Marinette, Amerika Syarikat: Seorang lelaki hampir maut selepas jantungnya ditusuk paku sepanjang 7.6 sentimeter ketika bekerja di sebuah tapak pembinaan di sini baru-baru ini.
Doug Bergeson, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang membina tempat pembakaran di sebuah rumah di Marinette di negeri Wisconsin.
“Saya berada di tempat yang sempit sambil memegang pistol paku untuk membuat kerangka kayu.
“Bagaimanapun, saya tertekan pistol paku itu dan sebatang paku mengenai dada saya,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya dia tidak perasaan paku itu tercacak di dadanya dan hanya menyedarinya beberapa minit kemudian.
“Selepas beberapa minit, saya berasa sakit di dada dan apabila saya melihat ke bawah saya terkejut ada paku yang tercacak di badan.
“Saya tahu saya tidak boleh mencabut paku itu dan segera memandu ke hospital sejauh 20 kilometer,” jelasnya.
Apabila tiba di hospital doktor segera melakukan pembedahan jantung terbuka terhadap Bergeson bagi mengeluarkan paku berkenaan.
Pakar bedah jantung, Dr Alexander Roitstein memberitahu, Bergeson sangat bernasib baik kerana paku itu tidak terkena saluran darah utama dan bahagian penting jantung.
“Tindakan Bergeson yang tidak mencabut sendiri paku itu juga menjadi antara faktor yang menyelamatkan nyawanya.
“Sekiranya paku itu dicabut pendarahan lebih serius akan berlaku dan dia mungkin mati dalam tempoh beberapa minit,” katanya.
-Metro
No comments:
Post a Comment