Thursday, 17 October 2013

Terpijak darah hantu muda

SERI KEMBANGAN – Seorang suri rumah berusia 57 tahun kerugian RM110,000 gara-gara terpedaya dengan kata-kata seorang lelaki yang mendakwa dirinya terpijak darah hantu perempuan muda.

Difahamkan, lelaki terbabit mendakwa roh hantu berkenaan mengikuti mangsa pulang dan mahu mengahwini anaknya yang berusia 19 tahun.

Akibat terpedaya dengan dakwaan itu, mangsa menyerahkan kesemua wang simpanan dan barang kemas dimiliki kerana lelaki terbabit juga mendakwa anaknya akan mati sebelum jam 12 tengah malam 9 Oktober jika tidak melaksanakan apa yang disuruh.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Lu berkata, ketika kejadian pagi 8 Oktober, dia baru sahaja turun dari kereta untuk ke pasar di Sri Petaling.

“Ada wanita bernama Fong datang dan tanya saya di mana ada jual daun herba warna merah untuk mengubati penyakit suaminya. Semasa kami bersembang, datang pula seorang wanita tua menyampuk. Dia kata dia kenal seorang lelaki berusia 103 tahun yang boleh menyembuhkan banyak penyakit,” katanya.

Menurut Lu, mereka bertiga kemudian pergi ke sebuah kopitiam untuk mendapat maklumat lebih lanjut berkenaan lelaki tersebut daripada perempuan tua bernama Yoke itu.

“Dalam pada kami berbual datang seorang lelaki muda dalam lingkungan 30-an yang memperkenalkan diri sebagai Chong. Dia kata dia kenal rapat dengan lelaki tua itu.

Yoke pun mendesak dia agar membawa mereka bertiga berjumpa lelaki tua berkenaan tapi Chong beri alasan, biar dia sahaja yang pergi,” katanya.
Tambah Lu, Chong kemudian meninggalkan mereka menunggu di kopitiam itu.

“Setelah beberapa ketika dia datang balik dan beritahu dalam nada cemas yang saya dah terpijak darah hantu perempuan muda yang kena langgar dengan lori. Untuk bunuh hantu itu dia kata saya kena keluarkan semua duit dan barang kemas.

“Saya balik rumah ambil buku akaun dan pergi bank bersama Yoke,” katanya.

Setelah membawa keluar wang miliknya, dia dan Yoke berjumpa Chong semula dan dia mengarahkan wang tersebut dimasukkan ke dalam beg plastik warna biru.

“Chong ingatkan saya jangan beritahu sesiapa kerana kalau tidak roh hantu itu akan mengganggu. Jadi saya ikut saja kerana saya takut. Lagipun pada masa itu plastik berisi duit saya pegang sepanjang masa dan tidak sedar bila mereka menukarnya,” katanya.

Lu berkata, dia menyedari dirinya tertipu apabila membuka beg plastik itu keesokan harinya dan mendapati hanya terdapat beberapa kotak air minuman manakala wang tunai dan barang kemasnya ‘ghaib’.

Dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Petaling, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang menerima aduan daripada mangsa menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati jika didekati individu tidak dikenali yang meminta apa juga pertolongan.

-Sinar

No comments: