NEW DELHI 4 Nov. – Sekumpulan pakar bedah mengeluarkan sebanyak 639 batang paku dari dalam usus seorang lelaki menggunakan magnet, sekali gus berjaya menyelamatkan nyawa lelaki tersebut.
Mail Online melaporkan, lelaki berusia 48 tahun itu menghidap penyakit skizofrenia dan tanpa sedar menelan paku berkenaan dan bernasib baik ia tidak mencederakan ususnya.
Perkara itu disedari oleh doktor apabila dia dibawa ke hospital dua minggu lepas ekoran muntah berkali-kali dan mengadu sakit perut.
Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mendapati ususnya dipenuhi paku sepanjang kira-kira lima sentimeter.
Sejurus selepas itu, pasukan doktor bedah membuat keputusan untuk mengeluarkan kesemua paku tersebut menggunakan magnet.
Dr. Siddhartha Biswas berkata, pembedahan tersebut berlangsung selama hampir dua jam dan berat kesemua paku tersebut adalah 1.3 kilogram.
“Kesemua paku itu tajam namun lelaki tersebut bernasib baik kerana ususnya tidak cedera.
“Kami membuat belahan sepanjang 10 sentimeter pada perutnya dan menggunakan magnet un-
tuk menarik keluar kesemua paku tersebut dan kami juga menemukan tanah dalam ususnya,” katanya.
Akhbar The Times of India melaporkan lelaki itu mempunyai masalah mental dan kini dalam keadaan stabil.
- Utusan
No comments:
Post a Comment