Wednesday, 10 July 2013

Kekeliruan yang merugikan

 
Ibadah puasa perlu diajar sejak kecil lagi. - Gambar hiasan
 
 
Oleh ZAMRI HASHIM
 
 
Disaat menjelang Ramadan, kadang-kadang umat Islam sering terkeliru atau tidak mengetahui beberapa ibadah yang terdapat dalam bulan Ramadan.

Maka terdapat segelintir umat Islam mengabaikannya dengan tidak bertanyakan kepada ustaz atau tokoh agama, akhirnya mereka hanya berlapar dan dahaga sahaja tetapi tidak mendapat keberkatan dalam bulan Ramadan.

Sehubungan itu, di sini saya jelaskan lima masalah yang sering berlaku terhadap umat Islam untuk dijadikan panduan berguna agar tidak lagi terkeliru pada masa akan datang.

1 Terlupa niat

Niat mempunyai kedudukan dan peranan yang sangat penting di dalam ibadat kerana niat akan menentukan maksud dan matlamat sesuatu ibadat itu dilakukan di samping nilai ibadat kita akan dinilai oleh Allah berdasarkan niat kita melaksanakannya. Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menekankan perkara ini.

Berkaitan dengan ibadat puasa, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar maka tiada puasa baginya." (riwayat Imam hadis yang empat dan lafaz daripada Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Niat merupakan rukun puasa dalam mazhab Syafie. Terdapat tiga perkara yang perlu diambil perhatian agar niat berpuasa menepati kehendak syarak di dalam mazhab Syafie.

Pertama, ia dilakukan pada malam hari sebelum waktu Subuh (tabyiit), ditentukan jenis puasanya (ta'yiin) dan ia mesti diperbaharui pada setiap hari (tajdid dan tikrar) kerana dalam mazhab Syafie ibadah puasa merupakan ibadah berasingan setiap hari (mustaqillah).

Niat itu tempatnya di dalam hati dan tidak disyaratkan melafazkannya. Namun melafazkannya itu memudahkan untuk kita fokus niat kita kepada ibadat yang kita laksanakan.

Ini bermakna jika kita terlintas dalam hati kita untuk berpuasa pada waktu dan kadar yang disebutkan tadi, maka ia telah dikira berniat walaupun ia tidak melafazkannya.

Begitulah sebalik jika seseorang itu langsung tidak terlintas di dalam hatinya untuk berpuasa keesokkan harinya walaupun ia melakukan aktiviti seperti seolah-olah bangun sahur maka ia tidak dikira berniat.

Perkara yang disebutkan tadi adalah berkaitan dengan niat puasa fardu Ramadan tetapi untuk puasa sunat tidak disyaratkan tabyiit dan ta'yiin. Berdasarkan hadis riwayat al Dar Qutni bahawa Rasulullah SAW berpuasa apabila Aisyah memaklumkan bahawa tiada makanan di rumah mereka pada awal pagi.

2 Suntikan perubatan sebelum berbuka puasa

Persidangan Fiqh Antarabangsa (al Majma al Fiqhi al Islami) [no 93 (1/10) pada 23 -28 Safar tahun 1418 Hijrah bersamaan 28 Jun - 3 Juali 1997] telah membuat keputusan bahawa suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah tidak membatalkan puasa namun memberi makan melalui suntikan pembuluh darah seperti suntikan glukos yang mengenyangkan dikira membatalkan puasa.

3 Berbuka puasa sebelum waktu berbuka puasa

Barang siapa yang berbuka puasa kerana ia menyangka sudah masuk waktu Maghrib. Namun jika ia mendapati selepas itu waktu Maghrib belum lagi masuk semasa ia berbuka puasa maka mengikut jumhur al ulama wajib ia mengqadha puasanya itu kerana terdapat kaedah "tidak dikira sangkaan yang jelas salahnya." Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al Imam al Baihaqy dalam al Sunan al Kubra.

4 Bolehkah buka puasa jika musafir dua marhalah walaupun naik kapal terbang?

Allah SWT memberi keringanan (rukhsah) untuk berbuka puasa kepada orang-orang yang musafir melebihi dua marhalah dengan tujuan bukan maksiat walaupun perjalanan itu tidak mendatangkan sebarang kesusahan ataupun kesukaran (masyaqqah).

Keringanan ini didasari dengan sebab perjalanan (safar) bukannya kesukaran (masyaqqah). Ini disebabkan perjalanan adalah satu sifat yang zahir yang menyeluruh dan boleh diletakkan hukum berdasarkan kepada sifat perjalanan itu.

Hukum rukhsah itu terpakai selama mana ada unsur perjalanan dilakukan dan terhenti hukum itu apabila tidak berlaku (safar), berdasarkan kaedah al hukmu yaduuru ma'a illatihi wujuudan wa adaman.

Namun jika musafir berkenaan berhasrat untuk meneruskan puasanya maka hasratnya itu adalah lebih baik. Firman Allah: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al Baqarah: 184)

5 Perempuan datang haid tetapi suci waktu tengah hari tanpa makan atau minum, bolehkah dia berpuasa?

Apabila seseorang wanita suci haidnya sebelum waktu Subuh, dia masih boleh berpuasa walaupun belum mandi wajib lagi. Tetapi jika suci haidnya di pertengahan harinya maka ia tidak boleh memulakan puasanya di saat ia suci selepas Subuh. Wajib ke atasnya untuk mengqadakan puasanya.

Mengikut Mazhab Maliki, al Syafie dan salah satu pandangan daripada Mazhab Imam Ahmad wanita yang kedatangan haid berkenaan dibenarkan makan dan minum di siang hari dengan syarat tidak secara terang-terangan untuk mengelakkan difitnah dan sangkaan buruk orang lain yang tidak mengetahui kedudukan dirinya yang tidak boleh berpuasa.

Namun ada juga dalam kalangan ulama berpendapat wanita berkenaan tetap kena menahan diri daripada makan dan minum kerana menghormati bulan Ramadan yang mulia. Pun begitu, pandangan ini dipertikaikan kerana tiada dalil yang jelas melarang mereka mengambil makanan dan minuman. -Utusan

PENULIS ialah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Perak.

No comments: