Tuesday, 15 August 2017

'Tabal' kambing jadi raja



Killorglin (Ireland): Seekor kambing liar ‘ditabalkan’ sebagai raja sempena satu festival tradisi di sebuah bandar kecil di Ireland.
Sempena Puck Fair, penduduk di bandar Killorglin menangkap seekor kambing bukit liar dan ‘menabalkan’ haiwan itu sebagai Raja Puck sepanjang festival tertua negara itu.
Pada Khamis lalu, kambing itu diarak di seluruh bandar sebelum dipakaikan mahkota oleh seorang pelajar perempuan yang juga Ratu Puck.
Kambing itu kelihatan tenang walaupun sedikit terkejut sepanjang majlis berkenaan berlangsung.
“Ketika kali pertama saya berpindah ke sini kira-kira 11 tahun lalu, festival ini kelihatan pelik,” kata seorang penduduk, Ben Henry.
Menurutnya, ada seorang pengunjung yang datang ke festival itu setiap tahun sejak 57 tahun lalu.
“Ini membuktikan festival itu sangat unik dan perlu dipertahankan,” jelasnya.
Menurut penduduk, festival itu kemungkinan diambil dari satu kisah seekor kambing yang melarikan diri daripada dimakan sekumpulan askar memasuki sebuah kampung.
Apabila festival itu tamat pada Sabtu ini, kambing berkenaan akan diturunkan ‘takhta’ dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya. 

- Agensi/Metro

No comments: