Tuesday, 10 October 2017

Dihina, dibuli kerana tangan untut

KURANG pengetahuan mengenai penyakit menyebabkan seorang budak lelaki lima tahun di Bangladesh dianggap ‘iblis’ oleh penduduk kampungnya kerana tangan kiri budak itu lebih besar berbanding tangan kanannya, malah lebih besar berbanding kepalanya.
Malu dan berasa rendah diri menyebabkan Tajbir Akhtar meminta ibunya menyembunyikan dia daripada penduduk kampung serta kanak-kanak lain.
Malah, keadaan tangannya yang menjadi seperti itu akibat penyakit ‘Elephant Foot (elephantitis)’ atau untut, juga menyebabkan Tajbir tidak ke sekolah dan tiada kawan.
Ibunya, Parvin Akhtar, berkata penduduk kampung takut dengan anaknya itu kerana tangan besar.
“Mereka kata anak saya menakutkan anak-anak mereka dan menggelarnya ‘iblis’.
“Amat sedih melihat anak saya dibuli mereka,” katanya.
Menurut Parvin tangan anaknya itu tiga kali ganda lebih besar berbanding tangan kanak-kanak seusia dan amat berat menyebabkan Tajbir sering jatuh ketika berjalan atau berlari.
“Setiap hari dia membelek tangannya, menangis sepanjang hari meminta jawapan daripada kami kerana tangannya terlalu besar.
“Saya beritahu dia, Allah mencipta dia dengan cara berbeza serta dan yakin Allah akan memulihkan tangannya dan akan mendapat kawan nanti.
“Namun, berapa lama saya boleh terus memberi harapan? Apa yang kami boleh buat? Kami tiada wang untuk rawatannya,” katanya.
Menurut Parvin, Tajbir lahir selepas dia dan suami, Toufiqul, berdoa mahukan anak lelaki namun tangan kanak-kanak itu mula membesar selepas tiga bulan dilahirkan.
Suaminya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM180 sebulan
Mereka sudah membawa Tajbir untuk diperiksa doktor di bandar berhampiran namun tidak mampu menanggung kos pembedahan.
Bapanya datang bekerja di Malaysia dalam usahanya mengumpul wang untuk rawatan anaknya itu namun masih tidak cukup sehingga Toufiqul pulang ke Bangladesh tiga bulan lalu.
Mereka kini mengharapkan aktivis media sosial Mamun Biswas dapat membantu mereka mengumpul wang untuk rawatan Tajbir.
“Saya terkejut melihat keadaan kanak-kanak itu dan sudah memberitahu Setiausaha (Menteri) Kesihatan. Kita tunggu bila doktor kerajaan boleh memulakan rawatan untuknya,” kata Mamun. 

- Daily Mail/Metro

No comments: