Wednesday, 25 April 2012

Regangan Otak - PENGORBANAN


Pengorbanan terakhir adik
Oleh Rosli Ilham

2012/04/24

DUNGUN: “Adik sanggup dermakan apa saja asalkan abang selamat,” luah Muhammad Muaz Yusof, 13, kepada ibunya, Asma Ismail, 52, dua hari lalu, sejurus sebelum memasuki bilik rawatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, Sabtu lalu, untuk menderma darah dan sum-sum tulang belakang kepada abangnya yang menderita leukemia.

Bagaimanapun, itulah pengorbanan dan derma terakhir kepada abangnya, Muhammad Munawar, 21, apabila Muhammad Muaz, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Sultan Omar di sini, meninggal dunia 6.50 pagi semalam, dua hari selepas menderma darah A- serta sum-sum tulang.

Asma, seorang ibu tunggal enam anak yang ditemui di rumahnya di Kampung Molek di sini, semalam berkata, Muhammad Munawar menghidap leukemia sejak empat bulan lalu dan sering mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum diarah pegawai perubatan menemui pakar di HUKM.

“Munawar memerlukan darah jenis A- serta sum-sum tulang belakang dan secara kebetulan arwah mempunyai darah jenis sama dengan abangnya sebelum kami sekeluarga ke HUKM untuk menjalani proses pemindahan darah dan sum-sum,” katanya.

Katanya, sebelum memasuki bilik rawatan, dia ada bertanya perasaan arwah menjalani proses itu, namun arwah menjelaskan tidak berasa takut, malah sanggup dermakan apa saja demi menyelamatkan nyawa abangnya.

“Selepas darahnya dipindahkan kepada abangnya, saya dan arwah bertolak balik ke Dungun, arwah kelihatan ceria serta tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, malam kelmarin, arwah yang juga anak bongsu daripada enam beradik tidak banyak bercakap dan terus lena di sisinya sebaik masuk ke bilik tidur.
“Kira-kira jam 6.30 pagi tadi, ketika mengejutkan arwah untuk solat subuh, saya dapati mulutnya pucat dan apabila mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri selepas beberapa kali dikejutkan, kami membawanya ke Hospital Dungun,” katanya sambil menambah tidak lama kemudian doktor mengesahkan anaknya meninggal sudah dunia kira-kira jam 6.50 pagi semalam.

Asma berkata, kesedihannya kehilangan suami yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 42.2 Lebuhraya Karak pada 15 April 2011 masih terasa dan semalam (hari ini) dia sekali lagi menanggung kesedihan kehilangan anak bongsunya.

Jenazah Muhammad Muaz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Kampung Molek tidak jauh dari rumahnya selepas solat asar semalam.

No comments: