Kucing susui
tikus
PELIK...anak Puralan melayan tikus seperti adik-beradik.
RANAU: Walaupun
kucing dan tikus dua haiwan sentiasa bermusuhan, namun perkara itu tidak
berlaku bagi sebuah keluarga di Kampung Marakau, di sini, yang terkejut apabila
mendapati kucing peliharaan mereka yang baru melahirkan anak turut menyusukan
seekor tikus yang ‘menumpang’ manja bersama ibu kucing berkenaan.
Menurut pemiliknya,
Malik Kaibeh, 47, kucing peliharaannya yang dinamakan Puralan itu baru pertama
kali melahirkan dua ekor anak di sebuah pondok berhampiran rumah mereka sebelum
disedarinya pada 7 Jun lalu.
“Saya melihat
Puralan berulang-alik dua kali sambil menggonggong anaknya untuk berpindah dan
hairan melihat ibu kucing ini turut menggonggong ‘anaknya’ yang agak pelik
kerana memiliki ekor yang halus dan panjang selain berwarna hitam pekat.
“Sebaik diamati,
saya terkejut apabila mendapati anak ketiganya adalah seekor tikus dan tidak
pasti sama ada haiwan itu sekadar menumpang atau turut lahir bersama anak
kucing lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Katanya, sebaik
menyedari perkara itu, dia bersama isteri, Anifah Unggau, 47, memaklumkan
kejadian terbabit kepada jiran sebelum perkara itu mula tersebar di kalangan
penduduk kampung sehingga rumahnya kini menjadi tumpuan.
“Biasanya tikus
menu utama makanan kucing liar di sini, tetapi lain ceritanya dengan kucing
kami apabila dilayan seperti anak sendiri.
“Malah, ibu kucing dilihat melayan ‘anak
istimewanya’ sama seperti dua lagi anaknya lain termasuk menyusu dan
membersihkan badannya,” katanya.
Katanya, semua anak
kucing berkenaan turut dilihat bermain bersama selain tikus terbabit tidak
pernah cuba melarikan diri walaupun dikerumuni orang ramai.
“Kami ada memelihara lebih 10 ekor kucing yang
dibiarkan bebas selain arnab yang ditempatkan di dalam reban khas di luar
rumah.
“Selepas mengetahui
kejadian ini, ramai penduduk kampung mengunjungi rumah saya untuk melihat lebih
dekat termasuk ada di antara mereka menghulurkan wang untuk membeli makanan
kepada ibu kucing berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ketika
ditanya sama ada dia akan menjual haiwan berkenaan, Anifah berkata, enggan
berbuat demikian dan akan memelihara haiwan berkenaan.
Sumber : Harian Metro
No comments:
Post a Comment