Saturday, 26 January 2013

Penciptaan tujuh petala langit

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

rahsia alam ini hanya Allah SWT yang mengetahui. - Gambar hiasan
 
SELEPAS dibincangkan sebahagian berkaitan dengan kekuasaan Allah SWT di mana boleh melakukan apa sahaja. Maka Allah SWT mengukuhkan lagi penghujahan dan alasan bagaimana kuasa-Nya Allah SWT tanpa boleh ditolak banding dan dipertikaikan lagi.
Firman Allah SWT: Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu? Ya! diakui dan dipercayai berkuasa! dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi Yang Maha mengetahui. (Yasin: 81)
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT berfirman mengkhabarkan dan mengingatkan kita tentang kekuasaan-Nya yang agung dalam menciptakan tujuh lapis langit dan yang terkandung di dalamnya berupa bintang-bintang yang beredar dan tetap, serta mencipta tujuh lapis bumi dan apa yang terkandung di dalamnya berupa gunung-gunung, batu-batuan, lautan, hutan dan isinya. Dia pun mengarahkan untuk mengambil dalil tentang dikembalikannya jasad-jasad dengan penciptaan sesuatu yang agung ini."
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT memperingatkan manusia, bahawa Dia mampu mencipta tujuh petala langit berserta bintang dan lain-lainnya serta bumi dengan segala isinya. Allah SWT juga memperingatkan bahawa Dia yang berkuasa mencipta alam semesta Yang Maha Besar itu, sudah tentu Dia berkuasa mengembalikan semua tulang-temulang manusia yang hancur menjadi seperti sediakala."
Sayid Qutub berkata: "Itulah matahari-matahari yang tidak terhitung banyaknya. Setiap matahari mempunyai jalan peredarannya masing-masing dan kebanyakannya mempunyai planet-planet pengikut yang beredar di sekelilingnya seperti bumi beredar di sekeliling matahari kita."
Semuanya beredar dan berlari dengan tepat dan tetap, tidak pernah berhenti sesaat pun dan tidak pernah kacau. Jika tidak, alam ini akan binasa dan bintang-bintang yang besar yang terapung-apung di angkasa itu akan berlanggaran satu sama lain.
Angkasa raya menjadi tempat terapung-apung jutaan bintang yang tidak terbilang itu adalah di luar keupayaan kita untuk menggambarkan dan memahaminya. Ia merupakan sesuatu yang memeningkan kepala manusia.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: "Jadilah engkau!." Maka ia terus menjadi. (Yasin: 82)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu, Dia memerintahkan kepada sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu pengulangan dan penguat seperti kata penyair, Jika Allah menghendaki satu perintah, Dia hanya mengatakan satu perkataan, Jadi, maka ia pun jadi."
Al-Maraghi berkata: "Ayat di atas menunjukkan betapa agungnya kekuasaan Allah SWT sehingga jika Dia menghendaki sesuatu, ketika itu juga boleh terjadi. Setelah menjelaskan akan keagungan kekuasaan-Nya, Allah SWT kemudian menyucikan diri-Nya daripada segala tohmahan batil orang musyrik."
Syed Qutub berkata: "Sama ada sesuatu itu langit atau bumi, lalat atau semut semuanya sama sahaja di hadapan kalimat kun dan semuanya akan terus muncul ke alam al-wujud. Di sana tiada yang mudah dan tiada yang payah, tiada yang dekat dan tiada yang jauh."
Sebaik sahaja wujudnya iradat Allah SWT untuk menciptakan sesuatu sudah cukup untuk mewujudkan biarpun apa sahaja sesuatu itu. Allah hanya mendekatkan gambaran urusan penciptaan itu kepada manusia supaya mereka dapat memahaminya dengan ukuran manusia yang terbatas-UM.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130125/ba_01/Penciptaan-tujuh-petala-langit##ixzz2J5gijPMm

No comments: