Masuknya Ramadan, antara topik popular dalam laman sosial ialah tentang isu
pulangnya roh untuk meninjau dan mengutip pahala daripada anak-anak serta
saudara-mara mereka yang masih hidup.
Maka ramailah yang akan berkongsi maklumat ini tanpa terlebih dahulu
memperinci kesahihannya. Alasan lazim yang diberikan, “aku dengar ada ustaz kata
begitu. Guru agama aku pun cakap benda sama...,”.
Perlu diperbetul bahawa kesahihan mengenai isu agama bukannya berdasarkan
kepada nama individu tetapi wajib bersandarkan kepada sumber asal agama iaitu
al-Quran, sunnah yang sahih, ijmak dan kias.
Fokus kali ini merupakan hasil susunan jawapan Mufti Wilayah Persekutuan,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri dan beberapa tokoh agama
lain mengenai isu pulangnya roh orang mati.
HAKIKAT ROH
Sebenarnya pengetahuan manusia mengenai roh terlalu sedikit. Firman Allah,
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara
urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit
sahaja,” (al-Isra’: 85)
Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim
al-Rahman: ayat itu menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah
perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu,
Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini
dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.
Mereka yang meninggal dunia, roh mereka tidak mungkin kembali semula ke
dunia, sama ada untuk menziarahi ahli keluarga atau membalas dendam.
Antara dalil-dalil:
1. “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang
telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu
hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka
ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka
dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (al-Mu’minuun: 100)
l Imam Ibn Jarir al-Tabari menukilkan riwayat Mujahid Rahimahullah (tabiin
dan juga anak murid kepada Ibn Abbas r.a.) bahawa barzakh di dalam ayat itu
ialah hijab (seperti tembok penghalang) antara orang yang telah mati untuk
pulang ke dunia.
2. “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan
satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajal semasa matinya,
dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa
orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke
badannya) sehingga sampai ajal yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi tanda-tanda membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir
(untuk memahaminya).” (al-Zumaar: 42)
l Ayat di atas menunjukkan bahawa roh orang mati tidak akan kembali, bahkan
Allah yang berkuasa menahannya daripada kembali ke dunia. Ini seperti riwayat
daripada Sa’id bin Jubair Rahimahullah (tabiin dan juga anak murid kepada Ibn
Abbas r.a.) yang mengatakan bahawa telah dikumpulkan antara roh-roh orang yang
hidup dan mati (di dalam mimpi) kemudian Allah menahan roh orang mati dan
melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula.
3. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad di dalam
musnadnya daripada Jabir r.a.:
“Telah berkata kepadaku Rasulullah SAW: Wahai Jabir! Adakah kamu tidak
mengetahui bahawa Allah SWT telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya:
“Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia
hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah
berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa mereka (yang telah mati) tidak akan
kembali lagi ke dunia.”
KESIMPULAN
Berdasarkan kepada nas dan pendapat para ulama, kami (Irsyad al-Fatwa)
nyatakan bahawa roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ia berada di satu
alam yang dinamakan barzakh.
Nas yang sahih lagi jelas seperti yang terdapat pada hadis Jabir r.a menjadi
pemutus dan penghukum di samping tafsiran para mufassirin mengenai ayat-ayat
al-Quran yang berkaitan dalam isu ini, yang mana menunjukkan bahawa roh tidak
dapat kembali ke dunia.
KEBIASAANNYA pada zaman dahulu menjelang penghujung Ramadan,
kebanyakan rumah di kampung mula dihias dengan pelita minyak tanah, terutamanya
di sepanjang jalan masuk ke kawasan halaman rumah.
Selain bagi menimbulkan suasana menjelang Aidilfitri, dikatakan
bahawa tradisi itu kononnya bertujuan meraikan kepulangan roh-roh keluarga untuk
melihat waris-waris yang ditinggalkan. Roh yang baik peluangnya amat tinggi
untuk dibenarkan ‘turun’ ke dunia, manakala bagi yang kurang amalannya hanya
mampu ‘menggigit jari’.
Kononnya apabila roh pulang, perkara pertama yang bakal dilakukan
ialah kembali ke kubur untuk melihat jasad mereka sebelum meneruskan perjalanan
ke rumah pusaka, anak-anak dan rumah orang yang selalu mendoakan
mereka.
Roh ini akan kembali ke Luh Mahfuz pada malam 1 Syawal bersama
‘poket’ yang sarat dengan amalan-amalan yang disedekahkan oleh
waris-warisnya.
Sementara itu, Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam yang juga
pengasas Pusat Rawatan Islam Darussyifa, Datuk Dr. Haron Din turut mengulas
mengenai isu ini.
Antara penjelasan beliau:
l Orang meninggal dunia bermaksud rohnya berpindah ke alam baqa’ yang bermula
dari kubur.
- Hadis Nabi SAW menyebut (yang bermaksud), “Alam kubur itu adalah suatu
tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan
dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam
barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya
sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia,”
l Barzakh bermaksud pemisah atau penghalang seumpama sebuah tembok kukuh yang
memisahkan di antara dua alam.
- “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan
memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke
dunia.” (Surah az-Zumar, ayat 42)
l Banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menunjukkan bahawa roh si mati berada
dalam suatu kepungan barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia.
Alam barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
l Logiknya, jika roh boleh kembali ke dunia, melakukan pelbagai perkara,
sudah tentu orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur,
tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Haron Din mengakui terdapat tanggapan segelintir bahawa roh kembali ke dunia
dan meminjam jasad-jasad tertentu. Berdasarkan kepada pengalamannya, ada yang
mendakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan
sebagainya serta mampu mengubat orang melalui ilmu yang diperoleh daripada orang
telah mati.
“Semuanya tidak benar dan ditolak oleh Islam. Seolah-olah wujudnya fahaman
mengembalikan roh, dalam istilah Arab disebut ‘tanasuthil arwah’ -
reincarnation. Elemen ini wujud dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba.
Islam bersih daripada semua fahaman ini.
“Umat Islam mesti beriman bahawa roh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak
boleh masuk ke dalam diri orang lain. Satu jasad satu roh, apabila dipisahkan,
jasad akan tinggal di alam dunia, roh kembali ke alam barzakh.
“Apabila tiba hari Kiamat, jasad akan dijadikan semula dan roh akan
mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah SWT,” katanya.
Jawapan ini boleh dirujuk melalui:
www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/945-irsyad-al-fatwa-ke-112-bolehkah-roh-orang-yang-telah-mati-kembali-ke-dunia
www.darussyifa.org/SJ001.php.
-Utusan