Monday, 28 August 2017

Gadis putus tangan lepas tolak cinta


Lucknow (India): Akibat kasih tidak berbalas, seorang lelaki bertindak kejam apabila memotong tangan gadis yang dicintainya dengan pedang baru-baru ini.
Kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika gadis berusia 15 tahun itu pergi ke sebuah pasar di Lakhimpur Kheri di negeri Uttar Pradesh bersama adik lelakinya.
Apabila sampai di pasar, dia berjumpa dengan seorang lelaki, Vinod Chaurasia, 19, yang bekerja di sebuah bengkel besi.
Chaurasia mengekori gadis itu dan beberapa kali mengajak mangsa keluar bersamanya.
Bagaimanapun, gadis itu tidak melayan Chaurasia menyebabkannya berang.
Secara tiba-tiba Chaurasia mengeluarkan pedang dan terus memotong tangan kanan gadis itu hingga putus.
Chaurasia juga cuba menetak gadis itu tetapi berjaya dihalang orang ramai yang melihat kejadian berkenaan.
Polis berkata, gadis itu segera dihantar ke sebuah hospital di Lucknow untuk menyambung semula tangannya yang putus.
Menurutnya, lelaki itu berjaya ditangkap dan akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.
“Menurut keterangan mangsa, suspek sering mengekorinya sejak beberapa bulan lalu dan selalu mengajaknya keluar tetapi gadis itu tidak melayannya,” katanya. 


- Agensi/Metro

No comments: