Wednesday, 9 October 2013

Jam tangan kira detik ajal

STOCKHOLM, Sweden - Sebelum ini terdapat laman web yang boleh meramal bila ibu bapa anda akan mati.

Kini terdapat sejenis jam tangan yang bukan sahaja meramal tarikh kematian seseorang tetapi mengira detik waktu tersebut.

Sebuah akhbar melaporkan jam tangan jenama Tikker itu membuat ramalan tersebut berpandukan maklumat kesihatan yang diisi oleh pemiliknya.

Selepas data diisi, jam tangan Tikker akan memulakan pengiraan detik kematian individu tersebut.

Gajet yang juga dikenali sebagai 'jam tangan kematian' itu dicipta oleh pereka dari Sweden, Frendrik Colting.

"Saya mereka jam tangan elektronik ini bukan untuk menakutkan pengguna," kata Colting.

"Sebaliknya, saya mahu mereka lebih menghargai kehidupan dan masa yang mereka ada," tambahnya.

Skrin atas jam digital itu memaparkan tahun, bulan dan hari manakala paparan bawah mempunyai kiraan detik jam, minit dan saat.

Jam tangan itu yang didatangkan dengan warna putih dan hitam, dijual di pasaran pada harga sekitar AS$59 (RM188).

- Agensi/kosmo

No comments: