Oslo: Seorang artis Norway mendakwa memakan daging tulang pinggulnya dan menyifatkannya sama seperti daging ‘biri-biri liar.’
Akhbar Local melaporkan Alexander Selvik Wengshoel, 25 dilahirkan dengan kecacatan pinggul perlu menjalani pembedahan menggantikan salah satu pinggulnya.
Dia merakamkan proses pembedahan itu dan mempamerkan tulang pinggul yang dibuang pada satu pameran seni di Oslo.
Di pameran itu, Wengshoel memberitahu media dia memakan sebahagian daging yang melekat pada tulang pinggulnya itu.
Artis itu memberitahu dia merebus tulang untuk meleraikan daging berkenaan dan kemudian memakannya bersama kentang dan segelas wain.
“Saya menyediakan makan malam itu sendiri ketika teman wanita saya tiada di rumah dan memutuskan untuk menikmati saat terbaik hanya bersama tulang pinggul saya,” katanya menurut Local.
Ketika ditanya sama ada Wengshoel cuba menipu, artis itu dengan tegas berkata: “Saya bercakap benar.
Wengshoel juga menyifatkan proses mengunyah dan memakan daging pinggulnya itu sebagai satu terapi.
“Tulang pinggul itu memberikan saya masalah selama lebih 20 tahun dan memakan dagingnya mungkin boleh melegakan saya,” katanya.
Mujur Wengshoel melakukannya seorang diri.
Pada 2012, seorang artis Jepun, Mao Sugiyama didakwa atas tuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh selepas didakwa memasak dan menyajikan sebahagian kemaluannya kepada sekumpulan kanibal yang membayar kira-kira RM750 untuk menikmati sajian berkenaan.
Walaupun Wengshoel berkata, daging pinggulnya itu sama rasanya seperti ‘biri-biri liar,’ beberapa orang yang pernah memakan daging manusia berkata, rasanya berbeza.
Kanibal warga Jerman yang didapati bersalah kerana membunuh berkata pada 2007, daging manusia sama rasanya dengan daging babi tetapi lebih liat.
Dan pada 1920-an, wartawan William Seabrook menulis, daging manusia yang dimakannya ketika menghabiskan masa bersama kumpulan kanibal di barat Afrika mempunyai rasa yang lazat.
-Metro
No comments:
Post a Comment