Saturday, 1 February 2014

Jatuh talak tiga kerana wifi


SELALU disebut orang, wanita lebih setia berbanding lelaki. Betulkah? Sama seperti dalam banyak hal yang lain, walaupun mungkin benar wanita lebih setia dalam percintaan tetapi pastinya bukan seratus peratus. Cuma daripada pemerhatian rambang, wanita sering dianggap lebih setia. Tengoklah pada kawan-kawan kita, saudara mara kita, berapa ramai wanita yang terus hidup sendiri, tidak cari pengganti selepas kematian suami. Tidak. Saya tidaklah sampai mengatakan mereka yang berkahwin lagi itu sebagai tidak setia. Itu soal jodoh dan juga ada sebab-sebab yang lain. Islam dan budaya kita pun tidak menghalang sesiapa juga untuk berkahwin kali kedua, ketiga atau ke berapa sekalipun setelah habis tempoh iddahnya. Ini sekadar perbandingan mudah dalam konteks setia cinta antara lelaki dengan wanita. Dan kita lihatlah pula bagaimana lelaki yang berhadapan situasi serupa. Berapa ramai yang kekal hidup menyendiri selepas kematian isteri atas alasan tidak sanggup untuk menduakan si dia yang sudah pergi dan hati menolak kehadiran orang baru untuk bergelar pengganti. Banyak yang saya jumpa untuk tempoh seminggu atau dua tiga minggu pertama, sedih hibanya tidak terkata. Lepas sebulan, akan disebut-sebut, kawan-kawan di surau , di pejabat sudah bertanya, “bila nak cari pengganti?” Beberapa hari kemudian, keluarlah status baru: “hidup mesti diteruskan ...” Masuk bulan kedua, bukan setakat status Facebook, status diri pun sudah baharu, ‘kalau dah jodoh ...!’ Itulah yang kita biasa perhatikan walaupun bukanlah maknanya semua lelaki demikian. Pada zaman dahulu, dicipta orang perumpamaan untuk menggambarkan mereka yang cepat bertemu jodoh baharu selepas kematian pasangan iaitu ‘tanah kubur masih lagi merah ...’ Itu zaman dahulu. Zaman sekarang lain pula. Seiring dengan perkembangan teknologi, diciptakan pula perumpamaan baharu. Untuk menggambarkan betapa wanita lebih setia berbanding lelaki, hati mereka diumpamakan seperti wifi. Wifi seperti yang kita tahu hanya boleh diakses oleh yang memiliki kata laluan atau password sahaja. Ini khusus kepada yang diiktiraf sebagai pasangan sahaja, sama ada suami atau kekasih yang sejati. Manakala hati lelaki pula, kononnya diumpamakan dengan aplikasi ‘bluetooth’. ‘Bluetooth’ seperti yang kita tahu apabila berdekatan, akan ‘connect’ sebaliknya tatkala berjauhan, ia akan ‘try to search a new device’ atau cuba mencari pasangan baharu. Betulkah begitu? Seperti yang saya nyatakan di atas tadi, penilaian terhadap hal-hal yang semacam ini tidak akan ada yang seratus peratus betul atau seratus peratus sama. Ianya adalah pada diri masing-masing. Sendiri tanya, sendiri juga yang kena jawab! Ada pun berkaitan dengan wifi, satu lagi kisah yang walaupun bunyinya sekadar olok-olokan tetapi elok juga dijadikan peringatan. Dikisahkan daripada seorang peguam yang menyampaikan cerita ini kepada saya bahawa seorang suami yang panas baran menerima SMS daripada bekas jirannya yang baru berpindah. Dalam SMS itu, pemuda bekas jirannya itu meminta maaf kerana katanya selama mereka tinggal berdekatan, dia sudah beberapa kali curi guna 'wife' lelaki itu. “Saya minta maaf sebab saya tahu saya berdosa kepada tuan kerana guna ‘wife’ tuan tanpa kebenaran,” demikian pengakuan pemuda berkenaan. Lelaki itu pula yang tanpa usul periksa balik ke rumah terus mengamuk lalu menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus. Tidak lama kemudian, dia terima satu lagi SMS daripada bekas jirannya itu: “Minta maaf tuan, bukan wife tapi wifi. Salah ejaan.” Ya, cerita ini mungkin sekadar rekaan walaupun ada juga komen rakan-rakan yang mengaku pernah dengar cerita yang hampir sama atau seumpamanya bahawa hal yang seperti itu pernah berlaku secara realiti. Apa pun bagi saya, ia baik untuk kita jadikan peringatan. Orang yang panas baran mudah hilang pertimbangan dan dalam keadaan hilang pertimbangan apa-apa yang tidak logik, tidak munasabah pun boleh berlaku tatkala kerasukan. Jadi waspadalah. Berdoa pada ALLAH minta perlindungan daripada hasutan syaitan pada setiap masa kita. Jangan sampai nasi jadi bubur apa lagi yang berkaitan dengan talak. -MUHAMAD MAT YAKIM @ Sinar

No comments: