Anggota Komando VAT 69
Anggota Komando VAT 69 keluar dari trak untuk mengawal keadaan .
 
 
“Pahlawanku
Pergilah berjuang untuk bangsa
Jangan ragu
Namamu tetap dipuja

Biar mati
Sebagai pahlawan yang sejati
Jangan undur
Jasamu kelak bertabur

Selamat kau pergi
Selamat kembali
Dengan hati suci
Dan tak takut mati

Pahlawanku
Menuju ruang ke medan perang
Jangan takut
Sebagai askar berjuang”

Begitu mendalam lirik lagu Pahlawanku yang dipopularkan Datuk Siti Nurhaliza. Jika dihayati, semangat kita untuk bersama-sama berjuang mempertahankan kedaulatan negara pasti bertambah.

Sama seperti kami di sini. Hakikatnya, tugas sebagai wartawan amat terbatas. Kami berjuang dengan cara kami. Begitu juga anda semua, perjuangan kita berbeza tetapi matlamat sama. Inginkan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Kira-kira jam 5 petang kelmarin, ketika dalam kenderaan menuju ke Dewan Embara Budi, kami dikejutkan dengan berita gugurnya seorang wira, Koperal Ahmad Hurairah Ismail.

Kali ini bukan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kebetulannya, sewaktu mendapat perkhabaran sedih itu, lagu Pahlawanku diperdengarkan di corong radio tempatan.

Sebak dan tidak mampu mengungkap sebarang perkataan. Air mata bergenang. Hampir tumpah.

“Kenapa...kenapa...kenapa?” Itu sahaja yang keluar dari mulut.

Ahmad Hurairah maut diserang hendap di Kampung Sungai Nyamuk.

Tidak lama kemudian, satu lagi perkhabaran sedih diterima. Koperal Ahmad Farhan Roslan, juga dari ATM maut selepas terlibat kemalangan jalan raya Lahad Datu - Chenderawasih ketika dalam perjalanan menghantar makanan untuk perwira kita.

Kebetulan sebelum itu kami berselisih dengan sebuah ambulan dan diikuti beberapa trak polis serta tentera. Persoalan itu terjawab selepas mendapat berita gugurnya wira kedua pada hari yang sama.

Semalam, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain pada sidang medianya, begitu susah untuk mengungkapkan perkataan.

Sesekali beliau tunduk. Suaranya tersekat sewaktu mengucapkan takziah kepada keluarga wira terkorban.

“Hari ini anggota kami terkorban...,” itu ayat yang menyedihkan bagi kami di sini.

Beliau perlu tabah. Perlu tunjukkan semangat yang kuat buat pasukannya sendiri. Kami faham apa yang beliau rasakan di saat ini.

“Ya Allah...hentikanlah semua ini. Selamatkanlah wira-wira kami di medan tempur. Sesungguhnya Engkau Maha Mengasihani,” itu doa kami.
Sehingga hari ini, 10 wira negara gugur dalam Op Daulat dan diharapkan tiada lagi perkhabaran sedih buat kita semua.

Tidak kurang juga dengan pelbagai khabar angin yang kami dengar di sini. Antaranya militan menggunakan ilmu hitam setiap kali menangkis serangan balas daripada perwira kita.

“Ya Allah, andai benar khabar angin itu, Engkau berilah petunjuk dan hidayah-Mu kepada semua militan yang masih bersembunyi.”

Amin Ya Rabbal Alamin.
 
-Sinar