Friday, 18 January 2013

Tam Sheang Tsung ke Malaysia

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

KUALA LUMPUR - Pemain muda Malaysia yang kini sedang bersama kelab China, Shanghai Shenhua, Tam Sheang Tsung (gambar), telah tiba ke sini semalam bagi menyertai latihan selama seminggu dengan pasukan Harimau Muda A di Wisma FAM.

Kehadiran Sheang Tsung di sini turut diiringi penolong jurulatih Shenhua, Cheng Liang yang merupakan bekas pemain kebangsaan China. Tahap persembahannya akan dipantau oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal di samping Ong Kim Swee.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang merangkap pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pemain berusia 17 tahun itu diberi pelepasan oleh ketua jurulatih Shenhua, Sergio Batista.

"Seperti mana yang saya pernah katakan sebelum ini mahu membawa Tam Sheang (Tsung) ke sini nampaknya menemui kejayaan apabila Shanghai Shenhua yang kini berada di Argentina bagi persiapan pra-musim memberi lampu hijau untuk dia menjalani latihan bersama Harimau Muda A.
"Dia akan menjalani latihan selama seminggu bersama pasukan Harimau Muda A dan daripada situ, Rajagobal dan Ong Kim Swee akan memantau sejauh mana prestasi yang dipamerkan.

"Ada kemungkinan dia akan diserapkan dalam pasukan Harimau Muda A atau Harimau Muda B, bergantung kepada tahap persembahannya atau bersama pasukan kebangsaan jika dilihat dia sudah bersedia," katanya yang menghubungi Utusan Malaysia, semalam.

 
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130118/su_06/Tam-Sheang-Tsung-ke-Malaysia#ixzz2IHgbdT1V

No comments: