Sunday, 21 July 2013

Kepala wanita tembusi cermin

Beberapa anggota bomba berusaha menyelamatkan wanita malang yang kepalanya tersekat pada cermin hadapan kenderaannya dalam satu nahas jalan raya di wilayah Guanxi, China, kelmarin. - Agensi

BEIJING 20 Julai - Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang boleh digambarkan terhadap seorang wanita China yang masih hidup meskipun kepalanya terhantuk sehingga menembusi cermin depan kereta apabila terlibat dalam satu kemalangan di wilayah Guanxi, selatan China, semalam.

Wanita yang tidak didedahkan namanya itu duduk di bahagian penumpang apabila kenderaan tersebut melanggar belakang sebuah trak, menyebabkan mangsa yang tidak memakai tali pinggang keselamatan tercampak ke cermin depan.

Akibat hentakan yang kuat, kepala wanita terbabit menembusi kaca itu dan tersangkut pada cermin kenderaan tersebut.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian terpaksa mengalihkan pemandu kereta tersebut yang tidak sedarkan diri sebelum mengeluarkan mangsa yang tersangkut pada cermin berkenaan.

Anggota bomba juga mengambil langkah berhati-hati semasa memecahkan lagi kaca di sekeliling leher wanita itu bagi mengelakkan mangsa tercedera.

Sebaik-baik dikeluarkan, mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah dan ketakutan dibawa oleh pasukan perubatan ke hospital.

Keadaan mangsa dan rakan lelakinya yang juga pemandu kereta terbabit, dilaporkan stabil. - AGENSI/Utusan 

No comments: