Oleh IBRAHIM ABDULLAH
ADA sebuah doa yang biasa dibaca oleh Nabi SAW dan
jika direnung dan dihayati secara mendalam, ternyata sangat mencakupi pelbagai
permohonan.
Daripada Abu Musa al-Asyaari ra, Rasulullah berdoa:
Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, dan perbuatanku yang
berlebihan dalam urusanku, serta ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih
mengetahui daripadaku. Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kemalasanku,
kesengajaanku, kebodohanku, gelak tawaku yang semua itu ada pada diriku. Ya
Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu, dosa yang mendatang, dosa
yang aku samarkan dan dosa yang aku perbuat dengan terang-terangan, Engkaulah
yang mendahulukan dan Engkaulah yang mengakhirkan, serta Engkau Maha Berkuasa
atas segala sesuatu. (riwayat Bukhari)
Tema di dalam doa itu adalah seorang hamba Allah
SWT memohon keampunan-Nya. Sekurang-kurangnya terdapat 13 petunjuk yang
diajukan hamba tersebut kepada Allah SWT. Semuanya dengan harapan dan
permohonan keampunan-Nya.
1 Ya
Allah, ampunilah kesalahanku. Kesalahan dapat mencakup perintah Allah yang
dilalaikan atau larangan Allah yang dilanggar.
2 Ya Allah,
ampunilah kebodohanku. Manusia tidak luput daripada kebodohan. Tidak ada
manusia yang memiliki pengetahuan sempurna. Kebodohan seseorang sering kali
menyebabkan tingkah lakunya yang tidak terpuji, sehingga ia perlu memohon
ampunan Allah SWT atas kebodohan dirinya itu.
Kebodohan
3 Ya
Allah, ampunilah perbuatanku yang berlebihan dalam urusanku. Kadang-kala
kita mengerjakan suatu perbuatan secara tidak adil atau tidak profesional.
Perbuatan berlebihan tersebut mungkin menyakiti hati, bahkan menzalimi orang
lain. Maka kita berharap ampunan Allah atas perbuatan berlebihan di dalam
berbagai urusan.
4 Ya
Allah, ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih mengetahui daripadaku.
Manusia sering mengerjakan kesalahan tanpa ia menyedarinya.
Boleh jadi ia lebih mudah dilihat oleh oang lain,
tetapi tidak bagi diri sendiri. Maka untuk urusan seperti itu seorang mukmin
memohon ampunan Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatunya.
Seorang mukmin mengakui bahawa Allah SWT merupakan
Zat Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib mahupun nyata, maka ia pun
mengembalikan semua dosa yang ia sendiri tidak ketahui kepada Allah SWT.
5 Ya
Allah, ampunilah kesalahanku. Manusia boleh terlibat di dalam banyak
kesalahan. Maka ia memohon kembali ampunan Allah atas kesalahannya pada hal
sebelumnya dia telah melakukannya kepada Allah SWT.
6 Ya
Allah, ampunilah kemalasanku. Kemalasan dapat menjadi musuh utama yang
menyebabkan seseorang menunda, bahkan melalaikan suatu kewajipan yang mesti
dikerjakan.
Pengakuannya di hadapan Allah SWT bahawa dirinya
kadang-kadang dilanda kemalasan yang mesti disertai dengan permohonan ampunan
Allah atasnya.
7 Ya
Allah, ampunilah kesengajaanku. Harus diakui bahawa kadang-kadang kita
secara sengaja melakukan suatu kesalahan.
Entah kerana emosi atau terpengaruh lingkungan atau
pelbagai alasan lain. Yang jelas, semua kesengajaan itu mestilah disusuli
dengan istighfar dan permohonan keampunan-Nya.
8 Ya
Allah, ampunilah kebodohanku. Maha Suci Allah, ternyata Rasulullah SAW
sangat mengerti akan kelemahan kita yang satu ini. Manusia memang selalu
kekurangan ilmu sehingga mustahil terluput daripada kebodohan. Oleh itu
permohonan ampunan Allah atas kebodohan diri perlu diajukan berulang kali.
9 Ya
Allah, ampunilah gelak tawaku yang semua itu ada pada diriku. Apakah ketawa
itu berdosa? Tentunya tidak. Tetapi bila dilakukan secara tidak profesional
atau melampaui, ia akan mendatangkan masalah. Firman Allah: Maka hendaklah
mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan daripada apa
yang selalu mereka kerjakan. (at-Taubah: 82)
Selain sabda Rasulullah SAW: Demi Allah, andai kamu
mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu jarang tertawa dan sering
menangis. (riwayat Tirmizi)
10 Ya
Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu. Setiap orang perlu
berhati-hati terhadap dosa lampau yang pernah dilakukan dahulu. Berkemungkinan
dosa-dosa itu belum sempat kita menyesalinya. Maka tiba masanya untuk kita
mengakui dan menginsafi di hadapan Allah SWT seterusnya memohon keampunan-Nya.
11 Ya
Allah, ampunilah aku atas dosa yang mendatang. Seorang mukmin pasti
menyedari bahawa kehidupan ini bukan sekadar masa lalu dan masa kini. Ia juga
meliputi perkara mendatang.
Begitu juga dengan perlakuan dosa yang dikerjakan.
Ia tidak hanya terjadi di masa lalu dan masa kini semata-mata. Tetapi boleh
terjadi di masa akan datang.
Oleh kerana itu, dengan penuh kejujuran kita
mengharapkan keampunan Allah atas dosa yang akan datang dan cuba mengelakkannya
daripada terjebak kepadanya.
12 Ya
Allah, ampunilah aku atas dosa yang aku samarkan. Seorang mukmin sangat
khuatir dengan dosa yang dilakukan secara sembunyi atau berselindung. Sabda
Rasulullah SAW: Sungguh aku mengetahui bahawa ada suatu kaum daripada umatku
yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang
putih, lalu Allah menjadikan kebaikan itu debu yang berterbangan.
Thauban berkata: Wahai Rasulullah, sebutkanlah
ciri-ciri mereka kepada kami dan jelaskanlah tentang mereka kepada kami, supaya
kami tidak menjadi seperti mereka sedangkan kami tidak mengetahuinya.
Baginda bersabda: Sesungguhnya mereka adalah
saudara-saudara kamu dan daripada golongan kamu, mereka solat malam sebagaimana
kamu mengerjakannya tetapi mereka adalah kaum yang melakukan perbuatan yang
diharamkan Allah sedang mereka berkhalwat (menyendiri). (riwayat Ibnu Majah)
13. Ya
Allah, ampunilah aku atas dosa yang aku perbuat dengan terang-terangan.
Sedangkan dosa yang dikerjakan secara senyap atau tersembunyi itu kita khuatir,
apa lagi dosa yang dilakukan secara terbuka. Oleh itu, keampunan daripada Allah
SWT amat diharapkan.
Sungguh amat luar biasa, kesemua doa-doa yang
diajarkan oleh Rasulullah itu adalah merupakan dosa dan kesalahan yang sering
dilakukan oleh setiap daripada kita lelaki atau perempuan, sama ada secara
disedari mahupun sebaliknya. Maka itu, betapa bertuah umat Islam sekiranya
mereka juga berdoa sebagaimana yang didoakan oleh Baginda SAW ini.- Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment