LAMAN YouTube semalam
menunjukkan Raghav dan isterinya mendukung kedua-dua anak mereka.
HARYANA, India
- Seorang lelaki berusia 96 tahun menjadi bapa paling tua di dunia selepas
isterinya yang telah dikahwininya selama 17 tahun melahirkan anak kedua mereka
pada awal bulan ini, lapor portal berita Indian Today semalam.
Lelaki itu, Ramajit Raghav dan isterinya,
Shakuntala, 54, tidak pernah dikurniakan cahaya mata untuk tempoh 15 tahun
pertama perkahwinan mereka.
Pasangan yang bertemu jodoh di sebuah perkampungan
Kharkhosa di daerah Sonepat itu menerima kehadiran cahaya mata sulung lelaki
dua tahun lalu.
Bagaimanapun, anak kedua mereka, Ranjit dilahirkan
5 Oktober lalu.
"Tuhan mungkin mahukan kami memiliki lagi anak.
Saya sangat gembira," katanya yang juga seorang petani.
Raghav yang berasal dari Azamgarh berhijrah ke
Sonepat 20 tahun yang lalu bagi mendapat pekerjaan.
Dia merupakan bekas ahli gusti ketika zaman
mudanya.
Raghav memecahkan rekod sebagai bapa tertua di
dunia buat kali pertama pada 2007.
Petani tersebut menewaskan rekod yang dipegang oleh
lelaki dari Rajasthan, Nanu Ram Jogi yang berusia 90 tahun apabila memperoleh
anaknya yang ke-21.
Raghav kini memecahkan rekodnya sendiri apabila dia
memperoleh anak keduanya.
Menurut petani tersebut, dia mahu kedua-dua anaknya
menjadi pegawai tinggi pentadbiran.
Akhbar dalam talian MailOnline melaporkan,
Raghav mengamalkan diet dengan meminum susu, memakan buah badam dan mentega.
Petani itu berkata, jiran-jirannya berasa cemburu
kerana dia berjaya memperoleh dua anak yang sihat.
Raghav berkata, jiran-jirannya kerap bertanya
rahsia kesihatan dirinya.
Lelaki tersebut berkata, dia mengambil berat
tentang isterinya dan memenuhi keperluannya.
"Dia seorang wanita yang amat gembira,"
katanya.
Ketika Shakuntala melahirkan anaknya di sebuah
hospital di sini, petani tersebut diketawakan oleh doktor-doktor kerana dia
menyatakan bayi itu ialah anaknya.
Shakuntala menyatakan dia amat sayang suaminya itu.
"Saya menyayanginya walaupun dia kadangkala
menjerit ke arah saya," katanya.
Menurut
portal berita International Business Times, dia tidak mahu anak lagi
selepas memperoleh dua cahaya mata. - Agensi
No comments:
Post a Comment