Stockholm: Polis Sweden semalam memburu sekurang-kurangnya seorang suspek selepas serangan ketiga terhadap masjid di negara itu berlaku dalam tempoh seminggu. Jurucakap polis Uppsala, Torsten Hemlin berkata: “Ada orang membaling bom molotov ke bangunan itu selain menconteng perkataan lucah berbau perkauman.”Katanya, tiada sesiapa di dalam masjid itu ketika kejadian.
Polis di Uppsala yang juga bandar keempat terbesar Sweden dimaklumkan orang ramai mengenai kejadian itu selepas melihat seorang lelaki melontar sesuatu yang berapi ke arah masjid berkenaan sekitar jam 4 pagi (waktu tempatan). “Kejadian itu diklasifikasikan sebagai cubaan membakar bangunan, vandalisme dan menghasut perasaan benci,” kata polis dalam satu kenyataan.
Saksi turut diminta tampil membantu siasatan. Kejadian semalam berlaku hanya tiga hari selepas kebakaran waktu malam di masjid di Esloev, selatan Sweden yang turut dipercayai perbuatan khianat. Pada hari sambutan Krismas lalu, lima cedera apabila bom petrol dilontar ke dalam masjid melalui tingkapnya di Eskilstuna, timur Stockholm.
Perdana Menteri Stefan Loefven menyelar serangan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai ‘keganasan yang menjijikkan’ selain menegaskan Sweden tidak akan membiarkan jenayah seperti itu berterusan. Majalah antiperkauman Expo melaporkan lebih 12 serangan terhadap masjid di Sweden berlaku sepanjang tahun lalu.
- AFP - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/20875#sthash.87abUYqC.dpuf
No comments:
Post a Comment