SYDNEY 13 Jun - Pasukan tentera Australia hari ini dicemari dengan satu lagi skandal seks dengan 17 anggotanya, termasuk pegawai, disiasat berhubung penemuan e-mel dan gambar yang menjatuhkan martabat kaum wanita.
Ketua Tentera Australia, Leftenan Jeneral David Morrison berkata, beliau sendiri terkejut dengan pendedahan itu selepas satu laporan kerajaan pada tahun lalu menyatakan lebih 1,000 aduan serangan seksual dan penyeksaan lain dibuat dalam pasukan itu sejak 1950-an.
Laporan itu turut dikejutkan dengan skandal dikenali sebagai Skype pada 2011 apabila satu rakaman seorang rekrut muda mengadakan hubungan seks dengan seorang rakan sekelas wanitanya disiarkan secara langsung di dalam talian kepada kadet-kadet lain tanpa pengetahuan mangsa.
"Bagi saya kes kali ini lebih teruk berbanding skandal Skype dan saya sifatkan tuduhan itu sebagai serius," kata Morrison.
Morrison berkata, mereka yang terlibat dituduh menerbitkan dan mengedarkan bahan-bahan 'yang sangat tidak sesuai itu' ke seluruh sistem komputer pertahanan dan Internet awam sepanjang tiga tahun lalu.
Menurutnya, penggunaan dadah secara haram dipercayai turut berlaku.
"Setakat ini tiga orang telah digantung tugas dan mungkin berdepan dakwaan polis, dengan lima lagi mungkin digantung tugas, manakala lebih sembilan orang lagi sedang disiasat.
"Lebih 90 anggota Tentera Pertahanan Australia terbabit dalam rangkaian e-mel itu dan pegawai tertinggi yang terlibat berpangkat leftenan kolonel," ujar Morrison.
Beliau menyifatkan pendedahan itu sebagai merendahkan, eksplisit dan menghina kaum wanita'.
Morrison berkata, beliau telah menemui beberapa wanita yang terlibat dan memohon maaf. – AFP/Utusan
No comments:
Post a Comment