SEREMBAN – Kanak-kanak menderita penyakit leukimia sejak tiga tahun lalu, Mohamad Aqilizwan Marzalan, 14, akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 8.45 pagi semalam.

Berita sedih itu disahkan kakak mangsa, Fatin Nur Fitri, 16, yang memaklumkan adiknya itu dimasukkan ke wad kanak-kanak Institut Padiatrik HKL kira-kira jam 8 malam, Selasa lalu berikutan mengalami batuk berdarah.

Bagaimanapun, katanya, sehari selepas menerima rawatan di hospital berkenaan, kesihatan Aqilizwan tidak berubah dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir di sisi ayah mereka, Marzalan Long, 49, yang menemaninya sejak dimasukkan ke hospital.

“Kami sekeluarga tidak menyangka akan pemergian Aqil dengan begitu cepat, namun kami reda atas ketentuan takdir ini.

“Cuma kami hanya mampu berharap agar arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan damai berada di sana,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Adik Aqilizwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kadir, Nilai, selepas solat Zuhur, semalam.

Kelmarin, Sinar Harian memaparkan kisah penderitaan Aqilizwan yang memerlukan bantuan kewangan bagi membiayai kos rawatan akibat penyakit yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.

Aqilizwan berada pada tahap kritikal dan tidak mampu berbuat apa-apa selain tidur terlentang dan berbaring kerana badannya terlalu lemah.-SH