Dhaka: Seorang remaja menderita satu penyakit ganjil yang menyebabkan tangannya membesar dan jarinya bertukar menjadi seperti cakar.
Rajib Gain, 19, memberitahu, satu ketumbuhan mula dikesan pada tangannya ketika dia berusia tiga bulan tetapi kerana keluarganya miskin dia tidak dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Kini ketumbuhan itu merebak di tangan, belakang dan kakinya menyebabkan dia sukar berjalan, tidur dan tidak boleh menukar baju tanpa bantuan orang lain.
Kisah Rajib yang berasal dari Sathkira kini mendapat perhatian jabatan kesihatan Bangladesh selepas bapa saudaranya memuat naik gambar remaja itu di media sosial.
Jabatan kesihatan meminta Rajib datang ke Kolej Perubatan Dhaka dan doktor di sana akan memulakan rawatan terhadapnya.
“Saya begitu teruja untuk berjumpa doktor dan saya berharap mereka mampu menamatkan penderitaan saya ini.
“Saya mahu menjalani kehidupan seperti remaja lain, menamatkan pelajaran dan mencari pekerjaan bagi membantu bapa menyara keluarga,” kata Rajib.
Keadaan tangannya dan kesukaran untuk dia bergerak menyebabkan Rajib tidak mampu menyambung pelajaran seperti remaja lain.
“Saya mahu bekerja tetapi tiada siapa mahu mengambil saya bekerja kerana keadaan ini,” katanya.
Menurutnya, dia sering menjadi mangsa hinaan dan ejekan rakan-rakan ketika di sekolah dan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri.
“Ia bukan mudah tetapi ada pelajar yang bersimpati memberi dorongan dan semangat untuk saya terus belajar,” jelasnya.
-Metro
No comments:
Post a Comment