Saturday, 13 October 2012

Suatu Ramalan Tepat Terhadap Nasib Anwar Ibrahim


Oleh : Zainuddin Maidin
Selesai sahaja sembahyang raya Aidilfitri di Masjid Negara pada 1 Syawal 1414 (Mac 1994), saya terus ke kediaman Che Ghafar Baba di Bangsar. Beliau tidak lagi menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Saya merasa perlu untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Ghafar sebelum kembali semula ke London untuk mencukupkan tempoh “pembuangan” saya ke London setelah tersingkir dari jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu pada November 1992 yang telah digantikan oleh orang Anwar Ibrahim.
Saya pulang untuk menguruskan kenduri perkahwinan anak perempuan saya dan juga bagi perletakan batu asas bangunan kamplek baru Utusan Melayu di Wangsa Maju oleh Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tetapi tidak jadi dibina. Mungkin kerana tidak diberkati oleh Allah.
Bila saya tiba, Ghafar berada di hadapan rumah bersama seorang Cina. Saya percaya, saya adalah pengunjung pertama dan Ghafar menjemput saya masuk untuk sarapan raya bersama isteri mudanya. Kami bercakap tentang perkembangan-perkembangan politik terakhir dan Ghafar Baba dengan bersahaja dan penuh yakin memberitahu saya “Anwar tidak akan jadi Perdana Menteri.”
Saya bertanya di mana Che Ghafar dapat tahu? Katanya, tunggu sekejap dan dia memanggil orang Cina yang tadi bersamanya dan masih berdiri di hadapan rumah untuk duduk makan bersama kami. “Bagi tahu sama dia,” kata Ghafar, tetapi orang Cina ini takut-takut untuk menyatakan sesuatu kepada saya dan Ghafar memberitahu “Tak apa, Ini kawan saya, tak usah takutlah.”
Orang Cina ini yang saya tidak kenal dan tidak pernah jumpa sebelumnya dalam nada yang teragak-agak memberitahu saya “Anwar tidak sampai,” tidak sampai apa? tanya saya. “Tidak sampai jadi Perdana Menteri,”.katanya.
Dan saya tanya lagi, siapa bilang? jawabnya: Tukang Tilek Cina (Ahli Nujum). Saya tidak percaya kerana terdidik supaya jangan mempercayainya (Ayat 90 Suratul Almaidah: Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak, judi dan pemujaan barhala dan mengundi nasib dengan batang batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya)
Tetapi hal ini ternyata menjadi realiti, Anwar tidak sampai walaupun hanya seinci lagi dengan kuasa.
Walaupun saya berada di London, tetapi saya mendapat maklumat tentang peranan media cetak terutamanya Berita Harian dan Utusan Malaysia secara agresif mempromo Anwar dan mulai membelakangi Dr. Mahathir sambil mengadakan tekanan terhadap Ghafar supaya tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Ucapan Perdana Menteri Dr.Mahathir di kediaman Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Mokhtar Ahmad pada 10 September 1993 yang meminta pemimpin-pemimpin UMNO supaya” Dont over stay your welcome” telah dieksploitasi oleh Utusan Malaysia dan Beirta Harian sebagai ditujukan kepada Che Ghafar.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Johan Jaafar mengkui kepada saya (dalam interviu untuk buku sejarah Utusan Melayu), bahawa beliau bersama dengan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Nazri Abdullah telah memutarbelit kenyataan Dr.Mahathir itu supaya difahamkan sebagai ditujukan kepada Ghafar.
Apabila Dr. Mahathir tiba di London tidak lama selepas membuat ucapan itu dan meminta saya berjumpa denganya maka pertanyaan saya yang pertama kepadanya ialah kenapakah beliau membuat kenyataan demikian dan Dr. Mahathir menyatakan beliau tidak maksudkan Ghafar malah kata beliau, ucapannya dimulai dengan “saya menyatakan, bahawa saya sendiripun perlu berundur kerana sudah terlalu lama.”
Menyedari Utusan Melayu tidak lagi adil kepadanya setelah orang Anwar Ibrahim mengambil aleh jawatan Ketua Pengarang dari saya, Ghafar telah menelefon Pengerusi Utusan Melayu, Tan Sri Khalid Abdullah pada 24 Jun 1993 jam 12.20 petang supaya melantik Setiausaha Poiltiknya Dr. Alias Mohamed sebagai Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu tetapi Tan Sri Khalid memberitahunya bahawa orang Anwar telah pun dilantik menjadi anggota Lembaga Jabatan Pengarang. (Fakta lebih lengkap terkandung dalam buku sejarah Utusan Melayu yang telah siap saya tulis dan akan diterbitkan tidak lama lagi)
Ghafar Baba terpaksa menarik diri dari bertanding apabila Anwar berjaya memerangkap semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk menghadiri sidang akhbarnya bagi mengumukan kesediaannya bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 23 Ogos 1993. Kebanyakkan mereka tidak sedar akan tujuan sidang akhbar itu dan terpaksa menyatakan sokongan kecuali Wan Mokhtar.
Musa Hitam berada di kediaman saya di Brynston Square London apabila Ketua Pengarang The Star V.K. Chin (Mendiang) menelefon saya mengenai pengumuman Anwar itu dan Musa berkata “Habis.”
Untuk mempastikan Ghafar berundur, Utusan Malaysia pada 14 September 1993 menjadikan berita utama muka satunya “Ramai Yakin Ghafar Tarik Diri” pada hal hanya pandangan seorang ahli politik dan seorang ahli akademik.
Beberapa orang wartawan Utusan menelefon penulis di London memberitahu bahawa Utusan tidak bersikap objektif dalam pemberitaan mengenai persaingan Anwar dan Ghafar, malah beberapa orang wartawan Utusan telah menjadi wartawan envelop dari sogokan Team Wawasan.
Saya tidak rapat dengan Ghafar Baba, tetapi kenal lama dengannya sejak awal tahun 60an. Saya gembira semasa saya menjadi Menteri Penerangan saya dapat bekerjasama dengan wartawan-wartawan bilek berita RTM untuk menyediakan skrip bagi dokumentari Ghafar Baba sebagai pemimpin tulin rakyat. Sebelumnya telah disiarkan kisah Tun Abdul Razak.
Bagaimanapun apabila RTM menyiarkan dokumentari mengenai Tun Dr. Mahathir yang telah pun bersara, salah seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri menelefon saya yang ketika itu berada di Cape Town Africa Selatan “Siapa yang suruh you buat progrem ini.” Saya memberitahunya “apa salahnya kerana lain-lain pemimpin UMNO yang bersara juga telah pun disiarkan.”
Ketika itu saya adalah Menteri Penerangan dan dia hanyalah Setisauaha Politik. Ada orang yang menjadi kurang ajar apabila salah menilai dirinya.
Tamrin menilai dirinya sebagai wajar menjadi menteri kerana bapanya Timbalan Perdana Menteri dan Mahathir menjadi “durjana” kerana menjadi penghalang kepadanya.
zamkata.blogspot.com

No comments: