PETANG semalam, saya berpeluang mendengar cerita Majid Adek, juruhebah Asyik FM yang berasal dari Lasah, Sungai Siput, Perak.
Mendengar cerita lelaki Temiar berusia 52 tahun itu buat saya lupa seketika pada laporan Ketua Audit Negara, juga hal konflik Kongres Amerika, Republikan dengan Obama.
Mana tidaknya, Majid telah membawa saya jauh ke dalam belantara di sempadan Perak - Kelantan yang menurutnya, jarak perjalanan berjalan kaki oleh Orang Asli - yang terkenal kuat, cekap, cergas dan pantas di dalam hutan - dari Kampung Pendek, Lasah, Sungai Siput, sahaja pun sehari suntuk.
"Jadi kalau saudara tanya saya berapa jauh, saya pun tak tahu nak agak. Apa yang saya ingat, saya berdua dengan ayah saya masa itu, kalau masuk jauh ke dalam hutan, seminggu baru kami balik," katanya.
-Sinar
Apa yang mahu diceritakan Majid, saya percaya tidak pernah dilalui orang lain. Malah saya juga percaya akan ada yang meragui ceritanya. Ianya adalah berkaitan dengan bigfoot, makhluk yang dianggap mitos oleh kebanyakan kita.
"Peristiwa ini berlaku lewat 1960an, mungkin makhluk itu sudah pupus sekarang," katanya.
Majid berkata, dia yang pada masa itu berusia lapan atau sembilan tahun sering mengikut ayahnya mencari hasil hutan.
"Malam, kami tidur dalam gua. Ayah saya memang arif mengenai kawasan itu, jadi dia tahulah mana yang selamat, mana yang tidak. Awal-awal lagi dia beritahu saya, kalau ada bunyi berdegum-degum seperti orang berjalan dengan hentakan kaki yang kuat, itu tandanya ada ta'woi. Ta'woi itulah bigfoot," kata Majid.
Suatu hari, katanya ketika berada di dalam sebuah gua, dia dengar bunyi seperti yang dikatakan. Majid lalu dipanggil ayahnya untuk melihat makhluk misteri itu.
"Ya, memang saya nampak. Ta'woi rupanya berbulu kehitaman. Tingginya lebih kurang sama dengan kita. Di kepalanya seperti ada lekukan. Ayah saya punya petua, kalau jumpa ta'woi, kita kena batuk. Dia akan cepat-cepat pergi sebab ta'woi cukup takut dengan penyakit. Dia takut penyakit (batuk) kita berjangkit padanya," katanya.
Kata Majid, itulah satu-satunya pengalaman dia melihat makhluk itu secara live. "Tapak kakinya, memang selalu jumpa. Saiz tapak kaki ta'woi sama macam kita, cuma ia terbalik. Tanda ke arah mana ia berjalan adalah dengan melihat tumit, bukan jarinya."
Ta'woi jarang hadir di kawasan yang hampir dengan perkampungan Orang Asli. "Tapi orang kami waktu itu cukup berjaga-jaga. Sebab itu, wanita kami dilarang sama sekali masuk jauh ke dalam hutan, takut terserempak dengan ta'woi. Ada cerita turun temurun, ta'woi kalau jumpa wanita kita, dia perkosa," katanya.
Selain itu, ta'woi juga cukup gemar daun ber, sejenis daun di dalam hutan tebal. Orang Asli juga kata Majid sangat menyukai daun itu.
"Kita makan mentah saja tapi ta'woi, lepas petik daun ber, ia letak sekejap di atas kepalanya, di tempat yang berlekuk itu, macam kuali. Mungkin panaskan dengan haba badan, lepas itu baru dia makan," katanya.
Mendengar cerita Majid, saya teringat apa yang pernah diceritakan Allahyarham Ismail Ombong, juga bekas juruhebah radio Asyik FM. Ismail suku Temuan di Negeri Sembilan. Kata Ismail, ketika belum Islam, dia selalu mengikut ayahnya memburu sikah, sejenis monyet. "Lepas disumpit, jatuh saja sikah tetapi kita cari tak jumpa, itu kerja 'bojoih' la tu," katanya.
'Bojoih' atau bojos atau dipanggil juga lecor atau lecha, satu lagi makhluk misteri yang hidup dalam hutan tebal di negara kita. Makhluk ini dikatakan menyerupai manusia dari segi fizikal tetapi sifat dan jenisnya yang sebenar tidak diketahui.
Dikatakan, bojos terdapat di kawasan hutan tebal daerah Hulu Langat, Selangor dan Raub, Pahang. Ia pernah dilihat muncul secara berkumpulan di kawasan jeram yang terdapat banyak ikan. Bojos cekap menangkap ikan dengan tangan.
Mereka juga sangat sensitif terhadap bau manusia dan akan ghaib sepantas kilat sebaik sahaja menyedari kehadiran manusia di persekitaran mereka.
Oleh itu, bagi ahli hutan yang terdiri daripada pemancing atau pemburu, mereka ada cara tersendiri untuk mengintai bojos iaitu dengan melumur badan dengan ikan hingga hilang sepenuhnya bau manusia. Hanya dengan cara itu, bojos tidak dapat menghidu kehadiran mereka.
Saya juga teringat apa yang saya pernah baca dalam majalah, dikatakan berlaku di Perlis hingga 1960an, ada spesis orang kerdil yang tubuh mereka hanya bertutup daun, keluar dari kawasan hutan arah sempadan Thailand - kalau tidak silap saya di kawasan Bintong - minta tembakau daripada orang kampung.
Ada yang datang berpasangan, mungkin suami isteri. Bahasa pertuturan mereka tidak difahami namun biasanya, mereka hanya minta tembakau sebelum berlalu pergi. Sama ada kaum itu masih wujud, tidak diketahui namun sudah berdekad katanya, mereka tidak pernah muncul lagi.
Pasti ramai yang meragui cerita ini. Apa pun, pasti masih banyak rahsia alam sekeliling yang belum kita teroka sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment