TIMBALAN Menteri Pendidikan Tinggi Afrika Selatan memohon maaf selepas rakaman beliau dan pengawalnya membelasah dua wanita di sebuah kelab malam tersiar sejak hujung minggu lalu.
Menurut Reuters, kejadian berlaku pada awal pagi Ahad di sebuah kelab malam di Johannesburg, beberapa hari sebelum sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada Rabu, memperingati perarakan oleh wanita pada 1956 membantah pemerintahan kerajaan apartheid.
Timbalan Menteri itu, Mduduzi Manana dalam kenyataannya berkata: “Kejadian memalukan itu tidak sepatutnya berlaku. Saya akan bekerjasama dalam siasatan polis”
Menurut portal berita Enca, dalam laporannya kepada polis, wanita yang menjadi mangsa itu mendakwa dia dan rakannya duduk dekat meja Manana dan rakannya itu merakam apabila Manana berucap sebelum diarah berhenti merakam.
Manana menjadi marah dan mengarahkan dua wanita itu dikeluarkan dari kelab dan ketika diiring keluar, rakannya berpaling kepada timbalan menteri berkenaan sambil berkata: “Tapi anda gay.”
Serangan berlaku ketika wanita itu sudah berada di luar manakala rakannya masih di dalam apabila pengawal Manana menyerangnya - menampar serta menumbuknya hingga jatuh sebelum ditendang.
Manana kemudian masuk campur menendang wanita itu serta menarik rambutnya.
Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, berkata beliau terganggu dengan kejadian itu.
“Kerajaan mengisytiharkan keganasan terhadap wanita adalah jenayah utama perlu diperangi.
“Wanita mempunyai hak keselamatan diri dan tidak boleh diserang atau didera sesiapa saja, di mana saja di negara ini, tidak kira kedudukannya atau penyerangnya. Afrika Selatan perlu selamat untuk semua wanita,” katanya.
Polis mengesahkan kejadian itu dan siasatan terhadap Manana sedang dilakukan.
-Metro
No comments:
Post a Comment