Lelaki mangsa amukan isteriSanusi (bukan nama sebenar) kini masih terlantar di hospital dan berkemungkinan keupayaannya untuk bekerja selepas ini mungkin terganggu.
 
 
KLANG – “Sambil menahan sakit, saya menggagahkan diri memandu sendirian ke hospital kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian. Tanpa henti berdoa, saya gagahkan tangan memulas stereng kereta sambil air mata menemani sepanjang perjalanan.”

Demikian luahan seorang suami yang juga bapa kepada lapan anak ketika menceritakan saat dia berusaha mendapatkan rawatan di sebuah hospital sebaik badannya melecur terkena simbahan air panas dilakukan isterinya sendiri.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Sanusi, 50-an, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam beberapa hari lalu, sejam sebelum dia ke tempat kerja.

“Ketika itu saya berehat di ruang tamu bersama seorang saudara dan anak lelaki. Manakala isteri pula solat Isyak di sebuah bilik. Sedang leka menonton televisyen, tiba-tiba saya disimbah isteri dengan air panas.

"Dalam kesakitan saya cuba mengelak, bagaimanapun isteri terus-terusan menyimbah air panas tanpa simpati. Kemudian, dia berlari keluar dari rumah dan saya mengejarnya kerana terkejut dengan tindakannya itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia berpatah balik kerana terlalu sakit lalu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, sebaik tiba, dia dipapah kakitangan hospital untuk keluar daripada kenderaan dan hanya sedarkan diri tatkala terbaring dalam keadaan separuh badan berbalut kain putih.

“Anak dan saudara saya turut terkejut. Namun berkat bantuan ALLAH SWT, saya akhirnya sampai di hospital beberapa minit kemudian dan sebaik dimasukkan ke unit kecemasan, saya pengsan,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sanusi melecur dari paras dada hingga lutut, lebih menyayat hati apabila kemaluannya turut cedera dan peratusan untuk berfungsi adalah rendah.

Bercerita lanjut mengenai punca kejadian, Sanusi berkata, dia dan isteri kerap bertengkar berikutan masalah peribadi serta rumah tangga.

Namun, dia tidak menyangka isterinya sanggup mengambil tindakan sebegitu hingga nyaris meragut nyawanya.

“Walaupun perbuatannya itu dianggap menderhaka, namun demi anak-anak, saya tidak berhasrat untuk membuat laporan polis. Sebaliknya akan terus berdoa supaya dia kembali ke jalan yang benar.

“Saya masih sayangkan dia, namun sukar menerima perbuatannya itu walaupun kami hidup bersama hampir 40 tahun. Saya yakin ini ujian ALLAH SWT dan berharap ALLAH SWT memudahkan jalan hidup saya sekeluarga selepas ini,” katanya.-SH