HASNAH terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan akibat penyakit asma yang teruk. - Gambar hiasan
KATA orang tua-tua, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi seorang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Mungkin itulah yang dirasai oleh Hasnah apabila dia kini terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di sebuah pusat jagaan warga tua di Selangor.
Dalam keadaan dirinya yang sudah uzur dan tidak bertenaga, dia sepatutnya mendapat layanan baik daripada anak-anak namun nasib yang menimpa wanita itu adalah sebaliknya.
Ibu kepada lima zuriat itu mengakui dia lebih senang hidup di rumah kebajikan daripada berada di bawah jagaan ahli keluarganya.
“Saya sudah patah hati untuk hidup dengan mereka. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Cukuplah dengan apa yang mereka telah lakukan kepada saya,” ujarnya membuka bicara.
Mengimbau kembali peristiwa silam itu, Hasnah berkata, kehidupannya mula berubah selepas suaminya meninggal dunia akibat penyakit asma 12 tahun lepas.
“Sebaik sahaja suami meninggal, anak-anak mula berebut harta peninggalan arwah sehingga rumah pusaka di kampung turut digadai.
“Puas saya cuba halang tetapi mereka lebih pentingkan harta malah sanggup mengabaikan keperluan saya,” katanya yang terpaksa menumpang tidur di rumah anak secara bergilir-gilir.
Entah di mana silapnya, Hasnah turut diperlakukan seperti pembantu rumah oleh anak-anak kandungnya.
Kudrat tua wanita berusia 75 tahun itu terpaksa dikerah setiap hari dengan melakukan kerja-kerja rumah demi sesuap nasi.
“Saya tidak boleh duduk berehat. Kalau kain baju tidak bercuci, lauk tidak dimasak dan rumah tidak dikemas, anak serta menantu akan marah-marah. Sudahnya, saya ‘didenda’ dan terpaksa tidur dalam keadaan lapar,” ceritanya.
Meskipun demikian, Hasnah tidak berani bersuara dan tetap bersabar dengan perangai anak-anaknya kerana sedar dia hanya hidup menumpang.
Hari demi hari, tubuh wanita itu semakin kurus. Tahap kesihatannya juga semakin merosot.
Akibatnya, dia pernah terlantar di hospital selama beberapa hari akibat serangan asma.
Pilu
Namun, anak-anak tidak pernah datang melawat kononnya terlalu sibuk dengan kerjaya dan urusan rumah tangga.
Terbit rasa pilu di sudut hati Hasnah apabila diperlakukan sedemikian namun perasaan itu dibuang jauh-jauh kerana kasih dan sayang terhadap anak mengatasi segala-galanya.
Bertutur lanjut, Hasnah berkata, penyakit asma yang dihidap semakin teruk sehingga dia memerlukan alat bantuan pernafasan dan bekalan oksigen hampir sepanjang masa.
Kos pembelian mesin dan peralatan yang menelan belanja lebih RM70,000 itu membuatkan anak-anak menjadi runsing kerana terpaksa membayar kos berkenaan.
“Sungguh saya tak menyangka peristiwa itu menjadi titik permulaan mereka bergaduh adik-beradik dan bermasam muka,” katanya kesal.
Di sebalik sengketa serta salah faham, mereka akhirnya sepakat untuk membeli mesin serta peralatan tersebut bagi kegunaan Hasnah.
Bagaimanapun, timbul hal lain apabila kebergantungan wanita itu terhadap mesin oksigen menyebabkan bil elektrik melambung tinggi.
Hati ibu mana tidak terguris apabila anak sendiri begitu berkira mengenai bil elektrik yang mencecah ratusan ringgit sebulan.
Lebih menyedihkan, anaknya pernah mematikan suis bekalan oksigen itu ketika dia sedang tidur dengan alasan untuk menjimatkan penggunaan elektrik.
“Pernah sekali saya terdengar pertengkaran antara anak dengan menantu sampaikan mereka mahu bercerai sebab tidak sanggup menjaga saya lagi.
“Jujur saya katakan, hati saya hancur luluh apabila mengenangkan kembali peristiwa itu,” tuturnya dalam nada sebak.
Sejak peristiwa itu, Hasnah tekad untuk membawa diri.
Selepas menerima rawatan terakhir di Hospital Sungai Buloh, Hasnah meminta pihak hospital menempatkannya di rumah kebajikan.
“Anak-anak tidak menghalang malah mereka menganggap bebanan yang ditanggung bagai sudah diangkat dari bahu mereka apabila saya membuat keputusan tersebut,” katanya.
Kini, Hasnah berasa lebih tenang walaupun terpaksa menumpang kasih di rumah kebajikan tersebut.
“Sekiranya arwah suami masih ada, mungkin nasib saya tidak seperti ini. Namun, saya bersyukur kerana layanan yang diterima jauh lebih baik daripada jagaan keluarga sendiri,” ujarnya mengakhiri perbualan.
-Oleh NOR IDAYU BOSRO-Kosmo
No comments:
Post a Comment