sejak dia menghilangkan diri Selasa lalu sebelum penghantar susu memaklumkan mengenai penemuan mayat remaja malang itu.
“Ketika saya sampai di tempat kejadian, mayatnya masih terikat dan dikelilingi orang ramai. Polis belum tiba. Saya menjerit meminta mereka menurunkannya. Dia kehilangan begitu banyak darah, sebab itulah dia mati,” katanya.
Remaja itu berhenti sekolah dua tahun lalu dan tinggal bersama nenek serta bapanya selepas ibu bapanya bercerai.
Menurut bapanya, dia anak yang baik yang keluar rumah setiap hari selepas sarapan dan pulang sekitar jam 9 malam.
Suspek pembunuhan itu yang namanya tidak didedahkan tinggal di kampung tempat mayat mangsa ditemui dan ditahan 15 jam selepas kejadian. - Agensi/Metro

Wednesday, 4 April 2018

Disebat 100 kali oleh suami sendiri


 Disebat 100 kali oleh suami sendiri
Hukuman ganas itu hanya disaksikan sekumpulan lelaki di Bulandshahr di Uttar Pradesh.

[VIDEO] NEW DELHI - INDIA . Wanita di utara India ini disebat sebanyak 100 kali oleh suaminya di khalayak ramai sebagai 'hukuman' kerana berzina.

Tangan mangsa turut diikat dengan tali yang digantung pada pokok.

Sekumpulan lelaki yang berdiri di dalam bulatan hanya melihat wanita tersebut menjerit kesakitan dipukul berkali-kali dengan tali pinggang kulit ketika kejadian di Bulandshahr di Uttar Pradesh, kelmarin.

Insiden itu tidak berakhir di situ kerana mangsa yang pengsan turut diserang secara seksual malah cuba dirogol 'penontonnya'.

Hukuman ganas itu dikenakan ke atasnya selepas sebuah mahkamah kangaroo mendapati dia bersalah kerana melarikan diri bersama kekasihnya pada awal bulan lalu.

Pada 10 Mac lalu, suaminya berpura-pura menghantar wakil untuk memujuknya pulang ke rumah dan berjanji akan melupakan apa yang telah berlaku untuk memulakan hidup baru.

Tetapi, apabila dia kembali, sebuah 'mahkamah' terdiri daripada pemimpin tua di kampung itu telah memutuskan hukuman sebat 100 kali oleh suaminya.

Menurut pihak berkuasa, wanita yang mengalami kecederaan serius itu sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Beberapa individu telah disenaraikan dalam kes itu termasuk suaminya dikenali sebagai Saudan dan lima lelaki berpengaruh di kampung terbabit," kata jurucakap polis, Altaf Ansari.

Jelasnya, mereka sedang memburu beberapa lagi individu dan mangsa telah dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. 

- Daily Mail/Metro
 

Hati abang JPJ 'dijentik' bantu mereka



“SAYA dan rakan setugas berasa tersentuh melihat kepayahan wanita itu bersama empat anaknya membonceng motosikal ditunggang rakannya. Keadaan mereka kelihatan sangat tidak selesa.
“Atas dasar perikemanusiaan kami sepakat bantu wanita itu, bimbang keselamatan mereka meskipun kami ketika itu sedang bertugas,” kata Ketua Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Shahrul Shahrizal Md Jawahair, 36.
Keikhlasan Shahrul bersama tiga rakan membantu keluarga itu ketika meronda di Kilometer 56 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Bentong, menghala Kuala Lumpur pada 11 pagi kelmarin tular di Facebook (FB) dan mendapat pujian netizen.
Menerusi gambar yang tular di FB sejak kelmarin, dua kanak-kanak kelihatan duduk berhimpit di dalam bakul, manakala dua lagi dipangku ibu mereka.
Shahrul dan tiga rakan yang bertugas di Stesen Timbang Penguatkuasaan JPJ Karak berkata, pada mulanya mereka menghampiri motosikal terbabit untuk menawarkan bantuan selain bertanyakan destinasi mahu dituju.
“Kami terkejut selepas mengetahui mereka dalam perjalanan dari FELDA Jengka 17, Pahang dan mahu pulang ke rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Sentul.
“Pada mulanya lelaki yang menunggang motosikal berkenaan menolak pelawaan kami. Katanya, tidak mahu menyusahkan lalu beredar,” katanya.
Katanya, kerana simpati dan bimbang terhadap keselamatan pembonceng terutama empat kanak-kanak terbabit, dia berbincang dengan rakan setugas sebelum sepakat meminta kebenaran daripada pegawai atasan untuk menumpangkan wanita itu dan anaknya.
“Selepas mendapat kebenaran daripada penyelia, kami mengejar motosikal terbabit dan mengarahkan penunggang berhenti di bahu jalan.
“Selepas berbincang dengan ibu kanak-kanak terbabit yang hanya dikenali sebagai Syikin, wanita itu membenarkan empat anaknya berusia tiga hingga sembilan tahun menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner milik JPJ bersama kami sehingga ke Plaza Tol Gombak.
“Selepas sampai di Plaza Tol Gombak, kami belikan makanan untuk kanak-kanak terbabit. Empat beradik itu beritahu belum jamah sebarang makanan kerana ibu mereka tidak ada wang,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan Syikin pulang ke kampungnya untuk berjumpa bapanya atas urusan keluarga sebelum kembali semula ke PPR Batu Muda.
Katanya, wanita itu yang membawa bersama empat anak membonceng motosikal ditunggang rakan setugasnya kerana tiada pilihan berikutan tidak ada wang.
“Saya dimaklumkan Syikin tidak ada pekerjaan tetap. Dia bergantung kepada bayaran elaun diterima setiap kali bertugas dengan sebuah pasukan sukarelawan.
“Sebelum itu saya sarankan Syikin dan anaknya menaiki teksi atau Uber untuk pulang ke rumah, tapi wanita itu beritahu dia tidak ada wang untuk bayar tambang.
“Jadi kami beri RM50 kepada Syikin untuk dia bayar tambang. Memang niat kami nak hantar lima beranak itu sampai ke rumah, tetapi saya dan rakan perlu menyambung tugas,” katanya.
Sementara itu, Syikin ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota JPJ yang membantu mereka lima beranak.
Ibu tunggal itu memberitahu lelaki menunggang motosikal berkenaan adalah rakan setugasnya yang sanggup menghantar mereka sehingga ke FELDA Jengka 17.
“Sekarang ini saya berdepan masalah kewangan... mujur rakan setugas sanggup bantu. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap nasib kami sekeluarga,” katan


-Metro

Tuesday, 3 April 2018

Benjolan mulut makin besar

Kuala Lumpur: Perasaan sebak dan belas pasti menusuk di sanubari sesiapa saja yang melihat Nurliyana Abdul Raziff, 32, berikutan penyakit Hiper Tiroid dialami wanita itu sejak dua tahun lalu.
Penderitaan jelas terpapar pada wajahnya apabila tulang rahangnya kini membesar sehingga menyebabkan mulut terkeluar dan turut menjejaskan penglihatannya.
Lebih memilukan, berat badannya juga menyusut daripada 55 kilogram hingga kini hanya 23 kilogram, malah ketinggiannya turut menurun daripada 1.5 meter kepada 1.3 meter.
“Saya tidak lagi mampu mengunyah kerana ketumbuhan tiroid dalam mulut semakin membesar hingga menutup saluran rongga. Berat badan yang menurun secara mendadak turut membuatkan fizikal saya semakin rendah,” kata Nurliyana dengan nada yang kurang jelas dan tersekat-sekat.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Liyana berkata, doktor pakar tidak mengesyorkan dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tiroid itu kerana pada masa sama, dia juga ada masalah buah pinggang dan jantung.

NURLIYANA bersama suaminya sebelum menghidap penyakit Hiper Tiroid.

Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my