Tuesday, 31 October 2017

Diserang kerbau dalam pasar raya



Yancheng (China): Seorang wanita hamil cedera selepas ditanduk seekor kerbau yang mengamuk dalam sebuah pasar raya di timur China baru-baru ini.
Rakaman kamera keselamatan di sebuah pasar raya di Yancheng, wilayah Jiangsu itu menunjukkan wanita berkenaan memilih barang di rak pameran.
Secara tiba-tiba, seekor kerbau jantan muncul dan terus menanduk wanita itu walaupun mangsa cuba melarikan diri.
Wanita itu yang kelihatan hamil diseret di rak pameran sebelum terjatuh ke lantai.
Jurucakap polis berkata, kerbau itu mengamuk dan masuk ke pasar raya itu selepas terlepas ketika cuba disembelih oleh pemiliknya.
Kerbau itu dilaporkan berjaya ditangkap tetapi polis tidak memberitahu adakah haiwan berkenaan ditembak mati atau tidak.
Wanita itu pula dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan ringan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Polis memberitahu, pemilik kerbau itu sudah diambil keterangan dan pihak berkuasa masih mempertimbangkan untuk mendakwanya atau tidak.

-Metro

Padah paksa lelaki masuk dalam keranda

Middelburg (Afrika Selatan): Dua petani kulit putih dihukum penjara semalam selepas memaksa seorang lelaki kulit hitam masuk ke dalam keranda dan mengugut untuk membakar mangsa hidup-hidup.
Willem Oosthuizen dan Theo Martins Jackson hanya mampu menundukkan kepala selepas hakim di sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman penjara 19 dan 16 tahun.
“Tindakan tertuduh adalah paling menyahmanusiakan dan menjijikkan,” kata Hakim Segopotje Mphahlele.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dalam kejadian yang berlaku pa-
da tahun lalu itu dan mendakwa hanya mahu menakutkan Victor Mlotshwa yang dituduh mencuri di ladang mereka.
Mereka didapati bersalah pada 25 Ogos lalu atas tuduhan cubaan bunuh, menculik dan serangan dengan niat mendatangkan kecederaan.
Oosthuizen, 29, dihukum penjara 16 tahun dengan lima tahun hukuman ditangguhkan manakala Jackson, 30, dihukum penjara 19 tahun juga dengan lima tahun hukuman ditangguhkan.
Mphahlele berkata, tindakan tertuduh yang tidak boleh diterima adalah memaksa lelaki itu masuk ke dalam keranda dan bertanya adakah mangsa mahu mati dengan cepat atau perlahan-lahan.
Tertuduh juga merakamkan video tindakan mereka yang kemudian tular di media sosial.

-Metro

Friday, 27 October 2017

Suami pelakon dibunuh sepupu



Seoul: Suami pelakon Korea Selatan, Song Sun-Mi, mati di tangan pembunuh diupah sepupu sendiri kerana perbalahan berhubung harta mendiang datuknya yang juga jutawan, kata pendakwa, semalam.
Mangsa berusia 44 tahun yang cuma dikenali sebagai Koh meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas ditikam di lehernya menggunakan pisau sashimi ketika perjumpaan di sebuah firma guaman di Seoul pada Ogos lalu.
Pejabat Pendakwa Agung berkata dalam satu kenyataan, pembunuh berkenaan diupah sepupu Koh, lelaki Korea-Jepun bernama Kwak yang disaman Koh dan mendiang datuk mereka kerana didakwa memalsukan dokumen perwarisan.
“Siasatan menunjukkan pembunuhan itu terancang dan dilaksanakan penjenayah upahan,” katanya.
Agensi berita Yonhap melaporkan, datuk Koh yang juga warga Korea-Jepun memiliki beberapa hotel utama di Jepun dengan dokumen yang dipalsukan Kwak membolehkannya merampas aset di Seoul bernilai 68 bilion won (RM256 juta).
Kwak dilaporkan mengupah pembunuh berusia 28 tahun terbabit 2 juta won (RM 7, 500) dan menghantar pesanan teks kepadanya selepas serangan dilaksanakan, mengarahkannya melarikan diri ke Filipina.
Kwak dan pembunuh itu berkenalan di sebuah sekolah bahasa di Jepun pada 2012 dan tinggal bersama sejak Mei tahun ini.
Kwak didakwa awal bulan ini dan pendakwa cuma mendedahkan butiran kes itu semalam selepas menambah tuduhan menghasut bunuh terhadapnya.
Pembunuh terbabit yang tidak didedahkan identitinya ditahan di tempat kejadian.

-Metro

'Snow White' tumpas dimamah peluru



SELEPAS beberapa tahun menjadi penembak hendap dengan tentera pemberontak pro- Russia di timur Ukraine, akhirnya Anastasia Slobodyanyuk Igorevna terbunuh akibat tembakan penembak hendap militan Ukraine, 19 Oktober lalu.
Anastasia, 26, yang menggunakan gelaran ‘Snow White’ menyertai kumpulan pemberontak itu pada 2014 dan dianggap pejuang wanita berani yang ‘berdarah sejuk’ dan bencikan sifat pengecut.
Menurut dnipress.com (Donbass News Agency) penembak hendap yang mungkin satu-satunya wanita dalam militan pemberontak pro-Russia itu ditembak mati di Spartak, wilayah Donetsk. Kumpulan itu yang disokong Russia, menuntut kemerdekaan wilayah Donetsk daripada Ukraine.
Anastasia ialah teman wanita ketua pemberontak Mikhail 'Givi' Tolstykh yang terbunuh Februari lalu, akibat bedilan roket.

Anastasia adalah teman wanita ketua pemberontak Mikhail 'Givi' Tolstykh yang terbunuh Februari lalu. - Foto DM
Menurut Daily Mail, jumlah korban tembakan Snow White tidak dapat dipastikan namun militan pro-Ukraoine menyatakan rasa gembira dengan kematiannya.
Melalui Twitter kumpulan itu menulis: “Hari ini di Donbass, Spartak, penembak tepat kami menghapuskan ‘Snow White’, wanita pembunuh, kejam. Givi kini mendapat kembali kekasihnya.”
Anastasia dua kali cedera dalam pertempuran, termasuk ketika pertempuran di lapangan terbang Donetsk dan turut menyertai perang di Ilovaisk.

-Metro

Thursday, 26 October 2017

Tiada tangan mulut pun boleh

KECACATAN tanpa kaki dan tangan tidak menghalang seorang budak lelaki berusia 12 tahun di Texas mahir dan seni membuat model mini papan selaju menggunakan mulutnya.
Memphis Lafferty dari Flower Mound, Texas, diserang meningitis ketika berusia enam bulan dan dikejarkan ke hospital dengan doktor menjangka dia mempunyai masa 12 bulan untuk hidup.
Namun, dia terselamat namun kedua-dua kaki dan kedua-dua tangannya sudah mula menjadi hitam dan bengkak menyebabkan terpaksa dipotong.
Ibunya, Chris Lafferty, 46, berkata sejak 10 tahu lalu, Memphis mempamerkan kemampuan luar biasa walaupun cacat termasuk berenang, meluncur salji, jiu jitsu dan semestinya membina model mini papan selaju.“Ramai kagum dengan kebolehan saya membuat model itu tanpa tangan. Saya menggunakan mulut dan baki lengan yang masih ada.
“Saya mahu mereka tahu saya juga seperti orang lain. Saya akan mencuba,” kata Memphis.
Menurut bapanya, Chris, membuat model mini itu sebenarnya sukar kerana ia hanya sebesar jari.
“Saya sendiri tak boleh membuatnya,” katanya.
Menurutnya, Memphis suka papan selaju dan satu hari meminta kebenaran untuk membina model mini papan itu.
“Saya kata tak boleh kerana saya tak dapat membantunya nanti namun dia berkeras lalu saya belikan peralatan yang diperlukan.
“Dia gunakan mulut untuk mencantum komponen, guna mulut untuk memegang pemutar skru kecil.
“Saya amat terperanjat dan bangga,” kata Chris.
Memphis yang bergerak menggunakan kerusi roda berkata, dia tidak sedih menjadi cacat begitu kerana mampu memberi inspirasi kepada orang lain. 

- Daily Mail/Metro

Rintihan bapa di Facebook sebelum bunuh diri



SEORANG lelaki di Turki menyiarkan secara langsung di Facebook (FB) tindakannya membunuh diri kerana kecewa tidak dijemput menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya, kelmarin.
Ayhan Uzun, dari Kayseri, tengah Turki, bercakap kepada kamera menghamburkan kemarahan kepada keluarganya sebelum meletakkan pistol ke kepalanya dan memetik picu selepas membilang 1, 2, 3.
Kata-kata terakhirnya ialah: “Selamat tinggal, saya akan pergi, jaga diri semua.”
Ayhan kemudian rebah ke lantai.
Keluarganya dikatakan bergegas pulang dan menemui mayatnya.
Polis sedang menyiasat kejadian itu dan mayatnya dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Dalam kenyataannya, Ayhan berkata, dia mahu membunuh diri kerana membantah perbuatan anak perempuannya berkahwin tanpa pengetahuannya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai perkahwinan anaknya itu melalui panggilan telefon.
“Mereka (keluarga) hanya menelefon memberitahu perkahwinan itu pada hari bahagia anak saya.
“Tiada siapa bertanya mengenai saya, tiada siapa melayan saya sebagai lelaki, sebagai bapa.
“Bapa mentuanya ambil tempat saya sedangkan dia tiada hak membenarkan perkahwinan anak saya.
“Tiada siapa kata bapa perempuan ini masih hidup sedangkan saya menunggu anak dan keluarga berkata: “Bapa, datang untuk bersama kami.
“Isteri saya telefon dan beritahu mereka tidak boleh datang mengunjungi saya,” katanya.
Ketika siaran langsung itu beberapa rakan dan saudara maranya menghantar komen merayu Ayhan supay tidak membunuh diri. 

- Daily Mail/Metro

Tuesday, 24 October 2017

Ribuan lelaki tawar kahwin ‘janda malang’



Riyadh: Ribuan lelaki dari pelbagai negara menyuarakan kesediaan berkahwin dengan seorang ahli perniagaan wanita Arab Saudi.
Wanita berkenaan sebelum ini menyuarakan keinginannya mendirikan rumah tangga menerusi laman Twitter.
"Saya wanita yang sudah bercerai dan tidak mempunyai anak. Saya mencari seorang lelaki yang bersedia mencintai saya. Saya memiliki harta melebihi SR100 juta (RM85 juta) yang diwarisi daripada arwah bapa saya. Semoga Allah merahmati rohnya.
"Saya juga mempunyai syarikat yang saya urus sendiri. Saya mahu seorang suami yang menyayangi saya dan saya bersedia mentaatinya. Saya berusia 39 tahun. Saya hanya inginkan anak," kata wanita yang menamakan dirinya 'Noora, Janda Malang.'
Noora berkata, dia amat serius dalam memilih suami dan lelaki itu hanya perlu menerima syarat ditetapkannya, lapor akhbar Okaz, semalam.
Mereka yang memberikan reaksi terdiri daripada lelaki pelbagai peringkat usia dan latar belakang pelajaran.
Selain mereka yang bermimpi menjadi kaya, beberapa intelektual juga menyuarakan kesediaan mengahwini janda kaya itu.
Komen yang dibuat menerusi laman sosial itu berbeza, termasuk daripada mereka yang berkata, tawaran itu palsu semata-mata dan menggesa orang ramai tidak mempercayainya. 

- Agensi/Metro

Slogan 'Lelaki 1,000 Janda'



Jakarta: Seorang lelaki mendapat jolokan ‘Lelaki 1,000 Janda’ kerana usahanya membantu wanita berusia yang kehilangan suami.
Roel Mustafa, 39, berkata, perbuatannya itu untuk meneruskan usaha arwah ibunya yang sering bermurah hati berkongsi makanan dengan rakan-rakannya.
“Ibu saya ketika itu juga sudah lama tiada suami dan sudah pasti pada usia 60-an rakannya juga ramai yang tidak mempunyai suami atau sesiapa untuk menjaga mereka.
“Arwah ibu tidak pernah berkira dan sentiasa mengongsikan apa yang kami ada bersama rakannya yang kurang bernasib baik yang tinggal berdekatan,” katanya.
Susulan itu dengan jolokan ‘Lelaki 1,000 Janda’ dia menggunakan slogan ‘menafkahi tak harus menikahi’ di akaun Facebooknya untuk menunjukkan keikhlasannya membantu golongan berkenaan.
“Sasaran saya mahu membantu 1,000 wanita warga emas seperti itu dan menginspirasikan lelaki lain yang mampu membantu supaya turut berbuat demikian.
“Daripada membazirkan wang berfoya-foya bukankah lebih baik menggunakannya untuk membantu orang lain? Tidak banyak diperlukan, cukup untuk membeli bekalan asas seperti minyak masak serta beras untuk golongan ini yang sering dipinggirkan.
“Sebenarnya satu kepuasan apabila kita membuatkan orang lain tersenyum,” katanya. 

- Agensi/Metro

Monday, 23 October 2017

Dua lagi 'pontianak' dibunuh



POLIS Malawi menahan 124 orang terbabit dalam kejadian orang ramai yang merusuh dan membunuh dua lelaki kerana didakwa sebagai ‘pontianak’ cuba mengambil darah manusia untuk upacara ilmu hitam voodoo.
Kematian dua lelaki itu menjadikan sembilan ‘pontianak’ sudah dibunuh ketika khabar angin kononnya pontianak mengganas, tersebar di wilayah selatan negara itu sejak bulan lalu.
Keadaan itu memaksa pihak berkuasa di negara yang ramai penduduknya masih percayakan tahyul dan ilmu hitam itu, melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam.
Menurut jurucakap polis, Ramsy Mushani, seorang mangsa dibakar manakala seorang lagi direjam dengan batu hingga mati oleh orang ramai.
“Penduduk bertindak demikian kerana mengesyaki dua lelaki itu menghisap darah,” katanya.
Pembunuhan itu berlaku di pinggir Blantyre, bandar perdagangan Malawi dengan orang ramai menyekat jalan raya.
Ketegangan akibat pontianak itu menyebabkan PBB mengeluarkan kakitangannya untuk program bantuan makanan dan perladangan dari beberapa kawasan sebagai langkah keselamatan.
Menurut PBB, khabar angin mengenai pontianak itu berasal dari Mozambique sebelum merebak ke Malawi yang berjiran, terutama di daerah Mulanje dan Phalombe.
Isu pontianak itu juga mendapat perhatian Presiden Peter Mutharika yang minggu lalu, berjanji siasatan dilakukan terhadap pembunuhan dan khabar angin pontianak.

-Metro

Video 'kereta hantu' di Singapura

VIDEO ‘kereta hantu’ yang dirakam di Singapura kini tular menunjukkan sebuah kereta tiba-tiba muncul menyebabkan kemalangan.
Rakaman video yang dirakam menggunakan ‘dashboard cam’ oleh Gerard Derek Na itu menunjukkan sebuah kereta membelok ke kanan untuk memasuki simpang apabila tiba-tiba sebuah kereta muncul di depannya menyebabkan kereta pertama tadi melanggarnya.
Selepas perlanggaran itu, ‘kereta hantu’ berkenaan berlalu dari situ.
Rakaman itu yang disiarkan di Facebook ROAD.sg Isnin lalu, menarik perhatian dengan 100,000 sudah menontonnya dan dipetik banyak portal berita di United Kingdom, termasuk The Sun, The Daily Mail dan The Mirror.
Ramai yang hairan dengan kemunculan kereta berkenaan kerana langsung tiada bayangnya sebelum kemalangan.
Namun, ada juga yang membuat andaian kedudukan ‘kereta hantu’ itu mungkin menyebabkan ia tidak kelihatan dalam video atau dilihat pemandu kereta pertama sehingga pada saat akhir.
 -Metro

Tuesday, 17 October 2017

Selamba tunggang ular 'gergasi'



Hanoi: Rakaman menggemparkan yang tular menunjukkan seorang budak lelaki berusia tiga tahun selamba ‘menunggang’ ular sawa sepanjang enam meter ketika banjir di Vietnam.
Ular itu sebenarnya peliharaan keluarga kanak-kanak berkenaan di wilayah Thanh Hoa, utara Vietnam, dan dilaporkan dibawa keluar untuk membolehkan reptilia itu menikmati air banjir.
Banjir di Vietnam setakat ini meragut 72 nyawa dan menenggelamkan ribuan kediaman dalam pada negara itu kini bersedia berdepan Taufan Khanun yang dijangka membawa lebih banyak hujan mulai semalam.
Bagaimanapun, dalam rakaman video berkenaan, kanak-kanak bernama Truong jelas tidak mengendahkan air setinggi paras buku lali di kelilingnya, malah sebaik ular seberat 80 kilogram itu dibawa keluar dia terus melompat ke atas badannya dan menjerit kegembiraan.
Gambar dan video kejadian itu menjadi tular serta ramai yang mendakwa ia diubah suai. Bagaimanapun, keluarga Truong menegaskan ia bukan dibuat-buat.
Ibu saudara Truong, An Nguyen berkata: “Dia berusia tiga tahun dan ular itu seberat 80 kilogram. Kami membela sawa ini sejak empat tahun lalu dan ia sangat jinak.
“Disebabkan hari hujan dan air naik sedikit kami mengeluarkan ular itu untuk membolehkannya turut menikmati cuaca berkenaan.”

-Metro

Monday, 16 October 2017

Maut julur kepala


Santo Domingo, Republik Dominica: Seorang pelancong warga Russia maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya melanggar papan tanda jalan selepas dia menjulurkan badannya keluar tingkap kereta.
Natalia Borodina, 35, yang hanya memakai seluar dalam menjulurkan badannya ke luar tingkap kereta yang dipandu rakannya ketika bercuti di Punta Cana dekat sini.
Rakannya, Ivanna Boirachuk, 32, memandu kereta jenis Kia Picanto sambil merakamkan aksi Natalia menggunakan telefon bimbit.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada 10 Oktober lalu tetapi video yang memaparkan kejadian ngeri itu tular di Internet kelmarin.
Ibu kepada seorang anak lelaki berusia 11 tahun itu dipercayai bercuti di Republik Dominica bersama rakannya ketika kemalangan itu berlaku.
Dalam video berkenaan, Natalia yang dipercayai mabuk dan hanya memakai seluar dalam dilihat mengeluarkan kepalanya di luar tingkap kereta yang dipandu laju.
Dia kemudiannya menjulurkan sebahagian badannya dan secara tiba-tiba kepala wanita itu terkena papan tanda jalan.
Menurut media tempatan, Ivanna segera memandu ke hospital tetapi Natalia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara itu, pihak berkuasa Republik Dominica dilaporkan menahan rakan mangsa selepas video kemalangan berkenaan tular di Internet.

-Metro

Friday, 13 October 2017

Aset orang kaya China RM11 trilion

GABUNGAN jumlah 2,130 orang terkaya China iaitu AS$2.6 trilion (RM11 trilion) menyamai jumlah KDNK negara kelima ekonomi terbesar dunia, United Kingdom.
Menurut Hurun Rich List, orang terkaya China ialah Pengerusi konglomerat pemaju hartanah Kumpulan Evergrande, Xu Jiayin, dengan aset berjumlah AS$43 bilion (RM181.6 bilion).
South China Morning Post melaporkan, Pengerusi Kumpulan Wanda, Wang Jianlin, yang mendahului senarai itu tahun lalu, kini berada di tangga kelima berikutan kejatuhan harga saham kumpulan itu menyebabkan asetnya merosot kepada AS$23 billion (RM97.1 bilion).
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tencent, Pony Ma Huateng, ditangga kedua dengan aset AS$37 bilion (RM156.2 bilion), mengatasi CEO Alibaba, Jack Ma (AS$30 bilion - RM126.7 bilion) di tangga ketiga.
Di tangga keempat ialah wanita terkaya China, Yang Huiyan, iaitu timbalan pengerusi dan pemegang saham terbesar pemaju hartanah Country Garden dengan aset AS$24 billion (RM101.3 bilion).
Antara individu lain dalam 10 teratas senarai itu, termasuk pengasas serta CEO Baidu, Robin Li, dan CEO NetEase, Ding Lei.
Menurut senarai itu, daripada 2,130 orang, 43 individu ialah dari Alibaba dan anak syarikatnya, Ant Financial, dengan aset sekitar AS$300 juta (RM1.3 bilion).

-Metro

Thursday, 12 October 2017

Salah walau isteri


New Delhi: Mahkamah tertinggi di sini semalam memutuskan hubungan seks dengan remaja bawah umur tetap diklasifikasikan sebagai rogol walaupun pasangan itu sudah berkahwin, sekali gus menutup kelemahan dalam undang-undang negara itu yang selama ini membolehkan pelaku terlepas daripada hukuman.
Usia sah berkahwin untuk remaja perempuan India adalah 18 tahun, namun ramai yang terpaksa berbuat demikian termasuk yang masih kanak-kanak, terutama yang tinggal di kawasan miskin.
Undang-undang rogol di negara itu tidak terpakai untuk pasangan yang sudah berkahwin seterusnya menyebabkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur - walaupun tanpa kerelaan mangsa - tidak diklasifikasikan pemerkosaan jika berlaku dalam perkahwinan.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung berkata, ia bertentangan dengan undang-undang India yang mementingkan faktor usia dalam pemberian izin bagi mengadakan seks.
Susulan itu, mahkamah memutuskan pada masa depan polis perlu mendakwa kes rogol dalam perkahwinan jika mangsa berusia 18 tahun ke bawah serta membuat laporan dalam tempoh setahun selepas kejadian.
Vikram Srivastava, peguam yang memfailkan petisyen mengenai isu itu di mahkamah, mengalu-alukan keputusan berkenaan yang dianggap mampu memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa perkahwinan.
“Perkahwinan kanak-kanak dilarang di negara ini, tetapi kita semua tahu ramai yang dikahwinkan sebelum berusia 18 tahun,” katanya.
Kebanyakan ibu bapa di India mengahwinkan anak mereka dengan harapan dapat meningkatkan taraf hidup dan mengelak mendapat malu jika berlaku hubungan seks sebelum kahwin.
Akibatnya, mereka terpaksa berhenti sekolah demi menjaga keperluan suami dan menderita masalah kesihatan kerana melahirkan anak pada usia muda.

-Metro

Bayi tong sampah jadi rebutan


Chiang Mai: Seorang bayi perempuan kini menjadi rebutan untuk dijadikan anak angkat apabila ditemui dibuang ibunya di dalam tong sampah selepas dilahirkan.
Bayi itu dibalut dengan selimut dan diletakkan di dalam beg galas sebelum dibuang ke dalam tong sampah pada Ahad lalu.
Seorang penduduk terdengar suara bayi itu menangis pada jam 8 malam (waktu tempatan) sebelum menyelamatkannya.
Polis yang tiba dilokasi kejadian segera membawa bayi itu ke hospital di mana dia diberi oksigen dan pemeriksaan kesihatan.
Doktor memberitahu, individu yang membuang bayi itu di dalam tong sampah kerana mahu kanak-kanak yang berusia tidak sampai 12 jam itu mati.
Selepas berita dan gambar bayi itu tersebar, ramai keluarga berkunjung ke hospital untuk menjadikan kanak-kanak berkenaan sebagai anak angkat.
Jurucakap Hospital Lanna di Chiang Mai, Jiralak Jankrajai berkata, ramai orang melawat dan menghubungi hospital untuk menjadikan bayi itu anak angkat.
“Selepas dibuang keluarganya sendiri kini ramai orang yang mahu menjadikan bayi ini anak mereka.
“Sangat penting bayi ini diberi kepada keluarga angkat yang betul supaya dia membesar dengan gembira,” katanya. 

- Agensi/Metro

Tuesday, 10 October 2017

Dihina, dibuli kerana tangan untut

KURANG pengetahuan mengenai penyakit menyebabkan seorang budak lelaki lima tahun di Bangladesh dianggap ‘iblis’ oleh penduduk kampungnya kerana tangan kiri budak itu lebih besar berbanding tangan kanannya, malah lebih besar berbanding kepalanya.
Malu dan berasa rendah diri menyebabkan Tajbir Akhtar meminta ibunya menyembunyikan dia daripada penduduk kampung serta kanak-kanak lain.
Malah, keadaan tangannya yang menjadi seperti itu akibat penyakit ‘Elephant Foot (elephantitis)’ atau untut, juga menyebabkan Tajbir tidak ke sekolah dan tiada kawan.
Ibunya, Parvin Akhtar, berkata penduduk kampung takut dengan anaknya itu kerana tangan besar.
“Mereka kata anak saya menakutkan anak-anak mereka dan menggelarnya ‘iblis’.
“Amat sedih melihat anak saya dibuli mereka,” katanya.
Menurut Parvin tangan anaknya itu tiga kali ganda lebih besar berbanding tangan kanak-kanak seusia dan amat berat menyebabkan Tajbir sering jatuh ketika berjalan atau berlari.
“Setiap hari dia membelek tangannya, menangis sepanjang hari meminta jawapan daripada kami kerana tangannya terlalu besar.
“Saya beritahu dia, Allah mencipta dia dengan cara berbeza serta dan yakin Allah akan memulihkan tangannya dan akan mendapat kawan nanti.
“Namun, berapa lama saya boleh terus memberi harapan? Apa yang kami boleh buat? Kami tiada wang untuk rawatannya,” katanya.
Menurut Parvin, Tajbir lahir selepas dia dan suami, Toufiqul, berdoa mahukan anak lelaki namun tangan kanak-kanak itu mula membesar selepas tiga bulan dilahirkan.
Suaminya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM180 sebulan
Mereka sudah membawa Tajbir untuk diperiksa doktor di bandar berhampiran namun tidak mampu menanggung kos pembedahan.
Bapanya datang bekerja di Malaysia dalam usahanya mengumpul wang untuk rawatan anaknya itu namun masih tidak cukup sehingga Toufiqul pulang ke Bangladesh tiga bulan lalu.
Mereka kini mengharapkan aktivis media sosial Mamun Biswas dapat membantu mereka mengumpul wang untuk rawatan Tajbir.
“Saya terkejut melihat keadaan kanak-kanak itu dan sudah memberitahu Setiausaha (Menteri) Kesihatan. Kita tunggu bila doktor kerajaan boleh memulakan rawatan untuknya,” kata Mamun. 

- Daily Mail/Metro

Sisa jadi teman




Minnesota (Amerika Syarikat): Seorang lelaki sanggup hidup selama setahun bertemankan mayat ibu dan kembar lelakinya semata-mata tidak sanggup mengebumikan mereka.
Robert James Kuefler, hidup bersama mayat ibunya, Evelyn, 94, dan kembarnya Richard, selama setahun sebelum mayat mereka ditemui.
Evelyn meninggal dunia pada Ogos 2015, beberapa bulan selepas Richard.
Beberapa bulan selepas kematian mereka, Robert menghantar kad Krismas kepada anggota keluarganya dan menyertakan surat mendakwa ibu serta abangnya tidak sihat.
Dalam surat itu, kakitangan penyelenggaraan itu mendakwa mereka tidak boleh bercakap melalui telefon atau dilawat sesiapa.
Polis akhirnya menemui mayat dua beranak itu dalam keadaan mereput pada September tahun lalu selepas seorang jiran melaporkan sudah lama tidak melihat aktiviti di rumah berkenaan.
Dalam temu ramah melalui telefon, Robert berkata: “Saya tidak gila. Mungkin orang menyangka saya tidak siuman, tapi itu tidak benar.
“Saya terlalu sayangkan mereka.”
Polis berkata, Robert tidak mengambil wang pencen daripada akaun ibunya yang masih dimasukkan ke akaun wanita itu.
Robert didakwa atas tuduhan mengganggu mayat dan lokasi kematian kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa bahawa mereka meninggal dunia atas sebab semula jadi.
Dia kini berdepan hukuman penjara setahun dan denda AS$3,000 (RM13,000).

-Metro

Monday, 9 October 2017

Bayi lahir dengan kepala leper


KOLKATA, India – Beberapa orang doktor di sini tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu menyelamatkan seorang bayi yang dilahirkan dengan kepala leper dan mempunyai kantung di belakang lehernya.
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Babu itu menghidap ensefalosel iaitu kecacatan tiub saraf (NTD) yang memberi kesan kepada otak.
Kedua-dua ibu bapanya, Jyotsna dan Jhontu Das diberitahu bahawa anak lelaki mereka tidak mempunyai harapan untuk hidup lama walaupun Babu kini telah berusia dua bulan.
Mereka kini mengharapkan satu keajaiban kerana percaya Babu boleh ‘hidup selamanya’ walaupun doktor mengingatkan mereka bahawa bayi itu tidak boleh dirawat.
Babu kini menghabiskan masanya di rumah, manakala kedua-dua ibu bapanya mencuba sehabis baik untuk menyelamatkan nyawanya.
“Apabila doktor tidak mampu untuk membantu, adalah lebih baik kami menjaganya mengikut cara kami.
“Kami akan memberi semua keselesaan dan kasih sayang kepada anak kami dengan harapan dia boleh hidup dengan lebih lama,” kata Jyotsna. – Agensi


-Kosmo

Main permainan di telefon sampai buta

Chang’an (China): Seorang wanita berusia 21 tahun buta sebelah mata selepas bermain permainan komputer di telefon bimbitnya selama seharian tanpa henti.
Wanita itu yang dikenali sebagai Wu berkata, mata kanannya tiba-tiba kabur pada 1 Oktober lalu ketika bermain permainan, King of Glory di telefon bimbit.
Pada mulanya, Wu menyangka dia hanya keletihan dan terus tidur tetapi apabila bangun keesokan harinya, mata kanannya terus tidak boleh melihat.
Wu dibawa keluarganya ke hospital dan doktor mengesahkan dia mengalami satu keadaan dikenali sebagai arteri retina tersumbat.
Keadaan itu biasanya berlaku pada orang tua tetapi doktor percaya mata Wu terlalu penat dan tertekan kerana sering merenung skrin telefon yang kecil.
Wu bekerja di bahagian kewangan di mana dia sering menggunakan komputer sekali gus memberi tekanan yang lebih kepada matanya.
Wanita itu juga mengaku dia ketagih bermain permainan di telefon bimbit hingga mengabaikan tidur dan pemakanannya.
“Ketika cuti saya akan bangun pada jam 6 pagi, mengambil sarapan sebelum bermain hingga jam 4 petang. Saya akan berhenti untuk makan dan tidur sebentar sebelum sambung bermain hingga jam 1 atau 2 pagi.
“Kadang kala saya malas untuk berhenti atau makan dan akan bermain tanpa henti sepanjang hari,” katanya.
Wu kini masih dirawat di hospital di mana doktor masih berusaha memulihkan semula penglihatannya.
Sejak kes Wu tular di media sosial di China, pakar mata menasihatkan orang ramai menggunakan telefon mereka kepada 30 minit ke satu jam pada satu-satu masa sebelum berehat.

-Metro

Friday, 6 October 2017

Dibelasah, ditikam kerana simpan misai, kasta rendah

Dibelasah, ditikam kerana simpan misai, kasta rendah

GUJARAT - INDIA. Seorang lelaki mendakwa dibelasah individu dari kasta tinggi kerana beliau menyimpan misai, minggu lalu.
Kelmarin, sepupu mangsa pula didakwa ditikam oleh individu dari kasta sama.
Menurut laporan BBC, kedua-dua mangsa berasal dari kasta Dalit dan penyerang didakwa berasal dari kasta Rajput.
laporan mengatakan lelaki dari kasta Rajput melarang lelaki dari kasta rendah menyimpan misai.
Mangsa pertama, Krunal Maheria menceritakan beliau diserang ketika melawat kawannya, Jumaat lepas.
"Saya diberitahu saya tidak boleh menjadi sebahagian dari kasta Rajput hanya dengan menyimpan misai. Bila saya buat tidak tahu, saya dibelasah dengan kayu.
Kejadian tersebut juga tular dan menyebabkan sebahagian rakyat India menukar foto di aplikasi WhatsApp mereka dengan foto misai mereka sebagai tanda solidariti.
Seorang guru dari Kodinar, Mayur Vadher juga bersolidariti dengan mangsa serangan.
"Hari ini, ramai Dalit mendapat pendidikan tinggi dan berpakaian elok. Kejadian ini tidak boleh diterima kerana mereka yang mempercayai sistem kasta menyerang kasta Dalit kerana tidak puas hati," kata Mayur Vadher.

-Sinar

Kurang ajar...


BIADAP. Itulah ungkapan sesuai buat seorang remaja perempuan yang membuang najis di hadapan sebuah kedai dobi di Jalan Manickavasagam, Lobak, Seremban.
Perbuatan menjijikkan itu dikesan selepas pemilik kedai terbabit, Datuk Adzwan Ab Manas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premisnya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sebanyak tiga kali bermula pada awal dan pertengahan September lalu dan terbaru, Selasa lalu.
"Pada mulanya saya ingat najis anjing. Selepas diperiksa barulah saya tahu itu najis manusia. Apabila melihat CCTV, perbuatan itu dilakukan seorang remaja perempuan yang membuang air besar di tempat sama.
"Ketiga-tiga kejadian itu berlaku antara 1.30 tengah hari hingga 1.45 petang. Pada mulanya, saya tidak memperbesarkan perkara ini namun terpaksa membuat laporan kerana sudah tiga kali berlaku.
"Berdasarkan susuk tubuh dirakam dalam CCTV, saya percaya perbuatan itu dilakukan orang sama. Lebih mengecewakan apabila perbuatan kali ketiga turut 'direstui' seorang wanita dewasa yang dipercayai ibunya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, dia tidak pasti perbuatan dilakukan sama ada menerima upah atau sebaliknya kerana kawasan ini turut mempunyai dobi lain terdapat banyak premis makanan di sekitarnya.
"Jika tidak tahan sekalipun, pergi lah ke tandas premis makanan itu dan bukannya membuang najis di premis ini," katanya.
Adzwan berkata, sejak menjalankan perniagaan itu hampir tiga tahun, ini kejadian pertama berlaku di premisnya.
"Demi keselamatan premis dan perniagaan saya, saya akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Seremban 2, di sini.
"Saya tidak mahu disebabkan perbuatan tidak bermoral yang boleh menjejaskan pengunjung ke sini," katanya.

-Metro

https://youtu.be/qP8o_0wrrzk

Thursday, 5 October 2017

30 juzuk = makan 'free' selamanya



PENIAGA mi ayam di kawasan Harmoni, Jakarta Pusat, viral apabila menawarkan hidangan percuma jika pelanggannya menghafaz al-Quran.
Detiknews dipetik melaporkan peniaga, Bu Ijah, menawarkan hidangan percuma selamanya jika pelanggan menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Selain itu, peniaga itu juga manawarkan seminggu makan percuma jika menghafaz juz 30.
Detiknews dipetik menyatakan bahawa kedai mi ayam milik Bu Ijah itu terletak di Suryopranoto, depan Harmoni Plaza, Jakarta Pusat.
Mengikut laporan itu, idea untuk melakukan promosi sedemikian bermula daripada anak Bu Ijah iaitu Anto yang dikhabarkan rajin beribadah.

-Metro

Penjual Mie Ayam Ini Gratiskan Penghapal 30 Juz Alquran SelamanyaFoto: Dok. Istimewa

Jakarta - Mie ayam di kawasan Harmoni, Jakarta Pusat, ramai diperbincangkan. Pasalnya, penjual berani menggratiskan selamanya bagi mereka yang hapal 30 juz Alquran. 


Pembaca detikcom, Ririn Yuli Susanti, berbagi ceritanya saat mengunjungi kedai mie ayam tersebut pada Rabu (4/10) malam kemarin. Menurut Ririn, saat dia datang sekitar 19.00 WIB, kedai tersebut cukup ramai. 

Kedai milik Ibu Ijah tersebut beralamat di Jalan Suryopranoto, depan Harmoni Plaza, Jakarta Pusat. Penjual memasang banner promo di depan kedainya yang menggratiskan mie ayam untuk para penghapal Alquran. 
Bagi penghapal juz 30 atau juz amma maka digratiskan seminggu. Sementara yang hapal penuh Alquran atau 30 juz, digratiskan selamanya. 

Kepada Ririn, Bu Ijah bercerita ide promo tersebut berasal dari anaknya yang bernama Anto. Anto, menurut Bu Ijah, memang dikenal sebagai anak yang rajin beribadah. 

"Kita juga nggak tahu, itu anak yang pasang. Untuk narik pelanggan aja," ujar Ijah kepada Ririn, Rabu (4/10/2017) malam. 

"Sambil beramal, ya yang hapal gitu kan jarang. Dia (Anto) sih gitu ceritanya ke aku. Dia mah emang agamanya kuat," jelasnya. Sayangnya Anto sedang tak ada di tempat saat itu. 

Semangkuk mie ayam ditambah es teh dibandrol dengan harga Rp 18.000. Tertarik menantang hapalan Anda?