Anggota penguat kuasa PDNKK turut memantau kawasan penjualan lauk di restoran terbabit yang diserbu semalam.
KOTA BHARU - [Dikemaskini] Gara-gara mengenakan bayaran RM6,000 kepada kumpulan VVIP untuk sarapan pagi kelmarin, sebuah restoran di Pengkalan Chepa, di sini, diserbu penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK).Rombongan 50 orang itu, termasuk mereka yang datang dari luar Kelantan untuk menghadiri satu majlis rasmi di bandar ini.
Timbalan Pengarah PDNKK negeri, Ab Ghani Harun berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya menyerbu restoran yang terletak di Taman Uda Murni, pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita dapati peniaga kedai terbabit menutup papan tanda harga yang sedia ada dengan pita pelekat.
“Kita mengesyaki peniaga berkenaan mempunyai niat untuk menipu dan mengenakan caj harga sesuka hati ke atas pelanggan.
"Atas kesalahan itu, kita kenakan kompaun ke atas pihak terbabit,” katanya kepada pemberita, selepas serbuan ke atas restoran terbabit.
Dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas lauk pauk dan makanan bernilai hampir RM6000.
Ab Ghani berkata, jika sabit kesalahan pengusaha itu boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah 3 (1) Akta Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 dengan penalti RM250,000 dan kompaun maksimum RM175,000.
“Ini bagi memberi pengajaran terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Diharap peniaga-peniaga lain turut berwaspada. Jika dikesan melakukan penipuan mereka juga akan dikenakan kompaun.
“Saya menasihatkan semua peniaga di negeri ini supaya meletakkan tanda harga yang jelas untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pelanggan, terutama mereka yang datang dari luar Kelantan,” katanya.
Sementara itu, bayaran makanan yang dicaj hingga mencecah RM6,000 oleh restoran itu menyebabkan ramai dalam kumpulan VVIP itu meluahkan rasa terkejut dan kesal dengan sikap peniaga berkenaan.
Seorang pelanggan yang enggan dikenali berkata, anggota-anggota rombongan VVIP terbabit berhenti makan pagi di restoran itu sebelum menghadiri satu majlis rasmi di bandar ini.
“Kami mula memesan makanan mengikut kehendak masing-masing dan makanan itu disediakan dalam beberapa hidangan di setiap meja makan.
“Antara yang dihidangkan ialah ayam goreng kampung dan gulai itik serati, di samping sayuran-sayuran dan beberapa lauk-pauk lagi,” katanya.
Menurutnya, selepas semua selesai makan dan salah seorang daripada mereka bangun untuk membuat pembayaran, peniaga terbabit mengatakan jumlah keseluruhan sarapan itu adalah RM6,000.
“Kami semua yang ada di situ terkejut. Ada yang menggeleng seperti tidak percaya dengan apa yang kami dengar daripada peniaga itu. Langsung tidak masuk akal.
“Walaupun terkedu, bayaran tetap dibuat selepas ada sedikit tawar menawar dengan peniaga itu.
"Kami tidak setuju dengan harga cekik darah itu, tetapi disebabkan kami terpaksa bergegas untuk menghadiri majlis rasmi tersebut, seorang daripada anggota kumpulan itu membayarnya," katanya.
_Sinar
No comments:
Post a Comment