RUANGAN kali ini
mengajak pembaca fokus kepada beberapa perbahasan penting mengenai Rasulullah
yang akan menenangkan hati dan mengikat keyakinan bahawa baginda adalah maksum
semenjak kecil dan berpegang dengan ajaran Islam.
Sekiranya ada yang
berpendapat agama yang dipegangnya adalah agama Nabi Ibrahim, maknanya itu
adalah agama Islam kerana semua nabi dan rasul diutuskan untuk menyampaikan
ajaran Islam.
Kebingungan dan
kecelaruan fikiran umat Islam mengenai Rasulullah sebelum dilantik menjadi
Rasul terbit daripada salah faham terhadap firman Allah: Apabila Dia mendapati
engkau sesat, lalu Dia mengurniakan engkau hidayah petunjuk. (al-Dhuha: 7)
Melafazkan ungkapan
Rasulullah tidak beragama sebelum usia 40 tahun adalah satu penyimpangan yang
nyata. Jika berkata demikian, seolah-olah kita membuka ruang kepada masyarakat
umum menilai baginda dengan akal cetek dan andaian semata-mata.
Barangkali ungkapan
‘tidak beragama’ itu ada yang
tersasar memaksudkannya sebagai atheis atau tidak menganut agama yang benar iaitu
seorang musyrik.
Apabila kita
menyatakan bahawa baginda tidak beragama sebelum dilantik menjadi nabi, itu
akan membawa maksud baginda terdedah melakukan apa sahaja perbuatan maksiat
yang mencacatkan maruah dan meruntuhkan moral kerana tiada pegangan yang
menjadi benteng daripada melakukan perkara yang keji dan garis panduan bagi
membezakan antara dosa dan pahala.
Mengulas mengenai
salah faham terhadap ayat ini, Prof Dr. Sayyid Muhammad Alawi al Maliki
menyatakan di dalam bukunya al Zakhair al Muhammadiyyah: “Ayat ini sering dieksploitasi oleh sebahagian ahli fitnah yang buta
basirah dan tertutup pintu hati sehingga mereka tidak dapat melihat hakikat
kedudukan Nabi dan Rasul yang sebenar.
“Mereka hanya melihat Nabi Muhammad SAW sebagai manusia biasa
semata-mata yang berjalan di muka bumi, berjalan-jalan di pasar, memikul dosa,
melakukan dosa dan kesalahan, pernah hidup dalam kesesatan lalu Allah memberi
hidayah kepadanya, pernah hidup dalam kemiskinan lalu Allah memberikannya kekayaan
dan dilahirkan dalam keadaan yatim lalu Allah memberi perlindungan kepadanya.
Sehinggalah ke akhir perbicaraan yang hanya membangkitkan kekeliruan orang awam
kerana ia berdasarkan kepada maksud zahir nas-nas yang terdapat di dalam al
Quran dan Sunnah."
Al ‘Allamah al Qadhi ‘Iyadh pula menyatakan dalam kitabnya al Syifa bi
Ta’rif Huquq al Mustafa: “Apa yang pasti, para nabi adalah maksum (terpelihara)
sebelum dilantik menjadi nabi dan terhindar dari kejahilan tentang Allah dan
sifat-sifat-Nya, dan terpelihara daripada merasa ragu walau sedikitpun mengenai perkara
ini.
“Terdapat banyak khabar dan athar yang saling mendukung di antara satu
sama lain yang mensucikan para nabi daripada kekurangan ini semenjak mereka
dilahirkan dan mereka membesar di atas tauhid dan iman."
Beliau menambah
lagi: “Tidak pernah seorang pun ahli hadis
menaqalkan terdapat seorang daripada mereka yang dipilih menjadi nabi daripada
kalangan orang yang dikenali dengan kekufuran dan kesyirikannya sebelum
itu."
Oleh itu kita tidak
pernah mendengar para nabi dan rasul terdahulu menganut agama yang sesat yang
dianuti oleh kaum mereka.
Kemuliaan ini
adalah terlebih utama dianugerahkan ke atas Rasulullah dan tiada satu sebab
atau dalil yang menghalang baginda daripada mengecapi nikmat dan keistimewaan
itu kerana baginda adalah penghulu segala nabi dan rasul.
Jangan sekali-kali
kita berpaling kepada pendapat bahawa Rasulullah SAW berada di atas agama
kaumnya sebelum Nubuwwah, lalu Allah menghidayahkan Islam kepada baginda kerana
Nabi Muhammad SAW dan para nabi yang lain sejak dilahirkan membesar atas
ketauhidan dan keimanan.
Sesungguhnya mereka
maksum sebelum Nubuwwah daripada jahil tentang sifat-sifat Allah dan
mentauhidkan-Nya.
Pendapat ini
diperkuatkan lagi dengan peristiwa Rasulullah bermusafir bersama bapa
saudaranya ke Syam, di mana Buhaira melihat tanda kenabiannya. Sedangkan ketika
itu baginda masih kecil.
Buhaira mengujinya
agar bersumpah dengan berhala al Laata dan al Uzza, lalu baginda menjawab: “Janganlah kamu meminta saya bersumpah dengan kedua-duanya. Demi
Allah! Saya tidak pernah membenci sesuatu seperti kebencian saya terhadap
kedua-duanya."
Pendapat ini
dikuatkan lagi dengan peristiwa Jibril mengeluarkan seketul daging dari hati
baginda dengan katanya: “Ini adalah bahagian syaitan dari
dalam dirimu." Kemudian dada baginda diisi dengan hikmah dan iman.
Demikianlah seperti
yang dinaqalkan daripada al Imam Fakhr al Din al Razi di dalam tafsirnya
Mafatih al Ghaib.
Nabi maksum sejak
kecil
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121002/ba_01/Nabi-maksum-sejak-kecil#ixzz28IKIxNH9 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment