JOHOR BAHRU - Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, mereka yang membenarkan penyelewengan penggunaan kalimah Allah boleh jadi murtad dan perlu bertaubat dengan segera.
Menurutnya, kalimah Allah adalah hak mutlak agama Islam dan mereka yang mengucap dua kalimah syahadah iaitu kalimah penyaksian, sumpah setia dan akujanji terhadap Allah.
"Apabila sesuatu hukum telah tercatat di dalam al-Quran dan hadis, selain ijmak ulama, maka ia tiada kompromi.
"Dari segi hukum, kalau seseorang itu melanggarnya, dia boleh jadi murtad dan kafir sekiranya perbuatan itu dilakukan dengan keadaan sengaja dan waras," katanya selepas merasmikan Seminar Wakaf dan Perancangan Harta Pusaka Islam di sini semalam.
Katanya, di dalam al-Quran jelas menerangkan kalimah Allah merupakan kalimah eksklusif untuk orang Islam seperti mana dalam Surah Thaha ayat 14 bermaksud, "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku."
"Jadi, jelas barang siapa yang mengatakan agama semua sama, hukumnya murtad, kerana itu apabila bercerita tentang akidah dan hukum, ia tidak boleh ditafsirkan mengikut politik sama ada politik pembangkang atau politik kerajaan," katanya.
Nooh berkata, jika penggunaan kalimah Allah dibenarkan dalam Bible versi bahasa Melayu, ia akan menimbulkan kekeliruan kerana menurutnya, di dalam agama Kristian itu sendiri terdapat tiga nama tuhan.
Beliau turut menegur sikap pihak tertentu yang seolah-olah sengaja menguji keharmonian negara dengan mengganggu kontrak sosial yang selama ini menjadi tonggak kepada keamanan negara. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2HogJHVkB
No comments:
Post a Comment