Friday, 26 May 2017

Cari susu ibu mati


New Delhi: Seorang anak kecil dirakam cuba menghisap susu ibunya tanpa menyedari wanita itu sudah meninggal dunia.
Kejadian itu dirakam berhampiran landasan kereta api di Damoh, Madhya Pradesh, semalam.
Peristiwa menyayat jati itu turut disaksikan anggota polis yang menyiasat laporan mengenai penemuan mayat di tempat kejadian.
Mereka juga terkejut menemui bayi berusia 17 bulan itu menangis dan cuba menyusu.
Saksi, Monu Balmiki, 27, berkata: “Kami melihat seorang wanita terbaring berhampiran landasan kereta api dan memaklumkan polis.
“Tetapi apabila kami menghampirinya kami melihat anaknya cuba menghisap susunya sambil menangis. Kami begitu sebak melihat kejadian itu.”
Ketua polis tempatan, Nand Ram berkata: “Kanak-kanak itu menangis dan cuba menghisap susu ibunya selepas wanita itu tidak memberi tindak balas.
“Kejadian itu amat mengejutkan dan menyayat hati. Kami tidak pernah melihat perkara seperti itu,” kata Ram.
Balmiki berkata, dia dimaklumkan mayat wanita itu sudah dibedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
“Kami mengesyaki kematiannya akibat kemalangan kerana telinga dan hidungnya berdarah.
Sementara itu, anak wanita terbabit dibawa ke hospital untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada jabatan kebajikan.
Jurucakap hospital berkata: “Kanak-kanak itu kesejukan, tetapi tiada masalah kesihatan lain.
“Kami akan memastikan dia terjaga dan buat masa ini kanak-kanak itu diserahkan ke rumah anak yatim sehingga keluarganya ditemui.”

-Metro

Alahai dunia: Cakap terus dengan tuhan


Harare: Seorang pastor yang mendakwa dia mempunyai talian terus dengan Tuhan dirakam kononnya sedang ‘bercakap dengan tuhan’ menerusi telefon di satu majlis di sebuah gereja.
Orang ramai yang hadir di gereja berkenaan kelihatan kagum melihat dan mendengar pastor warga Zimbabwe itu, Paul Sanyangore, 32, berbual dengan tuhan.
“Saya mempunyai talian terus. Saya sebenarnya mempunyai nombor tuhan dan saya boleh menelefonnya jika ada keperluan. Tidak mustahil kita boleh berbual dengan tuhan. Kenapa anda ragu saya menerima panggilan daripadanya. Saya sebenarnya mempunyai nombor terus tuhan dan saya boleh menelefonnya serta menerima arahan daripadanya. Saya menerima nombornya ketika melakukan upacara keagamaan dan saya mendengar suara menyuruh saya menelefonnya,” kata Sanyangore.
Pastor itu berkata, dia akan memberikan nombor itu kepada orang awam pada masa yang sesuai.

-Metro

Thursday, 25 May 2017

Anak koyak wang RM31 ribu



PASANGAN suami isteri terkejut besar apabila mendapati anak mereka berusia lima tahun mengoyak wang kertas bernilai 50,000 yuan (RM31,173) selepas meninggalkan kanak-kanak itu seorang diri di rumah di Qingdao, China.
Dalam kejadian 20 Mei lalu, People's Daily Online melaporkan bapa kanak-kanak itu membawa wang kertas yang dikoyak itu ke bank untuk menukar dengan not baru namun diberitahu dia perlu menyambung not terbabit sebelum boleh ditukar.
Menurut laporan itu, kanak-kanak berkenaan menemui wang kertas berkenaan dalam rumah dan ketika bermain, mengoyak not terbabit menjadi cebisan kecil.
Bapanya yang dikenali sebagai Gao adalah peniaga dan wang berkenaan adalah pinjaman daripada bank.
Menurutnya, banyak not terbabit dikoyak menjadi cebisan kecil menyebabkan sukar untuk disambung.
“Saya sudah berusaha menyambung selama dua hari, hanya berjaya menyambung beberapa keping. Sebahagian besar wang itu dikoyak kepada tiga cebisan, ada yang sampai belasan cebisan,” katanya.

-Metro

Jururawat 'seksi' berhenti kerja

AKIBAT gambar berpakaian seragam yang dikatakan ‘terlalu seksi’ menjadi tular, seorang jururawat sebuah hospital swasta di Isan, Thailand, terpaksa meletak jawatannya selepas ia tidak disenangi pihak pengurusan.
Gambar Parichat 'Pang' Chatsri, 26, berpakaian seragam jururawat yang agak ketat dengan skirt di atas lutut mengundang komen negatif di media sosial selepas disiarkan di laman web Thai Nurse Lovers Association.
Menurut Daily Mail, ada pengguna media sosial menuduhnya berpakaian tidak sopan dan mencalarkan profesion jururawat.
Berikutan komen negatif itu, Parichat memohon maaf secara terbuka.
“Saya sudah memberi penjelasan kepada pihak pengurusan hospital namun mereka anggap kejadian itu merendahkan imej hospital.
“Saya faham dan tidak mahu ia diperbesarkan, jadi saya letak jawatan.
“Saya memohon maaf kepada semua Majlis Jururawat dan Bidan Thailand serta hospital,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mahu menimbulkan masalah dan bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

-Metro

Tuesday, 23 May 2017

Mak... Tolong!



KELUARGA dan seorang budak perempuan kini trauma selepas seekor singa laut menarik kanak-kanak itu ke dalam air ketika mangsa duduk di tepi jeti di Steveston Fisherman's Wharf di Richmond BC, Kanada.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku hujung minggu lalu, seorang lelaki memberi makanan kepada singa laut itu yang kemudian menghampiri jeti.
Kanak-kanak itu datang untuk melihat haiwan itu makan dan kemudian duduk membelakangkannya.
Tiba-tiba haiwan itu melonjak dari dalam air dan menggigit baju kanak-kanak berkenaan, menariknya ke dalam air.
Seorang lelaki dipercayai ahli keluarga kanak-kanak itu terjun ke dalam air dan menyelamatkannya dan mereka kemudian meninggalkan jeti berkenaan.
Rakaman video ini dirakam Michael Fujiwara dari Vancouver yang memberitahu Vancouver Sun: “Saya sedang duduk di jeti apabila singa laut itu muncul. Saya keluarkan telefon dan mula merakam
“Haiwan itu menarik perhatian ramai orang, termasuk kanak-kanak itu.
“Saya rasa keluarganya muka memberi makanan kepada singa laut itu.”
Tidak dapat dipastikan tujuan singa laut berkenaan menarik budak perempuan itu ke dalam air.

-Metro

Monday, 22 May 2017

'Pak Cik Gemuk' kena diet, bersenam


SEEKOR monyet yang digelar ‘Pak Cik Gemuk' di pinggir Bangkok, diselamatkan jabatan hidupan liar Thailand kerana terlalu gemuk selepas mewah dengan makanan yang diberi pelancong menyebabkan badannya kini seberat 27.2 kilogram - tiga kali ganda berbanding berat normal monyet seusianya.
Anggota jabatan perlindungan hidupan liar Thailand menangkap monyet itu di sebuah pasar di Bangkok selepas gambar monyet berkenaan tersebar di media sosial.
“Tidak mudah untuk menangkapnya kerana dia ketua sekumpulan monyet. Kami terpaksa melawan monyet lain dengan kayu,” kata seorang anggota jabatan itu, Kacha Phukem, yang menangkap ‘Pak Cik Gemuk’ bulan lalu.
Sebagai ketua kumpulan, Pak Cik Gemuk yang berusia dianggar antara 10 hingga 15 tahun itu, mewah dengan makanan yang dibawa kepadanya oleh monyet lain.
Menurut Daily Mail, Jabatan Taman Negara dan Perlindungan Hidupan Liar Thailand menempatkan monyet itu pusatnya di Nakhon Nayok, kira-kira 160 kilometer dari Bangkok.
Selain diet, Pak Cik Gemuk juga perlu bersenam - dipaksa berlari dan bergayut bersama monyet lain bagi mengurangkan berat badannya.
“Selain untuknya, makanan yang dibawa kepadanya juga dibahagikan kepada monyet lain.
“Ia kini agak kritikal dengan risiko tinggi diserang sakit jantung serta diabetis,” kata Supakarn Kaewchot yang bertanggungjawab menjaga pemakanan monyet gemuk berkenaan.
Diet Pak Cik Gemuk kini hanya 400 gram protein, buah dan sayuran setiap hari.
Perut monyet berkenaan buncit kerana terlalu banyak makanan manis, susu kocak, jagung manis adan mi
Supakam berharap dapat melepaskan kembali Pak Cik Gemuk ke hutan beberapa bulan lagi selepas berat badannya menjadi sekitar lapan kilogra,
Menurutnya, apa yang berlaku terhadap Pak Cik Gemuk contoh terbaik kepada manusia supaya tidak memberi makanan tidak sihat, terutama minuman berkarbonat dan makanan ringan kepada monyet liar.
“Pak Cik gemuk kerana makan apa saja diberi orang. Dia tidak sakit tapi perlukan bantuan. Dia suka makan dan ramai yang memberinya makanan setiap hari,” katanya.

https://youtu.be/vvMMYzCxclA


-Metro

Demi anak, ibu bagi rahim




SEORANG wanita berusia 43 tahun mendermakan rahimnya kepada anak perempuannya yang berusia 21 tahun melalui pembedahan pertama seumpamanya di India dengan harapan anaknya yang dilahirkan tanpa rahim, berpeluang merasai pengalaman melahirkan anak.
Pembedahan sukar selama lapan jam itu dilakukan di Pune, selatan India, Khamis lalu, oleh sepasukan doktor dan pembantu di Hospital Penjagaan Galaxy Pune diketuai pengarah perubatan hospital itu, Dr Shailesh Puntambekar.
Portal berita kfor.com yang memetik CNN melaporkan, Shailesh berkata, pembedahan itu amat sukar kerana banyak saluran darah utama perlu disambung manakala saluran darah lain pula kecil dan pendek.
Beliau berkata, pesakit perlu menunggu setahun bagi membolehkan luka pembedahan sembuh serta tubuhnya menyesuaikan dengan rahim berkenaan
sebelum boleh cuba hamil melalui IVF.
Menurut Dr Mats Brannstrom, seorang profesor perubatan di Universiti Gothenburg, Sweden, hanya enam bayi dilahirkan melalui rahim pindahan dengan dua oleh ibu yang sama.
Brannstrom mengetuai pasukan yang melakukan pembedahan pemindahan pertama yang berjaya pada 2014 selepas 11 pembedahan lain oleh pasukannya serta pasukan lain di seluruh dunia, gagal, membolehkan bayi pertama dilahirkan di Sweden.
Semua lima lagi bayi hasil pembedahan yang dilakukan pasukan perubatan Sweden dan dunia kini menunggu hasil pembedahan di India itu.
Pembedahan pemindahan rahim yang berjaya amat jarang kerana prosesnya yang kompleks serta rumit dan pembedahan yang pertama di India itu ialah percubaan yang ke-30 di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat, Brazil, Sweden, China, Jerman, Serbia, Czechoslovakia, Arab Saudi dan Turki.
Menurut Brannstrom, pembedahan itu pada masa depan boleh lakukan terhadap wanita yang menghidap penyakit rahim atau lelaki yang menukar jantina membolehkan mereka hamil dan melahirkan anak.
“Namun masuk banyak penyelidikan perlu dilakukan dan saya menjangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun sebelum boleh menjadi prosedur klinikal,” katanya.

-Metro

Friday, 19 May 2017

Peluk mayat anak dipenuhi ulat



BAPA mangsa rogol yang dibunuh kejam, terpaksa membersihkan ratusan ulat pada tubuh anak gadisnya yang berusia 22 tahun ketika mengenal pasti mayat yang ditemui ditinggalkan di tengah padang tepi hutan, di bandar Sonipat, kira-kira 40 kilometer di utara New Delhi, India, 9 Mei lalu.
Sebelum kejadian, wanita itu dalam perjalanan ke tempat kerja bahagian pembungkusan sebuah syarikat farmasi apabila diculik sekumpulan lelaki, termasuk seorang yang ditolak lamaran untuk mengahwini wanita berkenaan.
Bapa mangsa, Mahender Singh, 45, berkata dia pergi ke Post Graduate Institute of Medical Sciences (PFGIMS) di Rohtak, pada 12 Mei lalu, tiga hari selepas anaknya hilang untuk mengenal pasti mayat anaknya itu.
“Mayatnya sukar dikenal pasti. Sebaik tiba saya dapati mayatnya berada dalam tong, tiada siapa meletakkannya di atas katil atau pengusung.
“Ada 200 ulat pada tubuhnya dan saya peluk sebelum angkat mayatnya ke atas pengusung. Doktor mengambil masa empat jam untuk membuang ulat terbabit,” katanya.
Menurutnya, dia mengenal pasti mayat anaknya itu berdasarkan pakaian dan rantai yang diberi ibunya beberapa hari sebelum kejadian.
Selain kepala dan mukanya pecah akibat dihentak benda keras, dipercayai bata, bedah siasat mendapati organ dalaman serta kemaluan mangsa rosak teruk. Tubuh mangsa juga didapati digilis dengan kenderaan.
Menurut Daily Mail, doktor juga menemui dawai dimasukkan ke dalam mulutnya manakala sebahagian rambutnya dicabut.
Pengarah Jabatan Forensik PFGIMS, Dr Suresh Kumar Dhatterwal, berkata mayat mangsa ‘dimusnahkan dengan amat kejam’ bagi menghapuskan identitinya.
“Tempurung kepalanya pecah teruk. Kami percaya beberapa lelaki merogol dan membunuhnya,” katanya.
Seorang lelaki yang dikenali keluarga mangsa, Sumit Kumar, 25, sudah ditahan bersama seorang rakannya.
Sumit tinggal berhampiran kampung keluarga mangsa dan sudah beberapa kali lamarannya untuk mengahwini mangsa ditolak wanita itu serta keluarganya.
Ibu mangsa, Baed Kaur, 40, yang mengancam membunuh diri jika anaknya tidak mendapat pembelaan berkata, anaknya itu meninggalkan rumah pada 8 pagi dan apabila tidak pulang pada sebelah petang, mereka menjadi bimbang.
“Saya dan anak lelaki ke kilang tempatnya bekerja namun sudah ditutup. Kami kemudian membuat laporan polis kehilangannya.
“Esoknya jiran datang memberitahu mereka terbaca dalam akhbar mengenai anak saya dirogol dan dibunuh,” katanya.
Menurut polis, mangsa diculik ketika dalam perjalanan ke tempat kerja oleh Sumit dan rakan-rakannya, memaksa wanita itu minum minuman mengkhayalkan, membawanya ke kawasan hutan, 60 kilometer dari kampungnya sebelum dirogol beramai-ramai dan dibunuh.
Menurut ibunya, anaknya itu mahu menjadi doktor dan bekerja di kilang berkenaan dengan gaji Rs 5,000 (£60) sebulan, bagi mengumpul wang membiayai pelajaran selain membantu keluarganya.
Baed berkata, Sumit mengganggu anaknya itu sejak 12 bulan lalu, mendesaknya menerima lamaran dan tiga bulan lalu, mereka membuat laporan polis menyebabkan keluarga Sumit datang meminta maaf.
“Namun, ibunya pernah mengancam menculik anak saya untuk dikahwinkan dengan Sumit. Anak saya enggan kerana lelaki itu menganggur, tidak beradab dan panas baran,” katanya.
Timbalan Superintendan Polis di Rohtak, Mukesh Kumar, berkata dua lelaki ditahan iaitu Sumit dan Vikas, 21, mengikut Seksyen 302 (dihukum kepada membunuh), 376 A (dihukum kerana merogol), 376 D (merogol berkumpulan) yang akan dibicarakan dalam masa 90 hari.
Bagaimanapun, doktor percaya lebih ramai lelaki terbabit dalam kejadian itu.

-Metro

Thursday, 18 May 2017

Anjing selamat bayi ditanam dalam semak


SEEKOR anjing menyelamatkan bayi yang ditanam hidup-hidup dalam semak selepas dipercayai terhidu bayi berkenaan di Jiangjin, wilayah Chongqing, selatan China, lalu menggali bayi berkenaan keluar.
Menurut laporan Pear Video, dalam kejadian 6 Mei lalu, bayi lelaki berusia sebulan itu kemudian diselamatkan pemilik anjing dan dibawa ke klinik untuk rawatan.
Pemilik anjing itu, Yang Jiali, berkata dia mencari anjingnya dan ternampak haiwan peliharaannya itu sedang berusaha menggali sesuatu dalam semak sebelum ternampak sebahagian tubuh bayi dalam lubang.
Menurutnya, bayi itu diselimuti kain putih dan menangis.
Menurut doktor di bandar Wutan, An Yue, ketika sampai ke klinik, suhu badan bayi itu sudah menurun selain degupan jantungnya rendah.
“Mulutnya dipenuhi tanah dan lumpur,” katanya.
Bayi itu kemudian dipindahkan ke Hospital Jiangjin dan keadaannya kini stabil.
Polis dan doktor percaya bayi berkenaan ditanam kerana keluarganya menyangka dia sudah meninggal dunia dan sedang berusaha mengesan ibu bapanya.

-Metro

https://youtu.be/38EH4ASf698

Tuesday, 16 May 2017

Bunuh, rebus isteri pondan

POLIS Australia yang menemui anggota tubuh manusia sedang direbus dalam periuk di sebuah apartmen di Brisbane, menyangka ia adalah ‘jenaka Halloween’.
Mahkamah di Sydney diberitahu demikian hari ini, ketika perbicaraan inkues tukang masak Australia Marcus Volke yang dituduh membunuh ‘isterinya’ seorang pondan Mayang Prasetyo pada 2014 dan cuba menghapuskan bukti dengan memotong tubuh mangsa dan memasaknya.
Polis menerima aduan daripada pengurusan bangunan yang melaporkan bau busuk dari apartmen pasangan itu di Brisbane.
Menurut Australian Broadcasting Corporation (ABC), apabila polis tiba, Volke memberitahu dia perlu mengurung anjingnya terlebih dahulu namun dia mengunci pintu dan lari sebelum membunuh dirinya.
Konstabel Liam McWhinney memberitahu koroner apabila dia dan Konstabel Kanan Bryan Reid memasuki apartmen itu, mereka mendapati darah memenuhi lantai manakala kaki manusia berada dalam periuk.
“Pada mulanya saya menyangka ia jenaka melampau sebelum menyedari ia adalah kejadian sebenar,” katanya.
Reid memberitahu dia tercium bau tidak menyenangkan yang tidak pernah dihidu sebelum ini.
Volke yang bertemu ‘isterinya’ itu ketika kedua-dua mereka bekerja sebagai teman sosial, sedang menjalani rawatan mental sejak beberapa minggu sebelum kejadian itu.

-Metro