KATA sesetengah
orang, sakit bersalin itu ibarat beberapa tulang rusuk dipatahkan serentak atau
kuku dicabut daripada isinya. Sebahagian wanita pula mengalami loya dan
muntah-muntah sepanjang sembilan bulan tempoh kehamilan.
Namun, bagi
seorang ibu, Fariza Ibrahim, dia bagaikan sudah lali dengan kepayahan dan
kesakitan itu. Fariza, 47, yang berkahwin pada usia 19 tahun sudah dikurniakan
14 orang anak – fenomena yang jarang ditemui di Malaysia memandangkan purata
sebuah keluarga moden sekarang memiliki antara tiga hingga lima orang anak
sahaja. Secara purata, dia hamil selama 126 bulan atau lebih 10 tahun.
“Semua anak saya
dilahirkan secara normal,” ujar pemegang ijazah dalam bidang kimia daripada
Universiti Queensland, Australia ini.
Fariza yang
berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, bertemu jejaka Negeri Sembilan, Abdul
Halim Abdullah, di universiti yang sama pada tahun 1984. Pasangan berkenaan
berkahwin di Australia.
ABDUL
HALIM ingin kesemua anaknya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar,
Mesir.
Kemudian, Fariza
dan Abdul Halim sama-sama mengambil ijazah kedua dalam bidang pengajian Islam
di Universiti Al-Azhar, Mesir.
“Saya sempat
melahirkan tiga orang anak semasa menuntut di Mesir. Selama tujuh tahun di
sana, ramai rakan universiti yang tolong menjaga anak-anak semasa saya pergi ke
kuliah,” cerita Fariza.
Mengunjungi
kediaman pasangan ini di Seremban, Negeri Sembilan, suasananya terasa meriah
sekali.
“Seperti sekolah
bukan? Di sinilah kami membesarkan 14 orang anak, lapan perempuan dan enam
lelaki. Sepuluh daripadanya tinggal dengan kami kerana masih bersekolah,” cetus
Abdul Halim, pemilik sebuah agensi pelancongan Muslim ini.
Abdul Halim
menggabungkan tiga buah rumah teres dua tingkat untuk dijadikan tempat tinggal
yang selesa bagi keluarga besarnya. Setelah diubah suai, rumah ini mempunyai
sembilan buah bilik termasuk sebuah bilik khusus untuk tetamu.
Tutur Abdul
Halim, dia dan isteri tiada sebarang petua untuk memiliki anak yang ramai. “Ia
satu anugerah dan amanah daripada Allah,” beritahu Abdul yang meyakini setiap
anak yang dilahirkan ada rezeki masing-masing.
ABDUL
HALIM menggabungkan tiga buah rumah teres dua tingkat untuk keselesaan
keluarganya.
Anugerah
“Jika diikutkan
saya ingin ada 20 orang anak. Memang bukan senang untuk membesarkan seorang
anak lebih-lebih lagi terpaksa merasai sakit bersalin, tetapi saya seronok
melihat pelbagai telatah dan ragam mereka,” celah si isteri, Fariza Ibrahim,
47.
Sebelum ini,
seorang wanita Amerika Syarikat, Michelle Duggar, menjadi terkenal kerana
melahirkan anak yang ke-19 pada tahun 2009 pada usia 42 tahun. Angka 19
memeranjatkan Michelle sendiri sebelum dia hamil lagi pada hujung tahun lalu.
Bagaimanapun, anak ke-20 pasangan Michelle dan Jim Bon itu mengalami keguguran.
Menurut Fariza,
dia menyangka kelahiran anak yang ketujuh, Ahmad Muktaz pada tahun 1997
merupakan zuriat yang terakhir.
“Rupa-rupanya
saya dikurniakan tujuh orang anak lagi selepas itu. Buat masa ini 14 orang anak
sudah memadai bagi saya tetapi tidak menolak jika saya bakal mengandung lagi
pada masa hadapan,” katanya yang berhenti kerja sebagai guru sekolah agama
swasta selepas mendapat anak yang ke-12.
Jika keluarga
besar, perbelanjaan mingguan juga bertambah. Itu satu perkiraan matematik yang
mudah.
“Saya
mengamalkan perbelanjaan secara mingguan untuk keperluan dapur. Biasanya saya
akan beli tiga ekor ayam, tiga hingga lima kilogram daging (kg), 5kg ikan dan
30 biji telur selain makanan kering dan susu bayi.
“Bila masak
terasa seperti sedang menyediakan hidangan untuk majlis kenduri pula,” katanya
ketawa.
Dari segi
pengangkutan, keluarga ini menggunakan dua buah kereta iaitu Perodua Kelisa dan
Toyota Avanza untuk pergi ke destinasi pilihan.
“Suami berasal
dari Seremban manakala saya dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Jika balik
kampung, kedua-dua kenderaan digunakan,” ujar Fariza yang memanggil anaknya
dengan nama gelaran mengikut kedudukan anak dalam keluarga seperti along,
angah, ateh dan alang.
Walaupun
mempunyai anak yang ramai, soal didikan agama menjadi keutamaan pasangan ini.
“Tiga orang anak
saya sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir. Jika tiada
aral, kesemua mereka akan dihantar belajar di sana.
“Persekitaran
beragama masih kuat di Mesir. Di sebalik kisah kezaliman Firaun, ia juga
sebenarnya bumi anbiya. Kisah Nabi Musa dan Nabi Yusuf, misalnya, berlaku di
Mesir. Negara itu juga melahirkan banyak ulama terkenal sejak lebih 1,400 tahun
lalu. Jadi mungkin disebabkan itu suasana Islam agak kuat di sana.
Masjid-masjid di sana selalunya dipenuhi jemaah setiap kali solat fardu, selain
kurangnya masalah sosial,” kata Abdul Halim.
Menurutnya
lagi, dia ingin setiap anaknya berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
“Setiap ibu bapa
inginkan yang terbaik untuk anaknya. Doa anak yang soleh tidak akan terputus
walaupun tulang-belulang kita sudah lama hancur di dalam kubur,” beritahu Abdul
Halim.
Sumber: Kosmo
No comments:
Post a Comment