Wednesday, 4 October 2017

Satu badan, dua kepala



Karachi: Seorang pemilik ladang tenusu di sini terkejut selepas seekor lembu peliharaannya melahirkan anak lembu berkepala dua.
Anak lembu itu dilahirkan di Ladang Tenusu Lucky Foods pada 27 September lalu dan masih hidup hingga kini.
Haiwan itu tidak mampu berdiri kerana kepalanya terlalu berat dan diberi susu menggunakan botol.
Pemilik ladang berkenaan, Salman Mamnoon Hussain berkata, dia terkejut apabila pengurus memberitahu seekor anak lembu dengan dua kepala dilahirkan di ladang itu.
“Saya terus pergi ke ladang untuk melihat anak lembu itu. Ia satu keajaiban.
“Pada mulanya saya percaya anak lembu itu mungkin mati tidak lama selepas dilahirkan tetapi sehingga kini ia masih hidup dan sihat,” katanya.
Ujarnya, doktor haiwan di ladang itu menjaga anak lembu itu dengan teliti bagi memastikan ia terus hidup.
“Saya mahu lihat anak lembu ini hidup, berdiri dan berjalan seperti haiwan yang lain,” jelasnya.

-Metro

Tuesday, 3 October 2017

Tuduh kuda kepang pula 'dicuri'



Jakarta: Pengguna media sosial di Indonesia menuduh Malaysia cuba mencuri tarian kuda kepang selepas peserta pertandingan ratu cantik Miss Grand International dari Malaysia bergambar dengan kuda kepang.
Peserta dari Malaysia, Sanjeda John bergambar dengan pakaian tradisional sambil memegang kuda kepang atau dikenali sebagai kuda lumping di Indonesia dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.
Miss Grand International berlangsung di Vietnam pada Khamis ini sebelum berakhir pada 25 Oktober depan.
Ramai pengguna media sosial di Indonesia melahirkan kemarahan dan mendakwa kupang kepang adalah budaya asal penduduk Jawa.
Beberapa pengguna juga menuduh Malaysia sekali lagi cuba mencuri budaya Indonesia.
Sebelum ini, Malaysia juga pernah dituduh media Indonesia mencuri budaya dan makanan negara itu termasuk batik, rendang, cendol dan lagu Rasa Sayang.
Sementara itu, seorang pereka fesyen Indonesia, Rinaldy A Yunardi menggesa kerajaan Indonesia mempatenkan semua budaya dan kesenian milik negara itu.
“Selepas ini apa lagi? Saya harap pemerintah supaya lebih peduli,” katanya yang dipetik Jawa Pos.

-Metro

'Balas dendam' goreng sawa gigit penduduk



Pekanbaru (Indonesia): Seorang lelaki cedera parah di tangan selepas digigit seekor ular sawa sepanjang tujuh meter.
Robert Nababan, 37, dilaporkan cuba menangkap ular sawa itu pada Sabtu lalu di Desa Belimbing di Indragiri Hulu, wilayah Riau.
Jurucakap polis, Sutarja berkata, Robert yang cedera parah dibawa ke hospital oleh penduduk dan keadaannya dilaporkan stabil.
Menurutnya, ular sawa itu kemudian dibunuh penduduk sebelum digoreng untuk dimakan.
“Menurut laporan yang diterima ular itu sudah digoreng dan dimakan bersama-sama oleh penduduk,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila Robert melihat beberapa penduduk cuba menangkap ular sawa berkenaan di sebuah ladang kelapa sawit.
“Robert pada mulanya berjaya menangkap kepala ular itu dan cuba memasukkan haiwan berkenaan ke dalam guni.
“Bagaimanapun, ular itu tiba-tiba menggigit tangan Robert menyebabkan dia cedera parah,” jelasnya.

-Metro

Monday, 2 October 2017

Dua beradik jual udara di dataran Tibet

Xining (China): Pencemaran udara yang teruk di China menyebabkan usahawan muda di negara itu mengambil peluang untuk menjual udara segar dari gunung.
Yang terbaru dua beradik dari Xining di wilayah Qinghai membuka kedai secara dalam talian untuk menjual udara segar dari dataran Tibet.
Di halaman jualan itu, pelanggan boleh memilih membeli udara yang diambil dari puncak gunung, lembah atau taman bunga di Tibet.
Laman itu juga memaparkan gambar menunjukkan dua beradik itu mengambil udara di Taman Xining ke dalam beg plastik.
Setiap beg itu dijual pada harga 15 yuan (RM9.50) dan dua beradik itu mendakwa mereka sudah menjual lebih 100 beg.
Kata mereka, objektif perniagaan mereka bukanlah wang tetapi bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan meningkatkan usaha memelihara alam sekitar.
Bagaimanapun, pengguna media sosial mempersoalkan usaha dua beradik berkenaan dan mendakwa beg plastik yang digunakan mereka turut menjejaskan alam sekitar.
“Teknik pemasaran yang licik. Udara ini milik bumi, bagaimana anda boleh menjadikan ia hak sendiri dan menjualnya?” kata seorang pengguna.

-Metro

Kaki 'putih' tiga hari dalam telaga



Chennai (India): Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun yang terjatuh ke dalam telaga terbiar sedalam 15 meter di Tiruttani, terpaksa berdiri selama tiga hari di dalam air cetek perigi itu sebelum diselamatkan.
Rangarajulu yang menjual pisau sebagai mata pencariannya, hanya mampu menangis malah hilang suara kerana pada awalnya cuba menjerit untuk menarik perhatian.
Selepas tiga hari berendam dalam air berkenaan, kulit kakinya menjadi pucat.
Bomba bergelut selama hampir sejam untuk membersihkan tumbuhan tebal di sekitar telaga itu sebelum menghantar dua anggotanya turun untuk menarik mangsa keluar.
Rangarajulu segera dibawa ke hospital kerajaan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi di mana dia masih berada di bawah pemerhatian.
“Saya kehilangan suara kerana kurang tidur dan tiada makanan. Saya cuma minum sedikit air telaga yang dipenuhi lumut dan daun mati untuk terus hidup,” kata Rangarajulu.
Menurutnya, dia terjatuh dalam perigi pada 26 September lalu, ketika menjaja pisaunya selepas masuk ke kawasan itu untuk membuang air besar sebelum terjatuh ke dalamnya.
Apabila dia tidak pulang ke rumah, ahli keluarganya pergi mencarinya sebelum membuat laporan polis.
Nasibnya hanya diketahui apabila pemilik tanah tempat perigi itu, Krishna Babu, mendengar tangisannya dan pergi menyiasat bersama keluarganya.
Babu berkata, dia menyangka bunyi tangisan itu anak kucing dan dia sekeluarga terkejut apabila melihat seorang lelaki tua menangis merayu diselamatkan.

-Metro

Friday, 29 September 2017

Jerung melekap enggan lepaskan perut




Marthon (Amerika Syarikat): Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas perutnya digigit anak jerung ketika menyelam di perairan Marthon, Florida baru-baru ini.
Dalam satu rakaman video, Ervin Maccarty dilihat keluar dari laut dan terus naik ke bot dengan seekor anak jerung melekat di perutnya.
Maccarty cuba menarik ikan jerung itu tetapi haiwan berkenaan enggan melepaskan gigitannya menyebabkan lelaki itu mengerang kesakitan.
Beberapa rakannya cuba membantu tetapi ikan jerung itu terus menggigit perut Maccarty dengan kuat.
Selepas berusaha, mereka akhirnya mengambil keputusan menikam ikan jerung berkenaan supaya ia melepaskan gigitannya.
Selepas beberapa saat, ikan jerung itu mati dan perlahan-lahan melepaskan gigitan di perut Maccarty.
Maccarty berkata, dia menyelam untuk mencari udang karang sebelum seekor anak jerung tiba-tiba menyerangnya.
“Anak ikan jerung ini sangat agresif dan ia terus menggigit perut saya menyebabkan saya hampir lemas.
“Saya terpaksa segera naik ke permukaan dan berenang ke bot untuk meminta bantuan rakan

-Metro

Thursday, 28 September 2017

Lahir anak dalam lif hospital [VIDEO]

SEORANG wanita penjaga lif sebuah hospital di Shandong, China, mendapat pengalaman baru apabila membantu seorang pesakit melahirkan anak dalam lif kerana wanita itu tidak sempat sampai ke bilik bersalin.
Li Fengling yang bekerja sebagai penjaga lif di Hospital Rakyat Daerah Wenshang, berkata wanita sarat mengandung itu masuk ke dalam lif dalam keadaan menahan kesakitan.
Menurut laporan Daily Mail hari ini, rakaman CCTV menunjukkan wanita itu terduduk selepas memasuki lif dan Li segera menghentikan lif, mengarahkan penumpang lain keluar bagi membolehkan petugas perubatan memberi rawatan.
Jururawat Lin Jun kemudian membantu wanita itu bersalin dalam lif berikutan sudah tidak sempat membawanya ke bilik bersalin kerana menurut Lin, kepala bayi sudah keluar.
Wanita itu bernasib baik kerana masih sempat sampai ke hospital.
Petugas hospital kemudian mengangkat wanita itu ke bilik rawatan bersama bayinya yang dilapor sihat dengan berat 2.72 kilogram.

-Metro


https://youtu.be/r7SYbRQi4nc
https://youtu.be/r7SYbRQi4nc?t=63

Wednesday, 27 September 2017

Sami Buddha serbu rumah perlindungan Rohingya


SAMI Buddha Sri Lanka mengetuai penduduk tempatan menyerbu rumah perlindungan disediakan PBB untuk pelarian Rohingya di Colombo hari ini, memaksa pihak berkuasa memindahkan pelarian terbabit.
Sami terbabit mengetuai perusuh memecah masuk kawasan rumah menyebabkan 31 pelarian mengurung diri di tingkat paling atas dalam ketakutan sehingga diselamatkan.
Menurut seorang pegawai polis, pihaknya berjaya menyuraikan perusuh dan pelarian akan ditempatkan di lokasi baru.
Seramai 31 pelarian itu diselamatkan tentera laut Sri Lanka Mei lalu, ketika hanyut dalam bot mereka.
Pelarian itu akan dihantar ke negara ketiga dan dibenar berada di Sri Lanka menunggu dokumen mereka siap.
Dalam rakaman video oleh kumpulan pelampau Sinhale Jathika Balamuluwa (Tentera Kebangsaan Sinhalese), seorang sami mendesak orang ramai meruntuhkan bangunan menempatkan pelarian terbabit.
“Inilah pengganas Rohingya yang membunuh sami Buddha di Myanmar," kata sami berkenaan yang disiarkan secara langsung di Facebook, menunjuk kepada wanita Rohingya yang ketakutan memeluk anak kecil mereka.
Sami Buddha yang radikal di Sri Lanka mempunyai hubungan rapat dengan sami Buddha di Myanmar dan mereka didakwa mencetuskan keganasan terhadap Islam minoriti di negara masing-masing.

-Metro

Tuesday, 26 September 2017

Suami isteri bunuh, makan 30 orang

SATU pasangan di wilayah Krasnodarsky, selatan Russia, ditahan selepas mengaku membunuh dan memakan sekurang-kurangnya 30 orang sejak 18 tahun lalu.
Difahamkan, polis sudah menemui sekurang-kurangnya lapan anggota tubuh manusia dan sedang memeriksa rumah mereka bagi mencari bukti lain, termasuk anggota tubuh manusia.
Lelaki berkenaan yang dilaporkan media tempatan dikenali sebagai Dmitry Bakshaev, 35, memberitahu polis kegiatan kejamnya itu bermula sejak 1999.
Menurut Daily Mail, portal berita Russia, Mash, melaporkan isteri lelaki itu, Natalia, 42, seorang jururawat dan mereka digelar ‘keluarga kanibal’.
Pasangan itu ditahan selepas polis menemui gambar seorang lelaki bersama anggota tubuh manusia dalam telefon yang ditemui.
Menurut Jawatankuasa Siasatan Russia yang mengendalikan jenayah berat Russia, Dimitry dan isterinya menyimpan anggota tubuh manusia dalam peti sejuk dan peti sejuk beku serta di ruang bawah tanah.
Antara anggota tubuh manusia yang ditemui di ruang bawah tanah pasangan itu ialah milik seorang wanita yang anggota tubuhnya ditemui di tepi jalan di Krasnodar pada 12 September lalu.

Wanita berusia 35 tahun dipercayai mangsa terbaru Dimitry dan isterinya yang anggota tubuhnya ditemui di tepi jalan di Krasnodar pada 12 September lalu. - Foto Daily Mail
Pekerja pembersihan menemui telefon bimbit berkenaan pada hari yang sama dan menyerahkannya kepada polis.
Dimitry dan isterinya mengaku melakukan jenayah itu ketika soal siasat.
Media tempatan menyiarkan gambar Dimitry bersama seorang wanita berusia 35 tahun yang tidak dinyatakan nama serta hubungan dengan Dmitry namun menurut sumber siasatan, wanita itu dipercayai mangsa terbaru.
Polis menemui tujuh anggota tubuh manusia sejuk beku dan pasangan itu juga mengawet anggota tubuh dalam balang kaca seperti jeruk. Turut ditemui 19 bukti dipercayai kulit manusia.
Polis turut menemui satu beg plastik berisi aksesori wanita

Anggota tubuh manusia yang ditemui tersimpan dalam balang dan kanan, gambar kepala manusia dalam pinggan dihiasi hirisan limau bertarikh 28 Disember 1999. - Foto Daily Mail
Antara gambar yang ditemui di rumah pasangan itu ialah kepala manusia dalam pinggan dihiasi hirisan limau bertarikh 28 Disember 1999.
Pasangan itu dipercayai menggunakan dadah untuk ‘menidurkan’ mangsa sebelum membunuh dan melapah mereka.


-Metro

Monday, 25 September 2017

Lesap lepas lahir bayi kembar siam secara normal



Lucknow (India): Seorang wanita yang melahirkan anak kembar siam secara normal menghilangkan diri selepas doktor memintanya kembali ke hospital untuk menjalani pembedahan bagi memisahkan bayi itu.
Wanita berusia 32 tahun itu melahirkan bayi kembar siam berkenaan di Hospital Bhawani Prasad di negeri Uttar Pradesh pada 2 September lalu.
Dr Rahul Aggarwal yang menyambut kelahiran bayi itu berkata, wanita berkenaan tidak tahu dia mengandung anak kembar kerana tidak pernah membuat imbasan ultrabunyi.
“Wanita itu melahirkan anak berkenaan dalam tempoh sejam.
“Melahirkan bayi kembar siam terutama sekali bercantum di bahagian badan secara normal adalah sangat mencabar dan sangat jarang berlaku,” katanya.
Menurutnya, bayi itu berkongsi satu tali pusat dan masing-masing mempunyai organ penting yang lengkap.
Bagaimanapun, jantina bayi itu tidak dapat diketahui kerana mereka perlu menjalani pembedahan pemisahan.
“Ibu dan bayi itu berada dalam keadaan sihat dan kami membenarkannya pulang sementara ke rumah.
“Bayi itu saya rujuk ke Institut Sains Perubatan Seluruh India di New Delhi untuk pembedahan tetapi wanita itu tidak dapat dihubungi,” jelasnya.
Menurutnya, dia bimbang sekiranya bayi itu tidak dibawa ke hospital mereka mungkin berdepan komplikasi kesihatan.

 - Agensi/Metro