Kota Kinabalu: Saksi kelima pendakwaan kes pencerobohan bersenjata di Lahad Datu mengakui melihat dua anggota komando VAT69 yang terkorban terbaring dalam keadaan kepala berbalut dan berlumuran darah ketika sedang berbalas tembakan.
Ketua Sektor D Deputi Superintendan Abdul Rani Alias ketika memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, situasi itu dilihat ketika pasukannya bergabung dengan Sektor C diketuai Deputi Superintendan Anwar Rosdi ketika serangan pengganas.
“Ketika itu, saya dimaklumkan dua anggota komando VAT69 terkorban dalam insiden tembak-menembak iaitu Sarjan Sabarudin Daud dari Sektor B dan Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dari Sektor C.
“Saya melihat sendiri kedua-dua anggota ini terbaring dengan kepala mereka berbalut dan berlumuran darah,” katanya.
Terdahulu, ketika ditanya Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail, Abdul Rani berkata, pasukannya tidak melihat pengganas Sulu, sebaliknya hanya melihat percikan api senjata dari arah semak di hadapan ketika insiden berbalas tembakan di Kampung Tanduo pada 1 Mac tahun lalu.
“Pada hari kejadian, pasukan saya yang berkawal di Sektor D melakukan tinjauan rapat termasuk melakukan pemeriksaan terhadap 23 rumah yang dikosongkan di kampung terbabit.
“Kemudian ketika di dalam rumah dua tingkat, kami terdengar bunyi tembakan dan mengambil keputusan bergerak ke arah bunyi terbabit.
“Kami bergerak dalam bentuk ‘V’ ke arah bunyi tembakan dan dalam jarak 200 meter, pasukan saya secara tiba-tiba ditembak dari arah depan dan kiri,” katanya ketika perbicaraan pencerobohan pengganas Sulu di Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini, semalam.
Abdul Rani berkata, ketika itu dia bersama Lans Koperal Mohammad Qayyum Aiqal Zolkifli berada di hadapan melalui denai manakala anggota lain di kiri dan kanan.
“Sebaik diserang, saya bersama anggota lain terus mencari perlindungan, namun Mohammad Qayyum cedera selepas terkena tembakan pada bahu kanannya.
“Saya segera memanggil anggota perubatan untuk membawa Mohammad Qayyum keluar dari tempat perlindungan manakala kami terus berbalas tembakan dengan pihak musuh selama satu jam,” katanya.
Abdul Rani berkata, sepanjang insiden berbalas tembakan, dia tidak melihat kelibat musuh dan hanya menembak ke arah semak yang mengeluarkan ‘flash’ (percikan api).
-Metro
No comments:
Post a Comment