Tuesday, 5 September 2017

10 jam terperangkap dalam perigi buta



Xi’an (China): Seorang budak lelaki terselamat selepas terjatuh dan terperangkap selama 10 jam di dalam perigi buta sedalam 45 meter di Xi’an di wilayah Shaanxi, pagi kelmarin.
Budak lelaki yang berusia dua tahun itu dilaporkan terjatuh ke dalam perigi buta berkenaan ketika berjalan bersama datuknya.
Pasukan penyelamat yang tiba tidak lama selepas itu berdepan kesukaran untuk menyelamatkan mangsa kerana lubang perigi itu terlalu sempit.
Oksigen juga dipam ke dalam perigi itu bagi mengelak kanak-kanak itu lemas, manakala makanan dan minuman juga disalurkan.
Ibu bapa mangsa juga memanggil nama anak mereka berapa kali bagi memastikan kanak-kanak itu tidak tertidur sepanjang operasi menyelamat.
Dalam operasi berkenaan, pasukan penyelamat menggunakan beberapa jentera berat untuk menggali lubang di sekitar perigi berkenaan.
Selepas berusaha selama 10 jam tanpa henti, akhirnya pasukan penyelamat berjaya menggali hingga ke lokasi mangsa berada.
Pasukan penyelamat kemudiannya berjaya menarik mangsa keluar dengan menggunakan tali.
Kanak-kanak itu segera dibawa ke hospital dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

-Metro

No comments: