Thursday, 3 April 2014

Brunei mula laksanakan hukum hudud


BANDAR SERI BEGAWAN 2 April - Brunei muncul negara Asia Timur pertama melaksanakan hukum hudud bermula semalam, yang menyaksikan semua rakyatnya termasuk masyarakat bulan Islam turut tertakluk di bawah undang-undang tersebut.

Pemerintahnya, Sultan Hassanal Bolkiah menyelia sendiri peralihan itu yang antaranya memperuntukkan hukuman berasaskan undang-undang Islam terhadap pelbagai kesalahan seperti mencuri, merogol, berzina, meliwat, minum minuman keras dan terlibat dalam kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Brunei sebelum ini telah pun melaksanakan undang-undang syariah, namun hanya terhad kepada masalah melibatkan perkahwinan, wasiat dan keluarga Islam.

Bermula semalam, perundangan Islam itu diperluaskan lagi melibatkan hukuman seperti direjam sampai mati kerana kesalahan berzina dan sebatan sekiranya melakukan pengguguran bayi.

Badan bebas, Global Voices Online yang beribu pejabat di Amsterdam, Belanda sebelum ini melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah pernah memberi amaran bahawa individu yang menentang pelaksanaan hukum hudud boleh didakwa.

Akhbar berbahasa Inggeris India, Deccan Chronicle pula melaporkan, keputusan Brunei untuk melaksanakan hukuman hudud dan memperkenalkan semula hukuman mati, menerima banyak kritikan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Selain itu, perkara tersebut turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat bukan Islam Brunei, yang turut tertakluk dalam beberapa ketetapan kod berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Antarabangsa Asia Tenggara, Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ICJ) Emerlynne Gil dalam sepucuk suratnya kepada Sultan Hassanal Bolkiah berkata, jika peraturan baharu itu dilaksanakan, pencabulan hak asasi manusia yang serius bakal berlaku.

"Brunei tidak mengamalkan hukuman mati sebelum ini dan keputusan melaksanakannya begitu mengejutkan," ujar Gil.

-Utusan

No comments: