Monday, 12 February 2018

Anjing pengesan pun 'lalok' syabu

JUMLAH dadah syabu yang terlalu banyak di atas kapal yang ditahan pihak berkuasa Indonesia dekat Batam, kelmarin, menyebabkan anjing pengesan turut ‘lalok’ memaksa gerakan mencari dihentikan beberapa kali.
Media Indonesia melaporkan, menurut pembantu khas kepada Ketua Turus Tentera Laut Indonesia Laksamana Madya Achmad Taufiqoerrochman, dua anjing pengesan yang digunakan ketika menggeledah kapal menggunakan bendera Singapura itu menjadi khayal kerana menghidu terlalu banyak syabu, dianggarkan lebih satu tan.
“Kami terpaksa merehatkan anjing terbabit beberapa kali sebelum meneruskan penggeledahan,” katanya.

Empat lelaki yang ditahan di atas kapal membawa dadah syabu dekat Batam. - Foto AFP
Menurut AFP, tentera laut Indonesia juga menahan empat orang di atas kapal MV Sunrise Glory ketika ia memasuki perairan Indonesia dipercayai dalam perjalanan ke Australia di Terusan Phillip antara Singapura dengan Batam.
Menurut Achmad, pihak berkuasa sudah lama mengesyaki kapal berkenaan, dipercayai bot nelayan Taiwan, terbabit dalam sindiket dadah sejak Disember lalu.
Kapal itu terbabit yang pada awalnya mengibarkan bendera Singapura, menukarnya kepada bendera Indonesia apabila dihampiri bot peronda tentera laut.
Kapal itu kemudian dibawa ke Batam dan pemeriksaan menemui dadah yang disembunyikan di dalam 41 guni beras berjumlah 1,029 kilogram (kg).
“Kami menemui lebih satu tan dadah jenis syabu dan jumlahnya mungkin meningkat kerana pemeriksaan masih dilakukan,” kata Achmad.

-Metro

Friday, 9 February 2018

Tembak 130 kali, 74 di kepala



Jakarta: Orang utan yang mati dengan kepalanya dipenggal di Kalimantan dipercayai dijadikan sasaran menembak secara kejam oleh dua penoreh getah berikutan bedah siasat menemui 130 kesan tembakan senapang angin, selain kesan luka dan lebam.
“Orang utan itu juga menjadi buta akibat terkena tembakan. Kami menemui 74 kesan peluru senapang angin di kepala haiwan itu,” kata Ramadhani, Pengurus Pusat Perlindungan Orang Utan di Kalimantan.
Menurutnya, secara keseluruhan, pihaknya menemui 130 kesan peluru menjadikannya jumlah terbesar dalam sejarah ‘konflik’ antara manusia dengan orang utan di Indonesia.
Polis sudah menahan dan mendakwa dua lelaki bulan lalu kerana menembak dan memenggal kepala orang utan itu di Kalimantan Tengah. Dua lelaki terbabit mendakwa mereka membunuh haiwan itu bagi mempertahankan diri.
Mereka mengaku menembak orang utan berkenaan beberapa kali sebelum memenggal kepala haiwan itu dan melemparkan bangkainya ke dalam sungai di Barito, Kalimantan Tengah.
Jika disabitkan kesalahan, suspek berusia 32 dan 41 tahun itu berhadapan hukuman penjara lima tahun.
Ketua Polis Kalimantan Tengah, Anang Revandoko, berkata, mereka menembak haiwan itu dan apabila ia tidak mati, seorang daripada mereka memenggal kepala orang utan itu yang ditanam di belakang rumah.
Menurut Anang, mereka mendakwa membunuh orang utan itu kerana takut melihat haiwan besar berkenaan tiba-tiba bergerak ke arah mereka.
Orang utan boleh membesar sehingga saiz manusia dan mempunyai tangan yang kuat, namun biasanya hanya menyerang jika habitatnya terancam.

-Metro

Thursday, 8 February 2018

Ratu 'Alina' konon...



FINALIS pertandingan ratu cantik di Kazakhstan mengejutkan penganjur dan orang ramai selepas mendedahkan dia sebenarnya lelaki.
Illay Dyagilev, 22, menipu penganjur serta hakim dengan sebagai Alina Alieva, menewaskan 4,000 peserta lain untuk merebut tempat ke pertandingan akhir.
Menurut Daily Mirror, Illay yang juga model lelaki itu membuat pengakuan dramatik pada pusingan akhir Miss Virtual Kazakhstan, memberitahu penganjur serta pengundi dalam talian, bahawa mereka sudah ditipu.
“Saya dan rakan berbahas kecantikan itu adalah semula jadi, bukannya sebab solekan lalu memutuskan menyertai pertandingan itu.
“Saya selalu menjadi juara dalam kecantikan semulajadi. Anda boleh lihat kebanyakan wanita muda kelihatan serupa, begitu juga solekan dan gaya - dan percaya mereka nampak cantik jika mengikut trend.
“Saya tidak bersetuju,” katanya.
Dia memutuskan mendedahkan tembelangnya apabila menyedari sudah sampai terlalu jauh dalam pertandingan berkenaan.
Penganjur memberitahu mereka turut terkejut dengan pendedahan itu lalu menyingkirkan Illay serta-merta dan diganti dengan Aikerim Temirkhanova, 18, yang memperoleh 1,975 undian di belakang ‘Alina.’

-Metro

Wednesday, 7 February 2018

Salji turun di Gurun Sahara



BUAT kali kedua tahun ini, salji turun di sebahagian Gurun Sahara semalam, menyebabkan bandar Ain Sefra di Algeria diliputi salji.
Menurut laporan Daily Mail, kali terakhir salji turun di kawasan itu ialah Disember 2016 selepas 37 tahun dan semalam, orang ramai serta kanak-kanak bermain salji yang menutupi pasir di luar bandar berkenaan.
Pada awal Januari lalu, salji setebal sehingga 40 sentimeter meliputi bandar Ain Sefra dan kawasan sekitarnya mulai awal pagi hingga petang.
Pada 2016, bandar itu yang digelar ‘Pintu Masuk Ke Gurun’, diliputi salji tebal pada hujung tahun menyebabkan situasi jadi kelam-kabut dengan penumpang terkandas dalam bas akibat jalan raya menjadi licin.
Sebelum ini, kali terakhir salji turun di Ain Sefra ialah pada 18 Februari 1979 selama setengah jam.
Ain Sefra terletak lebih 1,000 meter dari paras laut dan dikelilingi pergunungan Atlas.
Suhu normal bandar itu pada hujung dan awal tahun ialah sekitar enam hingga 12 darjah Celsius.

-Metro

Bakar duit tunjuk siapa lebih kaya

DUA lelaki di Tianchang, China didakwa dan didenda selepas mereka membakar wang tunai dalam satu pertengkaran bagi membuktikan siapa paling kaya.
Anhui TV melaporkan, dua lelaki itu makan di sebuah restoran pada 24 Januari lalu sebelum memutuskan untuk membakar wang tunai ketika bertengkar.
Menurut laporan South China Morning Post, dalam rakaman video yang tular, kedua-dua lelaki itu bertengkar sebelum mula mengeluarkan wang tunai dan membakarnya.
Seorang lelaki mencabar pesaingnya supaya membakar wang bagi membuktikan siapa lebih kaya dan mereka bersetuju sebelum mula membakar wang kertas 100 yuan (RM62).
“Saya ingat kita akan membakar wang 500 yuan (RM310). Jika kamu tiada wang, baik kamu berhenti bercakap,” kata lelaki itu.
Selepas video berkenaan tular, polis menjejaki kedua-dua lelaki terbabit dan mendakwa mereka kerana menghina mata wang China.
Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu hanya dikenakan denda 1,000 yuan (RM620).

-Metro

Tuesday, 6 February 2018

Bukan empat tapi lima kaki

ANAK kambing milik seorang wanita di Cornsay, Daerah Durham, dekat London, mendapat perhatian kerana mempunyai lima kaki.
Keadaan unik anak kambing yang dilahirkan dua minggu lalu, yang kaki kelimanya tumbuh pada bahu kaki kanan, adalah satu dalam sejuta di United Kingdom (UK).
Menurut Daily Mail, pemiliknya, Angie Jewitt menamakan anak kambing itu Hope kerana ia terus hidup walaupun ada kemungkinan ia tidak akan hidup lama.
Kemungkinan untuk haiwan yang cacat fizikal untuk hidup, biasanya begitu tipis namun Hope membuktikan sebaliknya apabila ia mampu bergerak cergas dan kaki kelima itu hampir berkembang sepenuhnya serta turut mempunyai kuku.
Berikutan perkembangan baik sehingga kini, doktor haiwan berpendapat anak kambing itu tidak memerlukan pembedahan untuk terus hidup.

-Metro

Jenazah wanita ditemui elok walaupun terkubur 10 tahun

Sumber gambar : detik.com
Jasad seorang wanita yang hanyut akibat banjir di salah sebuah negeri di Indonesia ditemui masih dalam keadaan elok walaupun telah hampir terkubur selama 10 tahun.
KUALA LUMPUR 5 Feb. - Jasad seorang wanita yang hanyut akibat banjir di salah sebuah negeri di Indonesia ditemui masih dalam keadaan elok walaupun telah hampir terkubur selama 10 tahun.
Menurut portal Indonesia Detiknews, jenazah dikenali dengan nama Sumini sewaktu hayatnya hanyut tidak jauh dari lokasi pengebumiannya dan mujur perkara itu disedari semalam oleh anak lelakinya, Hasan.
Ujar Hasan, pada mulanya dia dan ahli keluarga sekadar berniat mahu mencari semula tulang ibunya (Sumini) selepas banjir melanda kerana risau dihanyutkan aliran air ke sungai.
“Namun begitu, kami betul-betul tidak menyangka. Selain jasad ibunya ditemui dalam keadaan sempurna, dia juga masih lengkap berpakaian kain kafan,” ujarnya kepada media tempatan di Dusun Krajan, Desa Sukorejo, Kecamatan Bangsalsari, Jember.
Banjir di Desa Sukorejo mengakibatkan banyak pagar-pagar di tanah perkuburan tersebut musnah dan hanyut ke sungai namun tidak segera ahli keluarga berjaya menyelamatkan jenazah Sumini sekali gus menjadikannya sebagai penemuan yang sangat menggemparkan. 

- UTUSAN ONLINE


Monday, 5 February 2018

Tembak kerana enggan menyanyi

Islamabad: Seorang penyanyi dan juga pelakon di Pakistan ditembak mati selepas wanita itu enggan membuat persembahan di satu parti peribadi, kata polis semalam.
Polis berkata, tiga lelaki menceroboh rumah aktres itu, Sumbul Khan di bandar Mardan kelmarin dan mendesak mangsa membuat persembahan di satu majlis.
Bagaimanapun, Sumbul enggan mengikut mereka menyebabkan tiga lelaki itu berang lalu menembak mangsa beberapa kali hingga mati.
Akhbar Pakistan Express Tribune melaporkan, seorang suspek, Naeem Khattak yang juga bekas anggota polis berjaya ditangkap.
Polis kini memburu dua lagi suspek yang melarikan diri selepas kejadian.
Aktres berusia 25 tahun itu terkenal di Pakistan selepas menyertai beberapa program televisyen di negara itu.
Sebelum ini terdapat beberapa serangan serupa terhadap artis wanita di Pakistan.
Pada November 2016, seorang aktres yang juga penari, Kismat Baig terbunuh selepas ditembak penyerang tidak dikenali di Lahore.
Kismat ditembak 11 kali di kaki, perut dan tangan oleh penyerang bermotosikal ketika pulang selepas membuat satu persembahan pentas.

-Metro

12 maut makan daging lembu dipatuk ular tedung selar

CAPE TIMUR, Afrika Selatan – Seramai 12 orang disahkan maut manakala berpuluh-puluh yang lain dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan selepas memakan daging seekor lembu yang mati akibat dipatuk ular tedung selar, kata pihak berkuasa kesihatan semalam.
Mangsa yang terkorban terdiri daripada tujuh dewasa dan lima kanak-kanak.
Pada Khamis lalu, portal Mail Online melaporkan 60 orang penduduk Kampung Mpoza, berhampiran bandar Tsolo, dekat sini terpaksa dikejarkan ke beberapa hospital selepas mengalami cirit-birit, muntah-muntah, sakit kepala dan kejang perut dipercayai akibat bisa ular yang meresap dalam daging lembu tersebut.
Daripada jumlah itu, seramai 16 orang kanak-kanak dihantar ke hospital, lapan daripadanya dipindahkan ke wad pediatrik Akademi Hospital Nelson Mandela manakala selebihnya dibawa ke Hospital Negeri Mthatha.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Cape Timur, Afrika Selatan, Sizwe Kupelo berkata, memandangkan jumlah kematian agak besar, pihaknya telah memilih untuk mengasingkan pesakit dan memantau keadaan mereka.
“Hospital St. Barnabas di Libode telah bersedia menerima pesakit tambahan bagi kes ini. Orang ramai digesa tidak memakan bangkai lembu yang mati akibat dipatuk ular kerana ia hanya mengundang padah jika kamu berbuat demikian,” katanya.
Ular tedung selar merupakan reptilia jenis Elapidae iaitu dari keluarga ular berbisa yang terdapat di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia.
Racun haiwan itu mengandungi neurotoksin possinaptik yang merebak dengan cepat dalam aliran darah mangsa, menyebabkan kegagalan pernafasan dan diakhiri kematian. 

– Agensi/Kosmo

Friday, 2 February 2018

Bila dapat hidayah...



ARTHUR Wagner, anggota kanan parti politik Jerman, Alternative for Germany (AfD), menjadi perhatian di Jerman dan Eropah minggu lalu, selepas tersebar berita beliau memeluk Islam, kerana tidak bersetuju dengan tindakan gereja mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.
Tahun lalu, parti AfD menjadi parti nasionalis pertama memenangi kerusi Parlimen Jerman sejak 1960-an yang kempennya banyak mengenai anti-Islam, malah menggunakan slogan ‘Islam tiada tempat di Jerman’ ketika pilihan raya.
Menurut laporan The Telegraph, Wagner, 48, yang kini menggunakan nama Ahmad, meletak jawatannya sebagai ahli jawatankuasa kanan dalam parti berkenaan namun mahu kekal dalam AfD untuk membina hubungan baik antara umat Islam Jerman dengan masyarakat.
Beliau memeluk Islam Oktober lalu, namun merahsiakannya kerana tidak pasti bagaimana hendak memberitahu rakan-rakannya dalam parti.
Dalam temuramah dengan akhbar Bild, Wagner berkata, antara sebab beliau memeluk Islam ialah kerana tidak dapat menerima perubahan dalam gereja.
Menurut laporan Daily Mail, bekas penganut Kristian Protestant itu berkata: “Satu sebab ada kaitan dengan perubahan yang berlaku dalam gereja yang tidak lagi sesuai dengan saya.
“Sokongan gereja terhadap perkahwinan sejenis dan penyertaan pastor ketika perarakan Christopher Street Day yang turut disertai kanak-kanak, tidak boleh saya terima.”
Menurutnya, beliau menimbangkan untuk memeluk Islam sejak 2015, ketika mengunjungi bandar Ufa di Russia yang majoriti penduduknya masyarakat Islam Tatar.
Sementara itu, Ketua Bahagian AfD di Brandenburg, Kai Berger berkata, mereka mengetahui mengenai Wagner memeluk Islam melalui media dan amat kecewa dengan tindakannya.
“Ramai ahli parti mahu dia meninggalkan AfD tetapi malangnya kami tidak boleh memecatnya sebagai ahli parti,” katanya.

-Metro