Peristiwa Khatam al-Nubuwwah Rasulullah
SETELAH Jibril membelah dada Rasulullah SAW, menyucikan hati dan
mengisinya dengan kelembutan, ilmu keyakinan, beliau pun memeterai di antara
dua bahu Baginda SAW dengan Khatam al-Nubuwwah, iaitu seketul daging
kecil yang timbul dan ditumbuhi bulu, di sebelah atas bahu kiri Baginda SAW.
Terdapat hikmah yang besar daripada peristiwa perletakkan ini, di mana
setelah hati Baginda SAW dipenuhi dengan iman, hikmah dan keyakinan, serta
dihimpunkan dengan sifat-sifat kenabian, maka ia dimeterai sebagaimana
dimeterai di luar bekas yang telah dipenuhi dengan kasturi dan mutiara.
Dengan pemeteraian ini, tidak ada lagi sebarang jalan bagi musuh-musuh
untuk mengganggu atau menggoda Baginda SAW. Terdapat beberapa hadis yang
menunjukkan bahawa khatam ini telahpun ada sebelum itu.
Menurut zahir sebuah hadis, semasa dilahirkan telah ada kesan tersebut
pada jasad Baginda SAW. Kemudian tanda itu semakin membesar hingga menjadi
sebesar telur merpati selepas peristiwa pembelahan dada pada malam Israk dan
Mikraj berdasarkan gabungan beberapa riwayat.
Apa yang hendak dijelaskan di sini, keistimewaan ini khusus buat Baginda
SAW kerana beberapa maksud. Di antaranya, khatam ini merupakan tanda penutup
kenabian kerana ia tidak akan dibuka selepas itu.
Diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Wahhab bin Munabbih, berkata:
"Allah tidak membangkitkan seseorang nabi melainkan terdapat tanda
kenabian di tangan kanannya. Kecuali Nabi kita Muhammad SAW, tanda kenabiannya
terletak di antara dua bahunya."
Maka perletakkan ini adalah suatu keistimewaan yang membezakan Baginda
SAW dengan nabi-nabi lain. Dikatakan juga Khatam al-Nubuwwah ini
diangkat ketika kewafatan Baginda SAW.
Rasulullah tunggang Buraq
Kemudian Rasulullah SAW menunggang seekor Buraq. Buraq diambil daripada
perkataan al-Bariq yang bermaksud putih kerana warnanya yang putih di
mana ia merupakan semulia-mulia warna atau ia diambil daripada perkataan al-Barq
yang bermaksud kilat kerana kepantasan pergerakan dan kelajuan perjalanannya.
Allah SWT mengutus Buraq dari syurga untuk membesarkan dan memuliakan
Baginda SAW. Sebagaimana adat bagi raja-raja, apabila mengundang orang-orang
besar atau seseorang yang istimewa, maka diutuskan kepadanya kenderaan khusus
yang hebat bersama orang kanan untuk mengundangnya. Maka Buraq itu dari alam
ghaib.
Rasulullah SAW tidak diisrakkan, sama ada dengan mengenderai sayap
malaikat, dibawa oleh angin sebagaimana angin yang membawa Nabi Sulaiman AS,
ataupun dengan lipatan masa. Tujuannya, untuk memperlihatkan tanda kekuasaan
Allah yang terkeluar daripada adat kebiasaan dan menakjubkan.
Kemudian Nabi SAW bersama Buraq melalui beberapa tempat yang berkat dan
mulia. Di antaranya (tempat yang pertama), mereka tiba di suatu tempat yang
terdapat di sana banyak pohon kurma. Jibril berkata, "Silalah tuan turun
dan tunaikanlah solat." Maka Nabi SAW pun mematuhi permintaan Jibril itu.
Setelah itu, mereka pun berangkat kembali dan Jibril pun bertanya,
"Apakah tuan tahu mengenai tempat tuan mengerjakan solat sebentar
tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Jibril berkata,
"Tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi ialah Toibah (Madinah al
Munawwarah) dan tuan akan berhijrah ke sana kelak."
Kemudian Buraq bersama Nabi SAW sampai ke Madyan; tempat terdapat pokok
Nabi Musa a.s berlindung di bawahnya ketika keluar dari Mesir. Jibril berkata,
"Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Baginda SAW pun
turun dan bersolat.
Kemudian mereka menuju ke Tur Sina; di mana Allah SWT berbicara dengan
Nabi Musa a.s Jibril berkata, "Silalah tuan turun di sini dan tunaikanlah
solat." Baginda SAW pun turun dan bersolat.
Kemudian Nabi SAW sampai ke suatu tempat yang kelihatan di sana
istana-istana negara Syam. Jibril pun berkata, "Silalah tuan turun dan
tunaikanlah solat." Baginda memenuhi permintaan Jibril.
Jibril berkata, "Adakah tuan tahu mengenai tempat tuan melakukan
solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Maka Jibril
berkata, "Sebentar tadi, tuan solat di Bait Lahm; tempat Nabi Isa ibnu
Maryam a.s dilahirkan."
Turun dan solatnya Nabi SAW di tempat-tempat di atas, merupakan bukti
besar menunjukkan hubungan tempat tersebut dengan Islam dan Baginda SAW
merupakan Nabi Islam.
Ia juga membuka pintu keperihatinan umat Islam terhadap kesan-kesan
sejarah agama yang berhubung kait dengan peristiwa-peristiwa besar, tempat
mulia dan kenangan zaman silam.
Bagi menghidupkannya, hendaklah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat
dan kurniaan-Nya dengan cara beribadah, berdoa dan berfikir tentang manfaat dan
kebaikannya itu ternyata kembali semula kepada umat manusia.
Imam di Baitul Maqdis
Kemudian Baginda SAW menyambung perjalanan hingga tiba di kota Bait al
Maqdis dan memasuki kota itu dari pintu gerbang sebelah kanan. Kemudian
menambat Buraq berdekatan pintu masjid dengan kekang yang biasa digunakan oleh
para Nabi AS.
Dalam riwayat yang lain, Jibril pergi ke sebuah batu besar dan membuat
lubang pada batu besar itu dengan jarinya. Di sanalah Jibril menambat Buraq
itu.
Baginda SAW masuk ke dalam masjid melalui pintu arah terbenam matahari
dan bulan (sebelah barat). Kemudian Baginda dan Jibril solat dua rakaat. Tidak
lama kemudian, banyak manusia berkumpul di situ. Nabi mengetahui mereka itu
ialah para nabi, yang ada di kalangan mereka sedang solat, rukuk dan sujud.
Kemudian muazzin mengumandangkan azan menandakan solat akan didirikan.
Maka mereka semua berbaris menyusun saf dan menunggu imam. Jibril mencapai
tangan Baginda SAW dan mempersilakannya menjadi imam. Maka Baginda SAW pun
solat bersama mereka dua rakaat.
Daripada Ka'ab RA meriwayatkan: Jibril mengumandangkan azan dan para
malaikat turun dari langit. Allah memerintahkan seluruh nabi dan rasul
berkumpul. Maka Baginda SAW pun menjadi imam dan solat bersama seluruh malaikat
dan para rasul.
Setelah selesai, Jibril berkata, "Wahai Rasulullah, adakah tuan
mengetahui siapakah mereka yang solat di belakang tuan sebentar tadi?"
Jawab Baginda, "Tidak." Jibril SAW berkata, "Mereka ialah
seluruh nabi yang diutuskan Allah."
No comments:
Post a Comment