Wednesday, 24 July 2013

Rasulullah haramkan mutaah

Perkahwinan mutaah oleh pengikut ajaran Syiah berlaku atas alasan menghindari zina, sebaliknya perkahwinan sebegitu diharamkan oleh Nabi Muhammad SAW terhadap umatnya.

Pendakwah, Ustaz Nazmi Mohamad Karim berkata, hukum yang mengharamkan pernikahan itu bersandarkan hadis daripada Ali bin abi Thalib yang berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang nikah mutaah dan memakan daging keldai jinak pada perang Khaibar.” (HR. Bukhari 5115, Muslim 1407). Hadits Sabrah bin Ma’bad Al-Juhani.

"Tetapi golongan tanpa ilmu sering menggunakan alasan demikian, yang jelas cetek ilmu pengetahuan berkaitan agama. Nikah mutaah berlangsung tanpa wali dan akad dan ini tidak sah selama-lamanya” katanya.

Bagaimanapun, jelas Nazmi, beliau tidak mempunyai maklumat sama ada pernikahan seumpama itu berlaku atau pun tidak melibatkan pengikut Syiah di negara ini.

"Nikah mutaah adalah harus di sisi Mazhab Ja’fariyyah (Syi’ah). Manakala fuqaha’ ahli sunnah sepakat mengatakan nikah mutaah adalah haram dan batil. Pada zaman awal Islam, Rasulullah SAW membenarkan nikah mutaah kerana ia merupakan satu kebiasaan masyarakat zaman jahiliah ketika itu.

"Kemudian ia diharamkan secara berperingkat yakni terhad ketika berperang dan berdagang," katanya.

Nazmi berkata, sehinggalah di penghujung hayat Rasulullah, baginda mengharamkan nikah mutaah secara mutlak sehingga hari Kiamat.

"Justeru, hukum muktamad nikah mutaah adalah haram dan inilah yang menjadi pegangan para sahabat dan tokoh-tokoh ilmuwan Islam daripada semua Mazhab baik Syafi’e, Hanbali, Maliki dan Hanafi," jelas beliau.-Sinar

No comments: