Monday, 28 October 2013

Majikan Singapura bersikap rasis


SINGAPURA - Majikan-majikan di Singapura masih melaksanakan amalan pengambilan pekerja berdasarkan agama, bahasa dan kaum.

Pakatan Tiga Pihak bagi Amalan Pengambilan Pekerja Adil (TAFEP) menyatakan, satu daripada lima aduan yang mereka terima menunjukkan majikan di negara ini masih mengamalkan diskriminasi berdasarkan ketiga-tiga faktor tersebut untuk mencari pekerja.

Menurut TAFEP, meskipun kadar itu adalah kecil, ia menunjukkan bahawa majikan di republik ini masih tidak peka dengan tanggungjawab mereka dalam mengamalkan pengambilan pekerja secara adil.

TAFEP menjelaskan, pihaknya menerima hampir 500 aduan dari tahun 2012 hingga Jun tahun ini berkaitan pengambilan pekerja yang disifatkan berat sebelah.

Badan itu memberitahu, dalam satu kes, sebuah sekolah swasta dalam iklannya dengan jelas menyatakan bahawa mereka mencari pekerja daripada satu jenis bangsa dan bahasa.

Satu kajian berkaitan diskriminasi dan keharmonian agama di Singapura yang dikeluarkan oleh Institut Kajian Polisi dan OnePeople.sg turut dijalankan baru-baru ini, melibatkan lebih 3,000 responden.

Kajian mendapati, 20 peratus kaum Melayu dan 18 peratus kaum India di negara ini menyatakan mereka sering berasa didiskriminasi ketika mencari kerja, dengan hanya empat peratus kaum Cina berasa demikian.

Berkaitan kenaikan pangkat pula, 17 peratus kaum Melayu dan 18 peratus kaum India menyatakan sering dipinggirkan, berbanding hanya empat peratus daripada kalangan kaum Cina.

Lebih satu pertiga daripada responden turut merasa kaum Melayu dan India perlu bekerja keras berbanding kaum lain untuk mendapatkan jawatan tinggi, berbanding 16 peratus kaum Cina yang merasa perkara sama.

- AGENSI/Utusan

No comments: